Hudud: Apakah sikap kita?

Oleh : Amin Ahmad

Kebelakangan ini berita keinginan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu melaksanakan hudud di Kelantan kembali kecoh. Cuma yang berbeza kali ini ialah Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) memilih untuk mengambil sikap terbuka, tidak akan menghalang sekiranya PAS mahu melaksanakan keinginan tersebut.

Keterbukaan UMNO ini tentulah sedikit janggal kerana selama ini terutama di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir, keinginan tersebut sentiasa ditolak. Dr. Mahathir dalam beberapa kenyataannya terkini kelihatan masih tetap dengan pendirian yang sama.

Umumnya, penggiat dan pemerhati politik melihat keterbukaan UMNO ini sebagai langkah strategik bagi menggugat kerjasama politik Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).

Umum maklum dengan keinginan PAS melaksanakan hudud, malah ia boleh dikatakan sebagai raison d’être (sebab kewujudan) parti tersebut. Umum juga maklum DAP tidak setuju dengan keinginan PAS dengan pelbagai sebab antaranya ialah 1) percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan dalam hal bidang kuasa persekutuan dan negeri, 2) menolak negara agama yang cenderung bersifat autokratik dan menjadikan warga yang berbeza agama di ‘kelas kedua’, dan 3) menolak jenis hukuman yang dikenakan misalnya bunuh untuk murtad dan potong tangan untuk mencuri.

Daripada perkembangan komentar pelbagai pemimpin dan penyokong parti-parti ini, khususnya PAS dan DAP, ternampak persoalan hudud ini berhasil menggugat hubungan PAS dan DAP.

Apa yang pasti Persatuan Cina Malaysia (MCA), Kongres India Malaysia (MIC) serta parti-parti gabungan BN tidak (atau sebenarnya tidak dibenarkan?) menyatakan sikap mereka dengan jelas, atau sekurang-kurangnya tidak diberitakan secara meluas oleh media. Selain itu, UMNO yang kini sedang berkuasa di Terengganu tidak menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) yang telah digubal dan kemudian dipersetujui Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pada 23 November 2003. Malah, selama ini UMNO tidak pernah berusaha untuk membentangkan hudud sebagai dasar hukuman jenayah meskipun mendakwa Enakmen berkaitan hudud yang dibentangkan di Kelantan ada kekurangan dan disebut sebagai ‘hudud PAS’.

Ideal perjuangan PAS

Mari kita tinggalkan sebentar persoalan politik kepartian yang sering menguasai perbincangan berkaitan isu ini. Ini penting memandangkan persoalan hudud ini bukan sahaja dibincangkan di Malaysia tetapi ia juga menjadi agenda parti-parti atau gerakan berorientasikan Islam di banyak negara khususnya yang didiami majoriti muslim.

Saya fikir elok terlebih dahulu kita memahami bagaimana ideal perjuangan PAS dan parti serta gerakan Islam ini muncul.

Sesuai dengan orientasi Islam, PAS dan parti serta gerakan Islam ini tentulah menyandarkan keinginan mereka melaksanakan hudud kepada al-Quran dan Sunnah, sumber rujukan penting dan utama bagi muslim. Daripadanya hukuman terhadap zina, minum arak, qazaf (menuduh seseorang melakukan zina), mencuri, hirabah (merompak), murtad dan bughah (memerangi pemerintah yang adil) ditentukan.

Oleh itu PAS (dan parti serta gerakan Islam di pelbagai negara) membayangkan hudud sebagai pemboleh ubah utama dalam menentukan sama ada sesebuah negara itu layak dipanggil negara Islam atau tidak. Hudud adalah satu kewajipan agama. Itulah sebab mengapa PAS (dan parti serta gerakan Islam ini) akan terus dan tidak akan berhenti mengulanginya sebagai ideal perjuangan yang mesti dilaksanakan.

Secara mudahnya, perjuangan untuk melaksanakan hudud adalah raison d’être (sebab kewujudan) PAS  (dan parti serta gerakan Islam ini). Ini pernah cuba disampaikan secara tersirat oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS bahawa sekiranya UMNO telah melaksanakan hudud, PAS boleh dibubarkan.

