Peletakan Jawatan Wakil Rakyat dan Pilihan Raya Kecil: LEAD Gesa Pindaan Perundangan Dibuat

muka depan Cadangan Dasar 11)         LEAD perihatin dengan perkembangan semasa dalam politik Malaysia iaitu peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Negeri Kajang sekaligus membuka laluan untuk satu pilihan raya kecil. Perkembangan ini telah menimbulkan rasa kurang senang dan pertikaian ramai kerana asas peletakan jawatan tersebut yang tidak boleh diterima di samping kos pengendalian pilihan raya yang tidak kecil.

2)         Peruntukan Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor ada menyatakan beberapa kes dan syarat yang menyebabkan seseorang hilang keahlian di mana-mana Dewan di samping proses pengesahan serta pengendalian pilihan raya kecil. Berdasarkannya, peletakan jawatan adalah sah di sisi undang-undang.

3)         Bagaimanapun, apa yang sah di sisi undang-undang tidak menjadikan sesuatu itu adil atau bermoral. Justeru, LEAD menggesa satu pindaan dibuat terhadap undang-undang sedia ada.

4)         Berdasarkan kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kos pengendalian pilihan raya bagi dua buah Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Besut dan Sungai Limau mencecah antara RM760,000 dan RM1,336,987. Ini tidak termasuk kos-kos lain misalnya kos keselamatan yang dikendalikan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta jam kerja orang ramai yang teralih kerananya. Berdasarkan rekod lalu, kos keselamatan boleh mencecah antara 5 hingga 10 kali ganda perbelanjaan SPR. Ini mengesahkan bahawa pertikaian ramai mempunyai asas yang kuat.

5)         LEAD berpandangan sementara hak seseorang meletakkan jawatan serta parti politik bertanding dalam pilihan raya kecil perlu dijamin, pertanggungjawaban terhadapnya juga mesti dituntut. LEAD menggesa seseorang yang meletakkan jawatan dan parti yang diwakilinya mesti bertanggungjawab terhadap peletakan jawatan tanpa asas yang kukuh.

6)         Bersama ini dilampirkan kertas cadangan pindaan yang perlu segera dibuat agar semua proses pilihan raya tidak dimanipulasi dan semua pihak mendapat hak masing-masing dengan lebih adil dan saksama.

Sinopsis ringkas 

Sejak pembentukan Malaysia, banyak pilihan raya kecil telah diadakan dari semasa ke semasa. Terkini, sejak pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008, sebanyak 16 pilihan raya kecil telah diadakan kerana pelbagai sebab dan selepas pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013, telah berlangsung 3 pilihan raya kecil. Sebahagian sebab-sebab ini tidak boleh dielakkan tetapi terdapat beberapa sebab yang sukar dijustifikasikan kerana ia melibatkan penggunaan dana awam yang besar. LEAD berpendapat ini menunjukkan wujud keperluan undang-undang berkaitan disemak dan ditambah baik.

Meskipun kebenaran seseorang yang dipilih secara sah sebagai ahli Dewan meletakkan jawatan wajar dikekalkan, tetapi undang-undang mesti diketatkan. Beberapa persoalan penting yang perlu ditangani dalam pindaan perundangan ialah:

Denda atau hukuman untuk peletakan jawatan tanpa asas kukuh

  • Bekas ahli Dewan tersebut dan parti yang diwakilinya perlu menanggung sebahagian kos pelaksanaan pilihan raya kecil bagi kawasan berkenaan. Formula yang sesuai perlu ditentukan misalnya baki tempoh jawatan masih sah.
  • Sekiranya bekas ahli Dewan tersebut gagal membayar denda yang dikenakan, maka beliau wajar didakwa pecah amanah, dibicarakan dengan risiko dikenakan hukuman penjara selama tempoh tertentu dan denda pada kadar yang munasabah di samping tidak dibenarkan bertanding di mana-mana kerusi Dewan selama 10 tahun.
  • Sekiranya parti politik yang diwakili bekas ahli Dewan tersebut gagal membayar denda yang dikenakan, parti tersebut mesti digantung daripada bertanding di kawasan khusus itu untuk tempoh 5 tahun bermula daripada tarikh kekosongan.
  • Bagi seseorang ahli Dewan yang bertukar parti selepas dipilih, atau mengisytiharkan diri sebagai wakil bebas di Dewan, satu pilihan raya kecil baru perlu diadakan di mana mereka dibenarkan bertanding. Individu berkenaan dan parti barunya, secara bersama  perlu menanggung sepenuhnya kos bagi pelaksanaan pilihan raya kecil.
  • Jika mereka gagal berbuat demikian, peruntukan kegagalan membayar denda seperti di atas perlu dikenakan.

Muat turun Cadangan Dasar 1 – Pindaan Mengenai Pilihan Raya Kecil

Kenyataan ini diberitakan di Malaysiakini.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s