Jalan Menuju Kemusnahan?

Oleh Amin Ahmad

Semasa di Kota Kinabalu, Sabah lewat tahun lalu, saya sempat berkunjung ke kedai buku dan membelek laporan majalah Economist yang menyatakan bahawa risiko kekacauan sosial di Malaysia berada pada tahap risiko yang rendah.Saya tersenyum. Moga-moga begitu.

Memang saya separuh optimis. Tidak sepenuhnya pesimis. Ada beberapa sebab untuk menjustifikasikan sikap ini.

Pertama, bagi mana-mana manusia, hidup dalam ketenangan tanpa gangguan tentulah menjadi pilihan utama. Ia memberikan kita kebebasan. Dengan kebebasan, kita boleh melakukan banyak perkara dalam kehidupan. Ada yang mahu berehat, ada yang mahu membeli belah, ada yang mahu bercuti, ada yang mahu menonton wayang, ada yang mahu keluar makan, ada yang mahu bersukan dan sebagainya.

Kedua, terlalu banyak yang saya tidak tahu. Dalam realiti kos sara hidup yang meningkat, tidak mustahil akan ada siri protes di sana sini. Ini pada saya bukanlah sepenuhnya kekacauan. Ia adalah satu daripada ciri kebebasan yang bukan sahaja dijamin oleh Perlembagaan, tetapi sudah menjadi amalan biasa di banyak negara maju. Ya, protes bukan sahaja berlaku di negara mundur atau membangun.

Kenyataan pertama dan kedua di atas kelihatan seperti harmoni antara satu sama lain. Kita sukakan kebebasan untuk diri sendiri dan sebenarnya itulah juga yang disukai oleh pihak lain. Bagaimana masing-masing mahu menggunakan kebebasan mereka, tidak dapat kita ketahui sepenuhnya. Dalam proses pihak-pihak yang berbeza ini menggunakan kebebasan masing-masing, tidak mustahil akan ada pertindihan antara kebebasan satu pihak dengan satu pihak yang lain.

Pihak pertama mungkin tidak sukakan tindakan pihak kedua kerana dianggap mencetuskan ketegangan atau mungkin memberikan gangguan secara langsung di tempat yang pada asalnya pihak pertama sudah merancang untuk pergi sebelumnya. Pihak kedua pula mungkin tidak begitu gemarkan pihak pertama kerana cuba mengekang kebebasan berhimpun yang dijamin perlembagaan. Tambahan pula, pihak pertama dilihat tidak cuba memahami sebab-sebab mengapa pihak kedua bertindak demikian.

Pertembungan antara kebebasan dengan kebebasan ini, jika tidak diuruskan dengan betul, berpotensi berkembang menjadi keganasan dan kerosakan. Bukan sahaja keganasan dan kerosakan yang nyata, tetapi ia juga boleh berlaku secara tidak nyata. Sementara jenis yang nyata lebih mudah diketahui, jenis yang tidak nyata pula sebaliknya.

Inilah yang cuba dijelaskan oleh Frederich A. Hayek semasa beliau menulis buku The Road to Serfdom (Jalan Perhambaan) untuk mendedahkan akar kepada Perang Dunia Kedua melalui kenaikan Hitler ke tangga kekuasaan di Jerman dan bagaimana segalanya dimusnahkan dalam tempoh yang tidak begitu lama.

Ringkasnya, beliau menjelaskan situasi perang (merujuk kepada perang dunia pertama) memaksa penumpukan kuasa kepada pemimpin di mana orang ramai bersetuju mengorbankan kebebasan mereka untuk membolehkan pihak berkuasa merancang bagi pihak semua orang.

Selepas perang, pemimpin-pemimpin ini mahu kekal berkuasa dan mereka percaya mampu merancang bagi pihak semua orang. Malangnya, dalam setiap perancanganan sentiasa ada yang tidak kena. Setiap pihak mahukan mereka diberi keutamaan. Pemimpin cuba memberi perhatian kepada semuanya, dan hasilnya sama ada sebahagian mendapat lebih daripada yang lain, atau semua mendapat sebahagian daripada apa yang mereka mahukan.

Akhirnya, keyakinan terhadap pemimpin ini menyusut, dan kemudian mereka dijatuhkan. Pemimpin lain yang lebih diyakini diangkat berkuasa.

Untuk mengelakkan pengulangan terhadap masalah sebelumnya, pemimpin ini mengambil sikap lebih tegas dan keras. Media dikawal untuk membolehkan maklumat seragam diterima oleh orang ramai. Kepatuhan dan taat setia dituntut.

