Polis Syariah, moral dan undang-undang

Oleh Amin Ahmad

Dalam satu rancangan temubual di sebuah stesen televisyen, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, ada cadangan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) agar sebuah pasukan Polis Syariah ditubuhkan untuk membanteras ajaran sesat.

Sebagaimana biasa, alasan keselamatan dan ketenteraman awam dijadikan hujah sandaran bagi pihak yang menyetujuinya. Rentetan itu satu kajian terperinci mahu dibuat dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapa mengesahkan kemudiannya bahawa satu unit polis baru akan ditugaskan di jabatan itu untuk menguatkuasa semua kesalahan jenayah syariah dan bukan hanya isu ajaran sesat sebagaimana diumumkan oleh menteri.

Dengan latar belakang negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dan mempunyai penduduk berbilang kaum di mana isu agama dan kaum bersilih ganti muncul, tentulah persoalan ini sangat perlu dibincangkan dengan lebih mendalam.

Beberapa pihak memberikan komen pro dan kontra mengenai pengenalan Polis Syariah ini. Ada yang percaya bahawa pembentukan Polis Syariah ini perlu disegerakan, ada yang mengatakan bantahan dan ada yang percaya ia tidak perlu kerana polis dan agensi penguatkuasa sedia ada boleh bertindak dengan undang-undang yang digubal.

Persoalan iman, moral dan undang-undang

Sebenarnya, dilema penguatkuasaan persoalan berkaitan iman dan moral ini sudah lama wujud dan ia bukan sahaja dibincangkan di Malaysia, tetapi hampir di semua negara majoriti muslim dan kebanyakan negara barat. Suka atau tidak, ia juga sedikit sebanyak terkait dengan rancangan PAS untuk menggubal hudud di Malaysia.

Sementara sesiapa juga berhak mengemukakan idea berkaitan kehidupan bernegara yang dihasratkan, ia tidaklah semudah yang disangka. Sebab itu kita dapat melihat pelbagai model sistem bernegara ada di seluruh dunia. Ada negara yang mengambil agama tertentu sebagai agama negara, ada yang memilih untuk mengasingkan sepenuhnya, ada menerimanya pada kadar tertentu.

Apa juga bentuk hubungan agama dan negara ini menunjukkan dengan jelas bahawa ada pengakuan mengenai fungsi dan peranan agama dalam mencorakkan sistem kenegaraan dan pelbagai pandangan wujud bersamanya.

Kesedaran ini penting untuk menjadikan kita tidak gopoh dan terburu-buru dalam mengetengahkan sesuatu. Tidak semua penolakan terhadap keinginan kita dibuat atas maksud jahat atau buruk, tidak semua penerimaan terhadap keinginan kita dibuat kerana memang ia dipersetujui sepenuh hati. Sebab itu, setiap masalah memerlukan rundingan dan ketetapan tertentu. Ia bukan tidak boleh dipinda sekiranya perlu.

Suka atau tidak, agama mempunyai peranan besar dalam mengetengahkan apa dikenali sebagai sesuatu yang bermoral – konsep baik, buruk, benar, salah dan sebagainya. Undang-undang pula tidak dapat mengelak daripada dokongan moral. Tanpa dokongan moral ini, ia sukar untuk dipatuhi dan tidak dipertikai oleh masyarakat. Dalam undang-undang, persoalan moral tertinggi ialah kebebasan dan keadilan. Tanpa kebebasan dan keadilan, undang-undang akan mula diragui dan tidak dihormati.

Kerumitan menguatkuasa iman dan moral

Bagaimanapun, apa yang dikatakan bebas dan adil itu tertakluk kepada banyak interpretasi mengikut kes yang ada. Kita harus mengakui bahawa masyarakat berbeza pendapat tentang apa itu baik dan buruk serta benar dan salah. Ini menjadikan penghakiman terhadap sesuatu itu rumit. Tidak semua undang-undang cocok sepenuhnya dengan mana-mana agama atau kepercayaan. Tidak semua undang-undang dapat memuaskan hati semua pihak.

Kita juga harus sedar bahawa undang-undang sebenarnya datang kemudian selepas kebebasan. Dalam manusia mengolah kebebasan masing-masing, timbul pelbagai isu yang dirasakan atau diterima sebagai mengancam atau menjejaskan kebebasan pihak lain, atau menyebabkan ketidakadilan dan mungkin kezaliman kepada pihak lain.

