Bedah Buku – Ekonomi Pasaran Sosial: Alternatif untuk Malaysia?

UIAM 11.3 Pengarah Pengasas LEAD, sdr. Noor Amin bin Ahmad telah dijemput untuk membentang kandungan buku tulisan beliau, “Ekonomi Pasaran Sosial: Alternatif untuk Malaysia” di Dialogue Corner, UIAM.

Buku ini boleh dimuat turun di laman penaja – Konrad Adenauer Foudation (KAS). Artikel di bawah diterbitkan kali pertama di webzine JalanTelawi.com.

Semakin bebas ekonomi, semakin sosiallah ia,” begitulah ungkapan Ludwig Erhard, Menteri Kewangan pertama Jerman Barat yang dinisbahkan sebagai arkitek Keajaiban Ekonomi (Wirtschaftswunder) negara itu pasca Perang Dunia Kedua.

Apakah kebebasan ekonomi itu dan mengapa persoalan sosial berbangkit?

Saya berpeluang membaca dengan lebih banyak tentang sejarah politik-ekonomi Jerman apabila diminta oleh Institut Kajian Dasar (IKD), khususnya oleh Pengarah Eksekutif-nya, Khalid Jaafar untuk menulis berkenaannya pada pertengahan tahun 2011.

Dunia baru sahaja dilanda satu lagi kegawatan ekonomi sejak beberapa tahun kebelakangan itu. Jerman pula baru menyambut ulang tahun ke-60 Ekonomi Pasaran Sosial, istilah yang diterima Erhard dalam merujuk rahsia Wirtschaftswunder tersebut.

Seminar di Malaysia dan penerbitan dalam bahasa Melayu turut diusahakan oleh IKD. Mungkin benar, sebagaimana ditulis oleh Khalid Jaafar sendiri dalam kata pengantar buku 60 Tahun Ekonomi Pasaran Sosial, khalayak pembaca dan pemikir ekonomi terlalu English-centric, maka idea dan pengalaman Jerman jarang, atau mungkin tidak pernah dijadikan sumber untuk perbandingan dan teladan.

Ia tugas berat buat saya. Pertama, saya bukan seorang pelajar ekonomi. Minat tentang isu-isu ekonomi mungkin telah lama, tetapi bacaan intensif berkenaannya masih baru, hatta sehingga kini. Kedua, lima bulan tempoh untuk menulis tentang perbandingan dua buah negara juga rumit. Hanya ada satu faktor pendorong ketika itu iaitu ia mungkin peluang terbaik untuk saya belajar dengan lebih banyak.

Jerman merupakan sebuah negara yang kaya sejarah. Dari pemerintahan monarki ke republik, peranan besar dalam perang dunia pertama dan kedua, menjadi ‘petunjuk’ arah perang dingin dan kini menjadi antara kuasa utama ekonomi Eropah, saya fikir ia pasti berbaloi.

Sebaik sahaja buku ini siap pada akhir tahun tersebut, Pak Khalid, begitu selalu saya memanggilnya, ada mencadangkan agar sistem ekonomi ini dibincangkan. Beliau sentiasa yakin bahawa pertembungan kini bukan lagi antara kapitalisme lawan sosialisme, tetapi antara kapitalisme dan kapitalisme. “Sosialisme telah kalah!” tegasnya berulang kali di pelbagai majlis.

Maka saya mula membaca beberapa bahan sambil memikirkan susunan penulisan yang mahu dibuat. Tidak mudah. Saya bimbang sekiranya konteks sejarah Jerman dan perkembangan zaman itu ditinggal dalam penulisan yang ingin dibuat, ia mengurangkan nilai pendidikan kepada khalayak pembacanya. Bahkan, terlalu banyak pelajaran yang saya fikir sesuai untuk difikirkan oleh orang ramai.