Langkah biasa untuk menguatkan penyatuan di kalangan pengikutnya ialah menyemarakkan perjuangan bersama menentang kelompok minoriti. Jika ada yang berbeza pandangan, mereka akan diberikan pelbagai label yang buruk untuk menjarakkan orang ramai daripada mereka. Agensi keselamatan dikerah untuk membuat tugas-tugas bagi menekan pihak lawan.

Pemikiran orang ramai dirancang oleh pihak berkuasa melalui penentuan apa yang boleh diajar dan tidak boleh diajar di pusat pengajian. Kursus pengajian yang boleh diambil juga dirancang oleh pihak berkuasa, dan ini sedikit sebanyak menyempitkan ruang pilihan kerjaya.

Apa yang hendak dibuat pada masa lapang juga dirancang. Apa yang mungkin sebenarnya kesalahan biasa, atau sebenarnya bukan kesalahan pun, akan dianggap sebagai penentangan terhadap negara. Kebebasan tidak ada erti lagi.

Saya tidak tahu. Perang mungkin satu peristiwa yang cukup besar untuk memberi kesan mendalam bagi mereka yang berada di zamannya. Apatah lagi ianya Perang Dunia. Tetapi, konflik lebih kecil misalnya pertembungan politik, yang kebetulan atas faktor sejarah terbahagi mengikut garis perkauman, sehingga menyebabkan kematian dan pengisytiharan darurat, juga mungkin boleh memberi  kesan yang setara, dan berkembang lebih perlahan.

Kita tahu akhirnya selepas 13 Mei 1969, kerajaan berperanan besar dalam merancang banyak perkara berkaitan hidup bermasyarakat.

Pemikiran ramai percaya, untuk mengelak kejadian yang sama berulang maka kerajaan perlu menentukan apa jenis kegiatan ekonomi yang mahu dibuat, siapa yang diberikan keistimewaan, kumpulan minoriti mana yang boleh dijadikan sasaran untuk mengumpulkan sokongan majoriti, kawalan media, siapa yang layak mengambil bidang tertentu dalam pendidikan, label jahat dan tekanan politik kepada orang ramai serta pelajar universiti melalui aparat-aparat yang dipanggil JKKK sampai Profesor.

Tidak. Kenyataan ini bukan bermaksud mempertikai kebijaksanaan generasi terdahulu tetapi mengajak kita semua untuk lebih teliti dengan kesan rentetan daripada peristiwa itu.

Dalam realiti politik baru, yang saya fikir akarnya mula berkembang selepas September 1998, dan lebih tajam lagi selepas Mac 2008, gambaran reaksi-reaksi politik yang ada menunjukkan dari aspek psikologi, masih ramai yang tidak dapat keluar daripada beban sejarah lebih 40 tahun lalu – sama ada kerana mereka ada semasa peristiwa bersejarah itu berlaku, atau ia ditanam ke dalam pemikiran generasi baru untuk terus menghidupkan pemikiran berteraskan konflik itu. Maka ini perlu diperhatikan dengan teliti.

Sudah banyak dipesan oleh ramai tokoh dalam sejarah bahawa kejahatan dan kelemahan lazimnya berjaya mendominasi kerana kebaikan dan kekuatan didiamkan oleh orang-orang yang santun, bijak dan berpengaruh, atas banyak sebab termasuk kepentingan diri.

Jangan biarkan yang segelintir kecil memanipulasi kebimbangan kita berkaitan hubungan kaum dan agama, membuka jalan menuju kemusnahan dengan terus menyemai baja kebencian dan kekerasan, apatah lagi apabila ia dibuat atas nama agama dan kaum – dua faktor yang cukup untuk menyemarakkan amarah kita. Sesungguhnya agama dan kaum yang dihormati lebih banyak menyemai rasa kasih dan persaudaraan sesama manusia serta nilai-nilai prinsip seperti kebebasan dan keadilan.

Ingatlah bahawa perpaduan dan keamanan sentiasa menjadi aset bagi negara kita sejak dulu hingga kini.

Jika kita percaya kebebasan penting untuk kita, begitulah juga pihak lain. Jika kita percaya keadilan itu penting bagi kita, begitulah juga pihak lain.

Yakinlah kita boleh hidup bersama dengan aman kerana kita berkongsi banyak nilai teras yang sama untuk sebuah masyarakat baik.

Tulisan ini telah disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 Februari, 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s