Perpaduan boleh dicapai dengan nilai dan prinsip yang betul

Oleh: Amin Ahmad

Perpaduan telah, sedang dan akan terus menjadi tema utama dalam wacana awam. Jika disorot sejarah kenegaraan kita, ternyata dengan perpaduanlah kemerdekaan berjaya dikecapi.

Ia sebenarnya tidak mudah tetapi kita berhasil melihat kepentingan lebih besar untuk kebaikan bersama.

Namun, panas tidak selalu sampai ke petang. Kadangkala hujan di tengah hari. Maka peristiwa 13 Mei 1969 kekal menjadi ingatan kolektif yang buruk sepanjang pengalaman kita mengharung masa depan bersama. Tidak menghairankan apabila tema perpaduan sering menjadi pilihan utama semasa sambutan hari kemerdekaan.

Apa itu perpaduan?

Penegasan persoalan perpaduan bukan sesuatu yang aneh dalam realiti masyarakat pelbagai kaum di banyak negara di seluruh dunia. Bahkan ia sering menjadi cabaran utama kepada pemimpin.

Perbezaan sering dilihat sebagai punca atau sumber perpecahan dalam masyarakat yang demikian. Oleh kerana itu, kuasa kerajaan selalu digunakan untuk memastikan “perpaduan”.

Ini adalah kitaran biasa dan berulang setiap kali kita membicarakan persoalan perpaduan. Pengulangan ini sebenarnya wajar membuatkan kita bertanya lebih lanjut mengenai cara kita memetakan isu.

Apakah memang perbezaan merupakan punca dan sumber masalah? Sejak bila manusia tidak berbeza? Adakah mana-mana negara di dunia ini yang 100% bersatu? Atau sekurang-kurangnya satu bangsa yang ramai 100% bersatu?

Soalan ini penting kerana manusia sering terkeliru antara memupuk perpaduan (unity) dan keseragaman (uniformity). Jadi, apakah sebenarnya perpaduan?

Ia sukar dijawab secara pasti. Dalam banyak keadaan, kita hanya dapat merujuk perpaduan sebagai keadaan atau hal di mana adanya kerjasama dan keamanan. Ya, ia masih definisi yang longgar tetapi cukup untuk menunjukkan apakah hasrat daripada keinginan dan kepentingan perpaduan.

Mendekati perbezaan

Definisi longgar yang demikian akhirnya mendorong pendekatan deduktif dalam melihat isu perpaduan. Secara mudahnya, di mana kita melihat adanya pergaduhan atau perselisihan, maka di situ tidak ada perpaduan.

Di mana sahaja yang aman, maka perpaduan berlaku. Ini sebenarnya tidak begitu tepat tetapi memadai, mengambil kira kompleksiti masyarakat.

Saya mungkin tidak kenal seseorang – baik sama kaum/agama atau berbeza kaum/agama – di kawasan penempatan saya, tetapi kami tidak pernah bergaduh atau berselisih pendapat. Ini bukanlah perpaduan yang ideal, tetapi kami boleh hidup dengan aman.

Saya mungkin mengenali seseorang – baik sesama kaum/agama atau berbeza kaum/agama – di kawasan penempatan saya, tetapi kami sering berselisih pendapat dan bermasam muka atas sebab yang kecil atau besar. Ini umumnya akan dilihat sebagai tidak bersatu, justeru boleh dikatakan sebagai tidak ada perpaduan.

Itu baru contoh individu. Dalam realiti masyarakat yang lebih kompleks, ia lebih sukar ditentukan. A, B dan C mungkin tidak sukakan D dan E dalam sesuatu isu, tetapi C, D dan E pula mungkin tidak sukakan A dalam sesuatu isu lain dan B dalam sesuatu isu yang lain.

Kemuliaan insan

Manusia sebenarnya tidak seragam. Perbezaan sentiasa ada, bahkan dalam sebuah keluarga kecil juga. Sebab itu adalah penting untuk kita faham bahawa masyarakat itu terdiri daripada gabungan unit-unit paling kecilnya, iaitu individu.

Untuk menangani perbezaan, ramai yang sering tersilap kerana memetakan masyarakat dalam bentuk kelompok, misalnya Melayu, Cina, India, Bumiputera atau Muslim, Kristian, Hindu, Buddha, Sikh dan sebagainya.

Sementara rujukan kelompok tersebut boleh dipakai secara umum, pengecualian perlu ada kerana meskipun ada ciri-ciri persamaan yang membolehkan masyarakat dikelompokkan begitu, namun setiap individu tetap mempunyai perbezaannya tersendiri.

Sekiranya kita boleh melayan setiap individu sebagai insan yang dimuliakan Tuhan – justeru diberikan nyawa, keupayaan berfikir, bercakap, bergerak dan bersosial – maka persoalan perpaduan akan lebih banyak difokuskan kepada nilai-nilai yang dipegang oleh setiap individu berbeza. Ini boleh mengelakkan generalisasi kerana realitinya dalam setiap kelompok ada yang berpegang kepada nilai yang salah dan ada yang berpegang kepada nilai yang betul.

Apa yang menyebabkan manusia hidup dengan aman, sama ada dalam keluarga sendiri, masyarakat sesama kaum atau agama dan berbeza kaum atau agama ialah adanya pengamalan nilai-nilai penting seperti kerjasama, tolak ansur, hormat-menghormati, toleransi, keadilan dan kebebasan.

Sayangnya, nilai-nilai ini sering dilihat tidak penting untuk dibincangkan secara mendalam. Ironinya, bila berlaku perselisihan, kita sering mendengar ungkapan misalnya “ini tidak adil”, “terpulang kepada saya”, “tidak ada toleransi”, “tidak ada kerjasama” dan “kita perlu saling hormat-menghormati”.

Ketinggian perlembagaan dan undang-undang

Dalam pengamalan hak kebebasan asasi, perlu diakui bahawa manusia boleh berdepan dengan situasi di mana ia bertindih atau menyentuh hak kebebasan asasi pihak lain. Di sinilah perlembagaan dan undang-undang muncul.

Di sini, perlu difahami bahawa kebebasan sebenarnya telah wujud sebelum adanya perlembagaan dan undang-undang. Perlembagaan dan undang-undang hanya muncul kemudian ketika ada pertindihan atau kebebasan asasi satu pihak menggugat kebebasan asasi pihak lain.

Sebab itu perlu disedari bahawa dalam sejarah, manusia tidak hanya berjuang untuk kebebasan sebaliknya manusia juga turut mahukan keadilan. Adunan nilai-nilai inilah yang telah membentuk prinsip ketinggian perlembagaan dan undang-undang.

Ketinggian perlembagaan dan undang-undang bukan bermaksud apa sahaja yang digubal oleh pihak pemerintah (rule by law), tetapi sifat perlembagaan dan undang-undang yang adil sebagai sumber penyelesaian masalah, menjamin kestabilan dan keamanan di mana tidak ada sesiapa pun boleh mengatasinya atau menyalahgunakannya (rule of law).

Kegagalan memastikan prinsip ini diamalkan akan menyebabkan masalah berlarutan, kestabilan dan keamanan tergugat di mana ada pihak boleh bertindak sewenang-wenangnya dan lebih parah lagi pihak yang bertanggungjawab memeliharanya menyalahgunakan kelebihan tersebut demi kekuasaan dan keuntungan mereka.

Untuk membolehkan ini berlaku, sesiapa yang tinggal di Malaysia mesti dilihat sebagai warga yang bebas bergerak berdasarkan semangat ketinggian undang-undang.

Artikel ini telah diterbitkan di The Malaysian Insider pada 27 Januari, 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s