Pertama, meskipun idea demokrasi telah lama dibincangkan, sistem pilihan raya sebagaimana dilihat pada hari ini hanya muncul dengan jelas pada abad lalu, khususnya pasca Perang Dunia Kedua. Namun, Jerman sempat bereksperimen dengan demokrasi pilihan raya di Weimar, pusat pentadbiran republik Jerman selepas Maharaja Wilhelm II ‘diturunkan’ daripada takhtanya, dan ini juga menarik.

Wilhelm II didesak berundur selepas Jerman kalah Perang Dunia Pertama dan menanggung hutang yang tinggi. Republik Weimar juga tidak dapat bertahan, antara sebab lain juga berpunca daripada masalah yang sama. Bukan sahaja itu, Hitler naik melalui sistem demokrasi Weimar lalu menghancurkannya. Ini pelajaran awal yang boleh diambil. Masalah ekonomi bukan sahaja boleh menjatuhkan sistem monarki tetapi juga sistem demokrasi, dan pemerintahan ‘majoriti’ (serta kuasa tentera), jika tidak diperhatikan, boleh menjadi tumit achilles demokrasi.

Akhirnya, sebagaimana sering disebut, semuanya telah menjadi sejarah. Lebih 50 juta nyawa terkorban dalam Perang Dunia Kedua selain kehancuran muka bumi di sana sini.

Apa yang menarik kemudiannya, pertembungan blok komunis dan blok kapitalis bukan hanya sekadar teori lagi. Ia telah berpeluang menunjukkan ‘kekuatan’ melalui model negara masing-masing. Ternyata, blok komunis ‘tewas’ dengan runtuhnya Tembok Berlin, simbol Perang Dingin paling diingati dalam sejarah.

Sedar atau tidak, ada tiga faham ekonomi kapitalisme berkembang sepanjang itu.

Pertama, teori ekonomi Keynesian, dengan tokoh utamanya John Maynard Keynes. Beliaulah yang telah  memainkan peranan penting di sebalik sistem Bretton-Woods sehingga tertubuhnya dua institusi besar – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

Kedua, teori ekonomi pasaran terbuka, dengan tokoh utamanya ialah Ludwig von Mises, F. A. Hayek dan Milton Friedman. Hayek sendiri telah mengambil inisiatif mengasaskan Mont-Pelerin Society (MPS) bagi mengumpulkan pemikir ekonomi, politik dan sosial, bahkan ahli sains tulen untuk membincangkan idea dan persoalan  kebebasan dan keadilan dalam masyarakat dalam kerangka liberalisme.

Memang, sejak dulu, dua aliran ini yang sering disebut, selain sosialisme yang telah tewas itu. Rupanya ada satu lagi aliran yang turut berkembang perlahan, dan hanya selepas krisis demi krisis yang dihadapi kebelakangan ini baru sering disebut, terutama selepas ia diambil sebagai model Kesatuan Eropah (EU). Itulah ekonomi pasaran sosial.

Agak menarik, daripada sejumlah pembacaan yang dibuat, pengasas awal teori ini, Walter Eucken juga merupakan antara 39 yang hadir dalam pertemuan pertama MPS, selain Karl Popper, von Mises, Lionel Robbins, Milton Friedman dan Henry Hazlitt.

Profesor dan pengasas Freiburg School ini kemudian menerbitkan jurnal ORDO (dari order, bermaksud keteraturan). Pertemuan MPS seterusnya turut melibatkan lebih ramai pemikir ekonomi pasaran sosial antaranya Wilhelm Röpke, Franz Böhm dan Erhard sendiri. Dengan adanya jurnal ini, kelompok Freiburg School turut dikenali dengan jolokan Ordoliberal.

Tambah menarik lagi, semasa mengajar di London School of Economics and Political Science (LSE), Hayek sering menjemput Eucken menyampaikan kuliah. Sayangnya, kuliah terakhir tidak dapat dibuat kerana Eucken kemudiannya jatuh sakit dan meninggal dunia. Kemudian, selama enam tahun Hayek mengajar di University Freiburg, tempat Eucken mengajar dan mengasaskan pemikirannya.

