Dasar Automotif Negara sebagai subset liberalisasi ekonomi

Oleh: Amin Ahmad

Saya masih ingat betapa gembiranya bersama (arwah) kakak menaiki Proton Saga yang diuji pandu oleh ayah. Ia kereta nasional pertama, kebanggaan negara.

Apabila remaja, saya terdengar Dr Mahathir pernah memperlekehkan tokoh dan parti lawan. Katanya semasa beliau bercadang membuat Proton, parti lawan mempersoalkannya sedangkan ternyata jumlah kereta Proton digunakan secara meluas di seluruh Malaysia. Beliau menggambarkan fenomena tersebut sebagai satu kejayaan dasarnya.

Semasa di universiti, timbul pula cakap-cakap mengenai pembentukan perdagangan bebas yang bakal menjadikan harga kenderaan murah. Ramai di kalangan rakan sebaya yang meminati kereta mula bercita-cita membeli kereta lebih bergaya. Harapan tersebut bagaimanapun terus kabur.

Akhirnya, selepas lebih 25 tahun kewujudan Proton, seruan penurunan harga kenderaan oleh parti pembangkang mula diberikan perhatian ramai dan ia memaksa parti pemerintah menjelaskannya.

Semakan dasar

Maka, Dasar Automatif Negara yang baru dibentuk pada 2006 disemak dan baru-baru ini ia diumumkan, antaranya: 1) tidak ada penurunan duti eksais, 2) pembentukan kerangka penurunan harga sehingga 30% menjelang 2018, 3) galakan penyertaan syarikat Bumiputera, 4) kajian impak jika sistem permit kelulusan dihentikan, 5) penyediaan 150,000 peluang kerja menjelang 2020, 6) pembentukan daya saing industri domestik, serta 7) penyediaan geran berjumlah RM2 billion untuk merealisasikan dasar ini.

Selain itu turut dimasukkan 8) pemeriksaan sukarela bagi memastikan kenderaan elok untuk digunakan, 9) memastikan kualiti kenderaan baik, 10) menjadikan Malaysia sebagai hab serantau kenderaan cekap tenaga dan 11) mempromosi eksport kenderaan dan komponennya.

Sengaja saya menyenaraikan perkara di atas dalam dua perenggan berasingan kerana kelihatan dasar di perenggan pertama jelas tidak bersifat liberalisasi, bahkan merupakan sebab utama harga kenderaan di Malaysia sangat mahal. Perkara dalam perenggan kedua pula masih tidak begitu jelas misalnya dalam amalan biasa sebelum ini, sijil pemeriksaan oleh Puspakom diperlukan. Tidak ada kenyataan konkrit mengenai penurunan harga kenderaan melainkan kerangka penurunan sehingga 30% menjelang 2018.

Tambahan beban kepada rakyat

Bukan sahaja dasar perlindungan diteruskan tetapi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed membuat satu kenyataan ‘baru’ yang saya fikir perlu diberikan perhatian. Menurutnya, ”…tiada kemungkinan kerajaan menurunkan duti eksais. Bagaimanapun, jika terdapat pendapatan daripada sektor lain yang boleh menjadi alternatif kepada hasil duti tersebut, tidak mustahil harga boleh diturunkan.”

Ini kenyataan penting kerana daripada soal kenderaan sahaja, kini ia dikaitkan pula dengan pendapatan kerajaan. Sudah tentu, sedikit sebanyak ia terkait dengan soal mengurangkan defisit kerajaan walhal jika dilihat semula belanjawan, tidak ada pengurangan penting dalam perbelanjaan kerajaan. Dengan lain perkataan, harga kenderaan tidak boleh turun kerana kerajaan tidak mahu mengurangkan belanjanya.

Saya ingin menjelaskan kepada menteri bahawa alternatif kepada hasil duti itu sebenarnya ada, malah mungkin lebih besar.

Apa yang dapat dilihat dan apa yang tidak dapat dilihat

Mari kita ambil RM2 billion hingga RM4.6 billion (menurut kenyataan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada pertengahan 2012) jumlah kutipan cukai berkaitan kenderaan. Kita, terutama menteri, harus sedar bahawa jumlah ini diambil daripada rakyat – individu atau melalui syarikat yang membayarnya. Berapa pun jumlahnya, cara ia diambil ialah melalui bayaran lebih tinggi untuk sesuatu yang sebenarnya boleh didapatkan pada harga lebih rendah sekiranya tidak ada dasar seperti di perenggan pertama dibuat.

Oleh itu, pembeli kerugian besar. Dalam sebahagian contoh, seorang pembeli hanya mendapat sebuah kereta sahaja untuk bayaran yang setara bagi mendapatkan dua kereta sekiranya harga sebenar digunakan. Harga sebenar di sini merujuk kepada kesanggupan asal pengilang dan penjual kenderaan menjual, tanpa cukai atau dengan cukai minima.

Di sini, perlu disedari bahawa setiap apa yang disebut sebagai pendapatan kerajaan itu pada masa sama bermaksud kerugian di pihak pembeli, kerana lazimnya syarikat juga akhirnya akan memindahkan kenaan cukai pada mereka kepada pembeli.

