Laporan Ketua Audit Negara: Baru bunganya sahaja

Oleh Amin Ahmad

Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 telah diterbitkan melibatkan sebanyak 17 program, aktiviti dan projek di bawah 14 Kementerian dan jabatan serta pengurusan dua syarikat kerajaan.

Laporan ini telah disediakan berasaskan peruntukan Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 yang menghendaki Ketua Audit Negara mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan, aktiviti Kementerian/Jabatan serta pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan dan memberi Laporan mengenainya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seterusnya mendapatkan  perkenan supaya Laporan itu dibentangkan di Parlimen.

Saban tahun, khususnya beberapa tahun kebelakangan ini, Laporan Ketua Audit Negara ini diberikan perhatian besar kerana antaranya persaingan antara parti-parti politik di mana pengesahan kecekapan pentadbiran kewangan dinyatakan dalam laporan ini dan laporan ini juga dianggap berani mendedahkan beberapa kelemahan dan penyelewengan badan eksekutif.

Kelemahan dan penyelewengan

Menurut Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, umumnya terdapat beberapa kelemahan seperti 1) pembayaran tidak betul; 2) kerja/bekalan/perkhidmatan tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti/tidak sesuai; 3) lewat dan harga tidak munasabah; pembaziran; 4) kelemahan pengurusan hasil, pengurusan dan penyelenggaraan aset kerajaan; 5) tidak menurut undang-undang alam sekitar dan 6) kelemahan pengurusan syarikat kerajaan.

Beliau juga menjelaskan punca kelemahan iaitu 1) kecuaian dalam mematuhi peraturan/prosedur yang ditetapkan kerajaan; 2) kurang teliti semasa merancang program/aktiviti/projek dan menetapkan skop serta spesifikasi tender; 3) tidak memantau dengan kerap dan teliti kerja kontraktor/vendor/perunding; 4) kurang kemahiran dalam pengurusan projek; 5) lewat membuat keputusan mengenai perolehan; 6) sistem maklumat kementerian/jabatan/syarikat kerajaan yang tidak lengkap dan tidak kemas kini; 7) kurang memberi perhatian terhadap keberhasilan/impak sesuatu program/aktiviti/projek dan 8) kurang peruntukan untuk penyelenggaraan aset.

Pengulangan masalah yang sama seakan menggambarkan bahawa tidak ada langkah penambahbaikan atau pencegahan diambil daripada laporan-laporan terdahulu.

Sebagaimana laporan terdahulu, kita tidak tahu sepenuhnya berapakah jumlah kerugian daripadanya. Secara terkumpul, daripada apa yang dibentangkan pada tahun lalu, jumlahnya mencecah berbillion ringgit! Harus diingat bahawa pada tahun lalu laporan merangkumi 45 program/aktiviti/projek yang dilakukan oleh Kementerian/jabatan serta pengurusan enam buah syarikat berkaitan kerajaan.

Kerugian besar negara

Mengambil kira pengulangan masalah yang sama saban tahun, kita boleh menganggap masalah ini juga  meluas dan jumlah kerugian sebenar adalah jauh lebih tinggi. Jika diambil anggaran kerugian sebanyak RM3.5 billion dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012, maka tidak mustahil kerugian sebenar mencecah sehingga RM35 billion, atau 10 kali ganda daripada apa yang didedahkan. Tidak keterlaluan untuk kita mengatakan kerugian yang dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara baru bunganya sahaja.

Sehingga kini, untuk Laporan Ketua Audit Negara 2013, kita hanya dapat mengakses Siri 1. Selain aspek kewangan, kita juga mesti menghitung kerugian dalam aspek lain. Sebagai contoh, Kompleks Mahkamah Baru Kuantan, Pahang yang lewat disiapkan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, pembinaan yang bermula pada 8 Julai 2009 ini sepatutnya disiapkan dalam tempoh 78 minggu atau 546 hari. Ia bagaimanapun hanya disiapkan pada 17 Julai 2012 dan diserahkan pada 20 Julai 2012, iaitu 1,106 hari, lewat 80 minggu atau 560 hari!

Selain kos pembinaan yang meningkat sebanyak RM19.56 juta, anggaran kerugian lain harus dihitung kerana Kompleks ini tidak dapat beroperasi selama 80 minggu seperti yang dirancang. Dalam perkataan lain, produktiviti yang sepatutnya dihasilkan melalui Kompleks baru hilang selama 80 minggu. Ini jarang diberi perhatian kerana ia tidak berpeluang beroperasi. Lebih malang lagi ialah ia tidak ditanggung oleh kontraktor, bahkan mungkin mereka menjana keuntungan baru melalui peningkatan kos pembinaan.