Apakah idea-idea utama Eucken?

Eucken, sejak pertemuan MPS pertama, meyakini bahawa ancaman utama kebebasan ekonomi datang dari sektor swasta, berbeza dengan pandangan pendokong ekonomi pasaran terbuka yang mendakwa ancaman tersebut terutamanya datang daripada kerajaan. Kebebasan ekonomi bermaksud persaingan penuh bagi memastikan mekanisme harga berfungsi. Tujuan utama ialah membolehkan harga pasaran digunakan dan persaingan adalah jalan mencapainya.

Ancaman yang sering dikemukakan antaranya ialah kekayaan tanpa usaha, desakan untuk mendapat perlindungan, keistimewaan, merentir (rent-seeking) dan tanggungan (bailout) selain kecenderungan kepada monopoli dan kartel (pakatan swasta untuk menetapkan harga).

Eucken percaya bahawa kerajaan mempunyai peranan dalam ekonomi, dan ia mesti dilakukan secara sedar. Namun peranan yang perlu dimainkan bukanlah seperti idea Keynesian, apatah lagi Sosialisme-Komunisme.

Erhard, dalam menjelaskan aspek ini, menyatakan: “Dalam satu permainan bola sepak yang bagus, kita perlu sedar bahawa ia mengikut peraturan yang jelas dan telah ditentukan lebih awal. Sasaran saya dengan dasar ekonomi berasaskan pasaran ialah untuk meletakkan keteraturan dan peraturan permainan. Penonton perlawanan bola sepak akan menolak penentuan awal jumlah gol yang boleh dijaringkan oleh mana-mana pemain atau pasukan, dan kemudian pemain dan pasukan ini tidak menunjukkan permainan yang adil dan menarik sebagaimana dijangka dan dibayar melalui tiket masuk penonton.  Dengan maksud yang sama, saya mengambilnya sebagai asas kepada mana-mana ekonomi berasaskan pasaran untuk memastikan kebebasan persaingan. Ini hanya boleh wujud di mana tiada apa atau sesiapa pun dibenarkan menekan kebebasan tetapi kebebasan ini dijamin oleh undang-undang dan merupakan satu hadiah paling berharga dalam masyarakat.”

Selain itu, aspek penting dan membezakan ekonomi pasaran sosial dengan ekonomi pasaran terbuka ialah persoalan keselamatan sosial. Ketidaksempurnaan pasaran seringkali melibatkan kos melangkaui soal untung rugi jual beli justeru ia perlu bersifat manusiawi dengan mengambil kira tuntutan keadilan dan kestabilan sosial.

Eucken percaya bahawa persoalan sosial perlu dimasukkan dalam pertimbangan dasar namun langkah pembetulan tidak bersifat kekal. Sementara jaminan pendapatan minima perlu bagi yang kurang upaya kerana faktor kesihatan (seperti sakit atau cacat), inisiatif bebas harus memainkan peranan dalam hal perlindungan sosial jika majoriti masyarakat benar-benar percaya keperluan ini. Antara contoh yang boleh dilihat kini, kerajaan menetapkan piawaian tertentu untuk institusi kesihatan dan ia diusahakan oleh pelbagai pihak swasta atau badan sosial.

Seterusnya, kesatuan sekerja tidak wajar memonopoli rundingan gaji pekerja. Kerajaan juga tidak wajar campur tangan. Prinsip penentuan bersama (co-determination) untuk syarikat yang mempunyai bilangan pekerja ramai dirangka bagi membolehkan perwakilan pekerja dimasukkan ke dalam ahli lembaga pengarah untuk terlibat dalam membuat keputusan.

Memang, ekonomi pasaran sosial bukanlah idea yang harus dibiarkan tanpa bahas. Sepanjang sejarah, manusia mahukan kebebasan dan pada masa yang sama juga mahukan keadilan. Apakah ia mampu ditawarkan oleh ekonomi pasaran sosial? Kitalah yang perlu menjawabnya.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s