Seterusnya, selain persoalan pengguna, pengilang serta penjual dan juga kerajaan, sebenarnya ada pihak lain yang turut dizalimi. Pihak ini sering diabaikan kerana mereka tidak berpeluang muncul dalam semua perbincangan kita di atas. Jadi, saya akan menunjukkan pihak ini di sini.

Apabila menteri berkata hasil duti (RM2 billion hingga RM4.6 billion) perlu diganti oleh sektor lain untuk membolehkan harga turun, ia sebenarnya akan berlaku dengan sendirinya apabila kutipan kerajaan itu dibatalkan. Ini kerana, jumlah kutipan yang sama, jika tidak diambil, maka ia tidak hilang. Sebaliknya, ia akan berada di tangan pihak daripada mana kutipan diambil. Katakan, ada 552,189 pembeli sepanjang 2012. Jumlah RM2 billion hingga RM4.6 billion itu sebenarnya ada di tangan 552,189 pembeli ini.

Jumlah lebih setengah juta pembeli itu tentunya mempunyai keperluan dan kehendak tersendiri. Jumlah yang dijimatkan masing-masing mungkin berbeza tetapi ia akan tetap dibelanjakan untuk tujuan lain. Bagi yang berjimat RM30,000 ia mungkin diguna untuk membayar wang pendahuluan membeli rumah, bagi yang berjimat RM10,000 mungkin ia akan digunakan untuk biaya perubatan, dan jenis perkara di mana wang penjimatan tersebut akan disalurkan boleh jadi sangat pelbagai, termasuk membayar wang pinjaman PTPTN.

Harus diingat, ia meningkatkan kuasa beli pengguna, dan ia memang pada asalnya adalah wang hasil daripada usaha titik peluh mereka sendiri. Bukan sahaja itu, sektor di mana wang penjimatan itu dibelanjakan akan turut berkembang dengan lebih cepat. Malah, tidak mustahil ada yang menggunakan wang penjimatan itu untuk memulakan inovasi baru.

Dengan jumlah perbelanjaan tersebut, sebenarnya kerajaan akan mendapat kembali sekurang-kurangnya hasil yang sama banyak atau lebih lagi. Ia jauh lebih berkesan berbanding kerajaan mengadakan pakej rangsangan ekonomi di mana kerajaan terpaksa berhutang dan ditanggung (sekali lagi!) oleh pembayar cukai pada masa akan datang, iaitu kami generasi muda.

Sudah tentu, pengguna bakal mendapat kualiti hidup lebih baik melalui 1) pembelian kenderaan lebih berkualiti (mengikut pilihan bebas masing-masing) dan 2) memperolehi sekurang-kurangnya dua perkara – kenderaan dan pilihan lain – daripada perbelanjaan lain melalui penjimatan mereka.

Ini secara tidak langsung menjadi galakan besar untuk bakat Malaysia di luar negara pulang berkhidmat. Kerajaan juga sangat berpotensi mendapat pelaburan lebih besar daripada pelbagai pihak, termasuk menggalak bakat luar bekerja dan membuka peniagaan di negara kita.

Lain-lain yang berkaitan

Saya bimbang kerajaan terlalu mahu menjaga hati pemain industri sedia ada. Tambahan pula kelihatan ada kecenderungan kartel yang jelas bercanggah dengan Akta Anti-Persaingan yang digubal kerajaan.

Kenyataan Presiden Pekema sebelum ini bahawa kononnya hanya segelintir pihak untung sekiranya berlaku penurunan harga kenderaan kerana tidak ramai mampu membeli kenderaan mewah jelas tersasar. Bukan semua orang mahu beli kenderaan mewah dan pasaran akan bertindak bagi memenuhi keperluan pengguna yang mahukan kenderaan lebih murah tetapi berkualiti. Kita wajar juga bertanya kepada Pekema: bukankah hanya segelintir sahaja untung dengan dasar sedia ada, dan juga dasar yang kononnya diperbaharui ini?

Memang terdapat kemungkinan pekerja dalam sektor kenderaan yang mungkin kehilangan kerja dan syarikat yang dilindungi terpaksa ditutup kerana gagal bersaing.

Persoalan yang sama boleh ditanyakan: apakah dengan menekan sektor lain di mana perbelanjaan orang ramai mungkin dibuat tidak menyebabkan sektor tersebut perlahan dan mengurangkan peluang pekerjaan dibuka dalam sektor tersebut? Apakah memang kita akan terus menggunakan mesin taip hanya kerana tidak mahu kilangnya ditutup dengan kehadiran komputer riba?

Saya berharap sektor lain akan sedar kesan dasar perlindungan ini kepada sektor masing-masing dan tidak mengulangi permintaan yang sama. Kerajaan perlu bertegas dalam hal ini kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan menjejaskan kebaikan liberalisasi ekonomi yang mahu dibawakan oleh kerajaan sendiri.

Bila semakin dewasa, mengumpul pengetahuan dan pengalaman, ternyata pengetahuan dan sentimen pada masa lalu sangat wajar disemak semula.

Tulisan ini diterbitkan kali pertama di The Malaysian Insider pada 22 Januari 2014

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s