‘Ekonomi Islam’ kawal pasaran?

Saya ikut hadir mendengar siri ke-26 Wacana Sinar bertajuk “Bagaimana Ekonomi Islam Mampu Kawal Pasaran” yang membariskan tiga ahli panel terkenal iaitu Tan Sri Mohamad Ali Hashim, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Wan Saiful Wan Jan.

Saya fikir tajuk perbincangan ini penting dengan mengambil kira latar belakang demografi rakyat dan juga negara. Ini ditunjukkan dalam corak perkembangan wacana politik-ekonomi di Malaysia.

Sebenarnya tidak sedikit di kalangan masyarakat umum, khususnya ahli ekonomi, berpendapat istilah ekonomi Islam sebenarnya tidak wujud. Saya tidak mahu menyekat perbincangan berkaitan istilah. Apa yang saya faham mengenai ekonomi Islam tidak lebih daripada bagaimana ekonomi diuruskan atau pun berjalan mengikut pandangan Islam.

Setakat cerapan saya, semua ahli panel juga menyentuh beberapa persoalan penting berkaitan tajuk ini tetapi mungkin ia terlalu mencapah untuk dihadam oleh pendengar.

Wan Saiful menyentuh tentang maksud sebenar ekonomi pasaran, Dr Mohd Asri membicarakan soal kelemahan institusi agama dalam menguruskan ekonomi dan Tan Sri Ali Hashim pula membincangkan persoalan dorongan ekonomi sepatutnya dibuat melalui wakaf korporat, bukan kerajaan.

Saya mengambil kesempatan dalam sesi soal jawab untuk mengajak ahli panel dan hadirin kembali ke tajuk perbincangan. Bagi saya, tajuk ini menggambarkan seolah-olah pasaran itu bermasalah, maka ia perlu dikawal dan persoalannya bagaimana ekonomi Islam mampu mengawalnya.

Tetapi, perbincangan ahli panel banyak mengatakan masalah dalam institusi yang bertanggungjawab menguruskan ekonomi Islam itu sendiri. Maka, saya tertanya bagaimanakah institusi yang bermasalah mampu mengawal satu aspek lain yang dikatakan bermasalah?

Pasaran bermasalah?

Saya fikir premis awal yang perlu dijelaskan ialah apakah masalah pasaran. Ini sebenarnya ada disebut semua ahli panel. Antara masalah pasaran yang disebut ialah monopoli, kronisme dan nepotisme, rasuah dan penyelewengan, kelemahan institusi dan jurang pendapatan.

Jika dilihat kepada semua masalah yang disebut, sebahagian besarnya adalah berpunca daripada pasaran yang tidak bebas. Malah, kebanyakannya berpunca daripada kerajaan, bukan pasaran.

Sudah tentu, kita maklum bahawa sentiasa ada peniaga yang cuba memonopoli dan merasuah untuk memastikan sesetengah projek atau kontrak akan diperoleh mereka. Ini adalah antara masalah pasaran yang sebenar.

Tetapi, yang berkuasa memastikan persekitaran undang-undang dan juga proses pemberian sesuatu projek atau kontrak kerajaan itu tetap ada pada kerajaan. Malah, dalam urus niaga tidak berkaitan secara langsung dengan kontrak kerajaan juga turut terganggu melalui pengenaan cukai import eksport.

Pelbagai sekolah pemikiran ekonomi

Dalam sejarah, dua sekolah pemikiran ekonomi yang besar telah menjelaskan orientasi masalah dalam pasaran. Pertama, liberalisme klasik yang melihat sumber masalah kepada pasaran berpunca daripada penggunaan kuasa mencukai kerajaan yang kemudiannya lebih banyak digunakan untuk kepentingan ahli politik dan kakitangan awam sendiri.

Kedua, ordoliberalisme, berasaskan model ekonomi Jerman pasca perang dunia kedua yang melihat sumber masalah kepada pasaran berpunca daripada peniaga yang mahu memonopoli dan juga dilindungi serta diberi keistimewaan oleh kerajaan.

Selain itu, tentu sahaja ada sekolah pemikiran lain misalnya sosialisme-komunisme yang jelas anti-pasaran. Cuma, di negara yang jurang pendapatannya sangat kecil atau tidak ada sama sekali – ya, saya merujuk kepada negara-negara yang ditadbir berteraskan ideologi sosialisme dan komunise – ia juga sebenarnya bermasalah.

Dalam sejarah negara komunis, kita tahu bahawa akhirnya yang berpendapatan sama (dan rendah) itu ialah rakyat, tetapi pemimpinnya hidup mewah atas nama “sama rata”. Sebab itu mereka yang insaf daripada ideologi kiri tahu bahawa realitinya dalam komunisme itu juga ada pihak yang disebut “more equal than others”.

Bahkan sebenarnya, dalam sejarah Islam juga, kita tahu ada sahabat r.anhum yang sangat kaya tetapi pada masa yang sama ada juga di kalangan penduduk yang sangat miskin.

Langkah yang lebih berkesan

Dalam erti kata lain, jurang pendapatan memang sentiasa ada dalam masyarakat. Sementara ideologi sosialisme dan komunisme cenderung percaya kepada kuasa kerajaan untuk mengambil daripada pihak lain untuk diagihkan kepada pihak lain (mirip BR1M), ajaran Islam menganjurkan keutamaan untuk bersedekah, infak, wakaf, memberi pinjaman atau hutang dan membantu secara sukarela, selain zakat yang peratusannya relatif kecil.

Banyak contoh menunjukkan Nabi Muhammad menggunakan mekanisme pasaran dalam menangani permasalah ekonomi.

Bezanya ada. Dengan menggunakan kuasa pihak ketiga untuk membuat agihan, kos untuk menyediakan institusi dan pekerja bagi melakukannya juga perlu dibiaya.

Jika saya mahu mengagihkan pendapatan pada kadar tertentu, berkemungkinan besar kurang daripada separuh yang diagih kerana separuh lagi akan digunakan bagi menampung belanja pengurusan kerajaan (termasuk pusat zakat kerana ia diletak di bawah kerajaan).

Berbanding memberikan belanja pengurusan ini kepada kerajaan, saya fikir lebih banyak pihak swasta – misalnya yayasan, badan bukan kerajaan, badan agama – boleh melakukan kerja dengan lebih cekap. Ini termasuk pihak swasta yang berorientasikan keuntungan.

Saya yakin, sistem pasaran akan lebih cekap dan dapat memberikan kesan besar sekiranya mereka yang percaya kepada agama (dalam kes wacana yang dibincangkan ialah Islam) menjadi penggerak pasaran.

Ini kerana kecekapan pasaran memerlukan bukan sahaja penggerak yang mahir dan berpengetahuan, tetapi ia juga memerlukan mereka yang jujur dalam menjalankan perniagaan.

Cuma, masalah lebih besar akan berlaku sekiranya mereka yang mengaku percaya kepada agama pula banyak mengamalkan ketidakjujuran, cuba menjustifikasikan campur tangan kerajaan untuk memberi keistimewaan, perlindungan, kontrak dan projek secara runding terus dan pelbagai lagi, semuanya atas nama kepentingan agama dan kaum.

Sekiranya ini berlaku, mungkin tajuk yang lebih tepat untuk diwacanakan ialah “Mampukah Pasaran Mengawal “Ekonomi Islam?”

Disiarkan di The Malaysian Insider pada 26 Februari, 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s