Jumlah bagi satu kes ini sahaja sudah cukup besar untuk menanggung pelbagai jenis pembangunan atau kebajikan yang mendesak, atau setidak-tidaknya bantuan kebajikan yang munasabah.

Suka atau tidak, kelemahan dan penyelewengan ini turut menyumbang kepada masalah defisit negara.

Cegah sebelum terlambat

Saban tahun ahli politik dan pemimpin kerajaan mengucapkan retorika lama untuk menangani rasuah. Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini diadakan pula Larian Hapuskan Rasuah. Bagaimanapun, ketika komitmen mereka diperlukan, banyak dolak-dalik yang dibuat. Syor-syor audit juga tidak menunjukkan perlunya tindakan undang-undang yang lebih tegas bagi memastikan penyelewengan dan kelemahan yang berlaku dicegah sebelum terlambat.

Kita memerlukan langkah radikal untuk memastikan usaha ini dapat dilaksanakan secara berkesan. Ini termasuk antaranya:

1) Kajian semula terhadap prosedur berkaitan pembelian dan pemberian kontrak mesti dibuat segera dan unsur yang bersifat tidak telus, tidak adil dan membataskan capaian maklumat perlu diperbetulkan. Undang-undang dan peraturan perlu dipastikan tidak menjadi alat penyelewengan. Tender terbuka, penguatkuasaan Akta Persaingan dan proses pemilihan yang telus sangat penting. Kita tidak mahu hanya prosedur sahaja dipatuhi walhal tindakan bermoral dibelakangi. Syarat ganti rugi seperti kes binaan yang runtuh atau pemantauan terhadap spesifikasi pembinaan jalan mesti dimasukkan.

2) Kerahsiaan boleh menjadi sebahagian daripada pematuhan prosedur yang boleh membuka peluang penyelewengan dan kelemahan urus tadbir. Justeru, Akta Kebebasan Maklumat perlu digubal. Selain daripada banyak kajian mengenai rasuah yang telah banyak dijalankan, jelas sekali kuasa penuh Ketua Audit Negara untuk mendapatkan maklumat dan keterangan serta penjelasan dalam menjalankan kewajipannya sekurang-kurangnya berhasil mendedahkan apa yang di luar pengetahuan umum kerana aspek kerahsiaan di sebalik tindakan ini. Bayangkan jika maklumat lebih terbuka.

3) Setelah banyak laporan audit dikemukakan sebelum ini, tindakan terhadap pihak-pihak berkaitan tidak langsung kedengaran. Seharusnya, dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 pada tahun hadapan, dilampirkan bersama maklum balas tindakan yang telah diambil oleh pihak-pihak yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 sehingga selesai. Kita tidak mahu laporan demi laporan serta jawapan balas yang dibuat hanya menjadi tidak lebih daripada satu formaliti.

4) Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak-pihak yang berlaku curang dalam kes pembelian atau pemberian kontrak. Jika perlu, satu proses mahkamah perlulah diambil. Buang mana-mana kakitangan awam yang terlibat dalam proses penentuan penerima kontrak. Proses pengambilan kakitangan awam yang baru juga mesti diperketatkan. Konflik kepentingan misalnya anak menteri tertentu diberi tugas menjaga projek berkaitan pembangunan koridor utara sedangkan bapanya adalah pengerusi untuk projek tersebut wajib dielakkan.

5) Kita tidak boleh mengenepikan kemungkinan campur tangan politik sama ada daripada pihak menteri atau kakitangan yang dilantik. Dalam kes di luar negara misalnya, timbul masalah kerana kakitangan awam kebanyakannya tidak tahu atau berasa tidak dilindungi untuk melaporkan kejadian rasuah yang berada dalam pengetahuan mereka. Satu mekanisme yang sesuai perlu difikirkan untuk membolehkan semua pihak, bukan sahaja penjawat awam, membuat laporan berkaitan tanpa berasa terancam.

Sudah tentu banyak lagi yang boleh dikemukakan. Akhirnya, iltizam daripada semua pihak untuk mendukung amanah dan memelihara maruah diri dan negara diperlukan bagi memastikan kes seperti ini tidak berulang lagi, atau paling tidak diminimakan.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s