Maka, undang-undang dibentuk sebagai landasan menentukan keadilan. Di sinilah bermula prinsip ‘seseorang tidak bersalah sebelum dibukti dan disahkan bersalah dalam sebuah perbicaraan yang adil’ dan sebagainya.

Sebab itu dalam Islam, pembuktian kes adalah rumit dan ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya atas nama kekuasaan. Kes intipan Saidina Umar sangat mahsyur untuk menunjukkan bagaimana beliau bukan sahaja mengaku bersalah berbuat demikian tetapi merahsiakan apa yang dilihat semasa intipan tersebut. Agak menarik dalam kes tersebut, Saidina Umar juga akur dengan hujah yang dikemukakan oleh lelaki yang dilihatnya sendiri melakukan kemungkaran.

Dalam satu kes perebutan tanah, Nabi Muhammad sendiri hanya dapat memutuskan keadilan berasaskan keterangan daripada pihak yang merebutkannya. Ini penting untuk dilihat kerana terdapat ramai yang berhujah secara simplistik bahawa dengan pelaksanaan perundangan Islam maka segala masalah akan selesai.

Hakikatnya, dalam kes perebutan tanah ini, kes dimenangi oleh pihak yang sebenarnya tidak berhak tetapi berjaya mengemukakan hujah lebih baik. Dalam perkataan lain, keadilan sebagai prinsip moral tidak dapat ditegakkan dengan mudah.

Kerajaan juga akan berdepan dengan kesukaran untuk memastikan penguatkuasaan ini dapat dilakukan secara menyeluruh kerana tidak mustahil setiap orang Islam memerlukan seorang penguatkuasa tersendiri untuk memastikan mereka beramal dengan ajaran Islam. Malangnya, penguatkuasaan ini pula mungkin hanya terkena kepada orang biasa, bukan pihak berkuasa atau penguatkuasa itu sendiri.

Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang menolak cadangan mengadakan Polis Syariah juga agak menarik untuk dibaca. Menurutnya, “Saya sembahyang, puasa, keluar zakat dan buat kerja haji bukan kerana polis akan tangkap saya jika saya tidak. Saya mengucap dua kalimah syahadah juga bukan kerana takut ditangkap. Saya tunaikan apa yang diwajibkan ke atas saya kerana saya beragama Islam, kerana kepercayaan dan iman.”

Sebenarnya ini bukanlah pandangan baru. Ia pernah diungkap oleh banyak pihak termasuk sejumlah sarjana Islam, meskipun dengan cara berbeza. Dalam pengertian mudah, persoalan iman seseorang tidak wajar dicampur tangan oleh kuasa kerajaan kerana cara demikian hanya memungkinkan manusia menjadi munafik.

Jadi bagaimana?

Saya fikir, dalam realiti yang ada, kita mesti bersifat realistik untuk mengakui bahawa tidak semua hal agama mesti dimasukkan sebagai undang-undang. Dalam tempoh pemerintahan berpenggal yang agak singkat, kita tidak mengharapkan penggubal dasar berbincang mengenai hal yang sebenarnya lebih  memerlukan kesedaran penganut agama itu sendiri mengamalkannya di peringkat individu, keluarga dan masyarakat. Dalam maksud lain, ada jurang tertentu antara agama dan undang-undang. Tidak wajar bagi mana-mana pihak ‘memaksa’ undang-undang mengikut tafsirannya sewenang-wenangnya.

Namun, saya tidak menolak adanya perintah agama yang penting dan memberi kesan kepada hak individu dan bersama seperti memelihara kebebasan beragama, nyawa, kebebasan berfikir dan bersuara, maruah diri dan harta.

Ini perlu dibincangkan dengan lebih tuntas. Jangan jadikan persoalan kedudukan iman dan moral dalam undang-undang sebagai medan mendabik dada bahawa kita yang paling taat beragama dan pihak yang tidak bersetuju dengan kita adalah sebaliknya. Jika benar sekalipun, ia tidak menggambarkan iman dan moral yang terpuji.

Berimanlah dengan bebas. Berimanlah dengan adil.

Diterbitkan di The Malaysian Insider pada 3 Februari 2014

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s