Defisit dan permasalahannya

Saya masih ingat, semasa menjadi ahli panel jemputan perbincangan Belanjawan 2013 di sebuah saluran televisyen swasta, antara penekanan yang dinyatakan ialah kepentingan untuk menangani defisit fiskal.

Dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Sidang Kemuncak Ekonomi Negara Mac lalu, beliau mengaku defisit dan hutang mampu membahayakan negara, tetapi ia tidak semestinya buruk.

Beliau memberi gambaran masalah defisit antara lain disumbangkan oleh peningkatan subsidi, iaitu RM44 billion, meningkat daripada sekitar 15% kepada lebih 21% antara 2010 dan 2012.

Untuk rekod, sejak 1970 hingga 2013, Malaysia mengalami defisit sebanyak 41 kali. Mengikut Laporan Ekonomi Malaysia 2013/2014, hutang negara meningkat daripada 36% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 1998 kepada 52.6% KDNK.

Dalam konteks ekonomi, ada yang memberi justifikasi hutang negara pada masa ini bukan masalah besar kerana peratusan besarnya adalah hutang domestik. Selain itu, justifikasi turut sama diberikan terhadap defisit sebagai keperluan untuk pembangunan, berasaskan teori ekonomi Keynesian.

Defisit dan hutang

Apakah defisit? Defisit bermaksud dalam belanjawan kerajaan berbelanja lebih daripada pendapatannya (baca: cukai yang dikutip). Hutang pula ialah jumlah pinjaman kerajaan daripada pihak lain untuk menampung belanjawan.

Defisit lazimnya ditunjukkan dalam belanjawan setiap tahun tetapi hutang meliputi defisit tahun-tahun sebelumnya.

Baik buruk hutang bergantung kepada kemampuan kerajaan untuk membayar balik pada masa akan datang. Kajian ahli ekonomi IMF, Abdul Abiad dan Jonathan Ostry menunjukkan tahap hutang yang munasabah ialah pada kadar 30% KDNK sesebuah negara.

Masalah defisit

Antara keburukan defisit dan hutang ialah

1) penambahan hutang dan faedah hutang (kos dilepaskan) 2) inflasi 3) kesan himpitan keluar (crowding out effect) serta 4) peningkatan cukai dan kadar faedah. Apabila sesebuah negara berhutang, sama ada di peringkat domestik atau luar, hutang ini masih tetap perlu dibayar. Setiap hutang ini mempunyai faedahnya tersendiri. Semakin besar jumlah hutang, maka semakin besarlah faedah yang perlu dibayar.

Dengan jumlah hutang sebesar RM500 billion, faedah sekecil satu peratus bersamaan dengan nilai RM5 billion. Itu jika nilainya satu peratus. Jika nilainya lima peratus, ia bermaksud nilainya ialah RM25 billion. Menurut Laporan Ekonomi Malaysia, jumlah bayaran sebenar perkhidmatan hutang negara ialah 10.7% (anggaran belanjawan) atau bersamaan dengan hampir RM23.2 billion.

Lazimnya, bon akan dikeluarkan untuk menangani defisit. Jika bon ini dikeluarkan kepada orang ramai, maka defisit tidak akan menghasilkan inflasi. Ini kerana tidak ada wang baru dikeluarkan. Orang ramai membeli bon ini daripada simpanan mereka sendiri.

Tetapi, bon ini juga mungkin dijual kepada sistem perbankan. Melaluinya, wang baru dikeluarkan dan ia  akan menghasilkan inflasi.

Himpitan keluar bermaksud pihak selain kerajaan dinafikan atau diminimakan peluang untuk meminjam, melabur atau membelanjakan simpanan atau pendapatan mereka. Apabila kerajaan melakukan sesuatu perkara, peranan pihak lain semakin berkurangan.

Sebenarnya, semua hasil cukai yang dikutip kerajaan menghimpit keluar perbelanjaan sebenar yang mungkin akan dibuat oleh pihak yang dicukai. Selain itu, himpitan keluar berlaku apabila kadar faedah untuk meminjam naik disebabkan pinjaman besar kerajaan. Ini menghalang pihak selain kerajaan untuk meminjam dan melabur. Di sini jelas, meskipun pembelian bon dibuat oleh orang ramai, tidak dibiayai oleh bank, ia masih mempunyai kesan himpitan keluar.

Kadangkala, sesebuah kerajaan menangani masalah defisit dengan memperkenalkan cukai baru atau meluaskan lagi kutipan cukai.

Sebagaimana pernah diungkapkan oleh Cyril Northcote Parkinson dalam Parkinson’s Law: The Pursuit of Progress: “Perbelanjaan akan ditingkatkan untuk menyamai pendapatan”. Dalam kata lain, jika kerajaan mahu melakukan defisit pada kadar tertentu, katakan 5%, maka ia akan memastikan, meskipun jumlah pendapatan yang ada sudah cukup besar, perbelanjaan ditambah selari dengan nilai defisit itu.

Kadangkala, inflasi disamakan dengan cukai. Cuma inflasi adalah cukai tidak langsung. Jika inflasi sering dianggap masalah, maka cukai juga perlu dilihat sebagai masalah. Tetapi sebenarnya cukai adalah lebih buruk. Dengan inflasi, sekurang-kurangnya lebihan bayaran itu masih boleh digunakan untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang kita perlukan. Sebaliknya wang yang diberikan atas cukai akan diguna oleh kerajaan untuk tujuan yang mungkin kita tidak perlukan.

Tidak ada jalan pintas yang mudah untuk menangani defisit yang besar. Langkah tegas perlu diambil oleh kerajaan ialah mengurangkan perbelanjaannya. Saya akan cuba menulis mengenai di mana dan bagaimana defisit ini boleh ditangani dalam tulisan akan datang, insyaAllah.

Disiarkan di The Malaysian Insider pada 4 April 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s