Ketika Kebebasan Meronta

Oleh: Amin Ahmad

Semalam saya baru tiba dari Vietnam, sebuah lagi negara ASEAN yang banyak menyimpan sejarah pahit zaman moden. Sebagaimana kunjungan ke negara lain, saya sempat ke muzium, selain membeli beberapa buku untuk mendekati sejarah negara ini.

Perang Vietnam selama hampir 20 tahun tentulah menyimpan banyak peristiwa dan makna. Sepanjang tempoh itu seluruh dunia mengecam jenayah perang yang berlaku. Mungkin dunia sudah tidak sanggup lagi menerima satu lagi Perang Dunia ketika Perang Dingin memberikan gambaran bahawa ia tidak mustahil berlaku.

Jutaan nyawa terkorban, termasuk puluhan ribu tentera Amerika Syarikat. Perang memang hampir pasti mengaburkan erti kemanusiaan dan keadilan.

Di satu sudut, saya melihat sekeping poster besar memuatkan sejumlah wajah petugas media yang dilaporkan hilang sepanjang tempoh tersebut. Ternyata, berada di medan perang, biar bukan kerana tugas ketenteraan, adalah misi berbahaya.

Apa yang menarik di sini, protes di seluruh dunia bergerak dengan maklumat daripada berita, gambar dan rakaman video mereka yang berada di medan perang. Ini termasuk rakyat negara Amerika Syarikat.

Dikatakan ini telah mengubah corak pemberitaan yang pada kebiasaannya dilihat cuba mempertahan atau menjustifikasi dasar dan keputusan kerajaan Amerika Syarikat kepada pandangan kritikal mengenainya. Tambahan pula, kebocoran Kertas Pentagon kepada media menunjukkan ada fakta disembunyi oleh kerajaan, sekaligus memperdaya orang ramai.

Kebebasan asasi

Pihak mana pun mengisytiharkan mereka ‘berjaya’ dalam perang tersebut, kerugian sebenar daripadanya pastilah lebih banyak.

Rugi di sini bukanlah sepenuhnya dapat, atau mesti diukur dalam pengertian nilai wang. Ini kerana nyawa, meskipun satu, adalah lebih besar nilainya berbanding berapa pun nilai wang yang ada. Sebab itu setiap manusia dijamin hak asasi untuk hidup dan tidak ada nyawa sesiapa pun wajar diisytiharkan halal semudahnya.

Sebagaimana nyawa, begitulah juga dengan kebebasan asasi. Ia tidak sepenuhnya dapat, atau mesti diukur dalam pengertian nilai wang. Sebab itu, dalam mana-mana perlembagaan yang bersifat demokrasi, kebebasan asasi menjadi penanda aras penting dan tidak boleh diganggu gugat.

Orang ramai patut menyedari bahawa legitimasi sesebuah kerajaan, terlepas parti politik apa pun yang berjaya memperolehi sokongan majoriti – dalam bentuk jumlah undi atau kerusi – pada asasnya terbentuk daripada pendapat orang ramai.

Amat malang apabila asas pemilihan sebuah kerajaan demokrasi – kebebasan asasi – dibiar   diremehkan. Sekiranya kebebasan bersuara yang mungkin penting atau memberi kesan besar kepada individu atau kelompok tertentu ditekan atau dinafikan, secara langsung atau tidak langsung, kita sedang mewujudkan persekitaran di mana masyarakat tidak perlu berfikir dan berhujah, sekaligus nanti membawa keparahan lebih buruk sehingga kita sebenarnya hanya menjadi hamba kepada kekuasaan. Ya, kekuasaan yang kita sendiri pilih pada asalnya!

Kerajaan terhad

Manusia bebas bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Ia adalah hak yang tidak boleh diubah dalam perlembagaan demokrasi. Ia sebenarnya merupakan penegasan bahawa kebebasan itu tidak wujud kerana ehsan kerajaan memerintah, sebaliknya merupakan pembatas kepada kuasa kerajaan yang memerintah.

Ia bukan sekadar jaminan kebebasan asasi bagi seseorang warga daripada ancaman seorang warga yang lain, tetapi lebih penting kebebasan asasi ini bertujuan melindungi seseorang warga daripada ancaman kerajaan itu sendiri (yang memiliki kuasa dan potensi lebih besar untuk mengancam kebebasan tersebut).

Sekiranya kebebasan mahu dikekang kerana dilihat berbahaya bila ianya tidak terbata, pihak pertama yang wajib dikekang ialah kerajaan – kerana sikap ahli politik yang sering merasakan mereka mempunyai kuasa yang tidak terbatas.

Sebenarnya, hujah kononnya mereka yang melaungkan kebebasan itu menuntut kebebasan tidak terbatas hanyalah pengalihan kepada kuasa tidak terbatas yang sering dimahukan oleh ahli politik yang berkuasa!

Ketinggian undang-undang

Hakikatnya, seorang warga yang demokratik sentiasa percaya dan tahu bahawa pembatas bagi kebebasan dirinya ialah kebebasan pihak lain. Jika kebebasan seseorang itu bertembung dengan kebebasan pihak lain, maka kata pemutus yang perlu diambil bukanlah dengan cara menafikan kebebasan satu pihak terhadap yang lain, sebaliknya menguruskan kebebasan ini dengan maksud menjamin hak semua pihak terlibat.

Misalnya, kebebasan media tidak wajar diguna untuk memfitnah, mengapikan pertembungan fizikal atas sebab apa sekalipun atau menyampaikan penipuan. Sekiranya ada persoalan yang dibangkitkan media melibatkan kepentingan awam, tanggungjawab pertama sebenarnya ada pada kerajaan untuk tampil dengan penuh tanggungjawab untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat agar wibawanya dapat dipertahankan.

Penggunaan kuasa dan kebebasan yang luas sebenarnya dibataskan oleh ketinggian undang-undang, namun sekali lagi malang, pengertian ketinggian undang-undang bukan sahaja tidak difahami, tetapi disalah fahami sebagai apa sahaja undang-undang yang digubal kerajaan. Ini sekali lagi membawa kita kepada kes hamba memilih tuannya…

Kebebasan sedang meronta dan perlawanan kita baru kembali bermula, untuk sekian kalinya!

Artikel ini pertama kali diterbitkan di The Malaysian Insider pada 4 Januari 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s