Air Oh Air…

Oleh: Amin Ahmad

Sudah lebih seminggu kawasan kediaman saya menghadapi catuan air.

Kebetulan musim panas kering ini berlaku ketika isu memorandum persefahaman air antara kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan Malaysia hangat diperkatakan.

Isu ini tenggelam kerana sejumlah isu lain timbul, khususnya kehilangan pesawat dan penumpang MH370 yang masih gagal dikesan.

Sementara ikhtiar dan siasatan sedang diteruskan, kita tidak semestinya membiarkan isu-isu lain terbiar. Ini termasuk isu air.

Kebetulan, saya sempat mengikuti isu air ini daripada dekat kerana pernah bertugas di pejabat Menteri Besar Selangor antara tahun 2010-2012.

Bahkan, saya antara mereka yang ditahan semasa demonstrasi kembalikan hak air kepada rakyat pada tahun 2010.

Air untuk semua

Antara mesej halus kempen kembalikan hak air kepada rakyat pada tahun 2010 ialah penolakan kepada apa yang dipanggil kapitalisme (baca: penswastaan air).

Mesej ini bersandar kepada premis bahawa air adalah hak asasi manusia, maka ia perlu diberikan secara percuma kepada semua pihak, atau sekurang-kurangnya tidak ada mana-mana pihak patut menjana keuntungan daripadanya.

Maka, ramai yang percaya bahawa kerajaan patut menguruskan bekalan dan perkhidmatan air, bukannya syarikat swasta.

Dalam mesej ini turut diselitkan kenyataan kelebihan negara ini yang dilimpahi banyak air hujan serta jaringan sungai yang panjang dan luas.

Tindakan ini, antara lain terdorong daripada hasrat kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih industri perkhidmatan air daripada syarikat pemegang konsesi.

Komitmen negeri Selangor juga turut ditunjukkan dalam dua tindakan lain iaitu 1) menolak tuntutan syarikat bekalan air untuk menaikkan caj utiliti air dan 2) dasar pemberian ‘air percuma’ sebanyak 20 meter padu kepada setiap rumah yang menggunakan meter individu.

Umum tahu, berdasarkan banyak kenyataan yang dibuat, pertikaian besar yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri Selangor ialah kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mematuhi sejumlah syarat perjanjian penswastaan yang dipersetujui sebelumnya.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri Selangor juga mengamalkan dasar pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu di mana tanggungan kos sebanyak sekitar RM100 juta dikeluarkan pada setiap tahun.

Selepas memorandum persefahaman ditandatangani, Menteri Besar Selangor dipetik berkata kepada pihak media bahawa “…air percuma 20 meter padu untuk setiap rumah yang ada meter akan diberi sekurang-kurangnya 3 tahun atau 5 tahun akan datang.”

Penilaian kritis

Daripada semua maklumat ini, kita boleh melihat beberapa perkara penting iaitu: Pertama, meskipun kuantiti hujan di negara ini tinggi, air masih perlu diproses.

Untuk sampai kepada peringkat akhir proses, pelbagai kemudahan infrastruktur dan teknologi perlu dibangunkan.

Ini melibatkan kos yang bukannya sedikit. Jika dibina oleh kerajaan, kos ini umumnya akan  ditanggung melalui kutipan cukai (baca: dipindahkan kepada orang ramai).

Dalam kes ini, semakin tinggi cukai yang dibayar oleh seseorang, semakin banyak tanggungan ini terkena kepada mereka.

Sementara semakin rendah cukai yang dibayar oleh seseorang, semakin kurang tanggungan ini terkena kepada mereka.

Jika dibina oleh swasta, kos ini akan ditanggung melalui pinjaman bank dan dipindahkan kepada orang ramai melalui caj utiliti.

Dalam kes ini, semakin banyak seseorang menggunakan atau membazirkan air, semakin tinggi mereka perlu membayarnya.

Kedua, tidak ada istilah ‘air percuma’ kerana bayarannya ditanggung oleh kerajaan.

Berdasarkan fakta yang ada, jelas bahawa ‘air percuma’ yang dimaksudkan ditanggung oleh kerajaan negeri, dan jumlahnya tidaklah kecil.

Sekali lagi, kos ini umumnya didapatkan daripada orang ramai melalui pelbagai cara.

Jika ia ditanggung oleh anak syarikat kerajaan negeri sekalipun, kutipan yang sama banyak dengan tanggungan ini akan dipindahkan kepada orang ramai melalui pelaburan yang dibuat.

Sekiranya tanggungan ini dibuat melalui kutipan cukai, maka sekali lagi semakin tinggi cukai yang dibayar oleh seseorang, semakin banyak tanggungan ini terkena kepada mereka.

Daripada dua hujah ini, jelas bahawa hujah hak asasi tidak bermaksud segala sesuatu mesti disediakan secara percuma, terutama keperluan asas seperti air.

Ketiga, perlunya akses kepada maklumat perjanjian penswastaan yang dibuat oleh kerajaan.

Ini penting kerana melalui perjanjian ini, kita boleh melihat sama ada ia mempertimbangkan persoalan keadilan kepada semua pihak secukupnya.

Berdasarkan banyak kes penswastaan di Malaysia yang dianggap gagal atau bermasalah, kebarangkalian wujud ketempangan dalam perjanjian dan amalan pihak-pihak berkaitan ada.

Isu sama ada bekalan dan perkhidmatan air patut diswastakan atau tidak masih menjadi perdebatan hangat di seluruh dunia.

Jika penswastaan air dikecam kerana faktor keuntungan, kita wajar menilai ‘saham emas’ kerajaan dalam semua perjanjian penswastaan kerana ia juga antara faktor pendorong bayaran lebih yang perlu dibuat oleh orang ramai.

Saya ternanti konsep baru dalam pemilikan harta yang dijanjikan oleh Menteri Besar Selangor untuk diperkenalkan bagi menyelesaikan masalah air.

Mungkin di sana ada penyelesaian besar kepada isu ini, bukan sahaja di Selangor, tetapi di seluruh dunia.

Tulisan ini telah disiarkan di The Malaysian Insider pada 19 Mac 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s