PAS (dan parti serta gerakan Islam ini) dibentuk berasaskan kaedah hukum “jika sesuatu diperlukan untuk menyempurnakan perkara wajib, maka sesuatu itu menjadi wajib” atau dalam bahasa mudahnya untuk menegakkan hukum hudud, kuasa diperlukan. Untuk berkuasa dalam realiti politik moden, mestilah melalui cara yang sah iaitu bertanding dan menang pilihan raya. Untuk bertanding dan menang dalam pilihan raya, parti politik perlu dibentuk dan gerak kerja yang sesuai harus dijalankan.

Ini dikuatkan lagi dengan seruan agar setiap muslim memasuki Islam secara kaffah (menyeluruh) (surah al-Baqarah, ayat 208) sebagai penegasan bahawa Islam tidak terpisah dengan politik. Maka pilihan PAS menyertai pilihan raya adalah tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Sebagaimana manusia mengimani Tuhan tanpa melihat-Nya, atau mengimani Nabi tanpa bertemunya, maka begitulah hudud – dikaitkan dengan keimanan kepada perintah Tuhan yang ada dalam al-Quran serta sunnah. Maka, pelaksanaannya dituntut tanpa soal. Untuk menyokong pandangan ini, kadangkala hujah dilanjutkan misalnya apabila Tuhan memerintahkan solat, maka kita tidak perlu bertanya apakah tujuannya serta mengapa pergerakan tertentu dibuat.

Meskipun perbandingan ini kurang tepat, tidak keterlaluan untuk berkata bahawa perjuangan PAS serta parti dan gerakan Islam di pelbagai negara yang mahu melaksanakan hudud adalah perjuangan yang bersifat keimanan, bukan soal politik dasar dan strategi yang biasa. Malangnya, persoalan rasional – perbincangan terbuka dan kritikal – seakan tenggelam, sama ada diabaikan atau dianggap tidak perlu.

Ini realiti sebenar yang perlu difahami. Rumit atau tidak, ia perlu ditangani dengan saksama.

Sikap demokratik dan sederhana

Apa juga sikap kita – setuju, kurang setuju atau tidak setuju, pilihan PAS untuk memperjuangkan hudud melalui proses pilihan raya wajar dipuji. Komitmen PAS kepada cara demokratik ini perlu dihargai. Untuk saya, PAS berhak menyuarakan ideal perjuangan mereka.

Dengan cara demokratik juga, PAS perlu memahami bahawa tentangan, penolakan atau kritikan kepada ideal perjuangan mereka itu perlu dihargai. Sementara pendekatan demokratik yang digunakan PAS itu wajar dipuji, kita tidak boleh melupakan atau mengabaikan hakikat sejarah betapa Hitler misalnya turut muncul berkuasa melalui jalan demokratik sebelum menghancurkannya. Malah, PAS tentu bersetuju jika dikatakan sejumlah undang-undang yang bersifat anti-demokrasi juga telah digubal melalui pemahaman cetek bahawa ia telah diusulkan melalui jalan demokratik dan disokong oleh majoriti dua pertiga.

Demokrasi deliberatif mesti dihidupkan waima pada masa akan datang hudud berjaya digubal, sama ada oleh PAS, UMNO atau parti-parti lain.

Biarlah kita menerima sementara ilmuwan muslim berpendirian bahawa hukum hudud wajib diimani oleh muslim, mereka juga berpendirian pelaksanaan hudud berbeza dengan kewajipan tersebut kerana ia memerlukan pelbagai syarat dan persediaan. Tambahan pula, sistem bernegara bukan hanya berkisar mengenai hukuman terhadap jenayah sahaja.

Saya yakin pimpinan PAS juga memahami persoalan ini. Sebab itu Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menyebut bahawa hukum hudud bukanlah keutamaan meskipun Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya.

Meskipun saya berpendapat hujah yang diberikan beliau iaitu keperluan menangani masalah ekonomi seperti peningkatan gaji dan mengatasi pengangguran tidak cukup kuat, sekurang-kurangnya Tuan Guru Abdul Hadi Awang memahami bahawa persoalan kenegaraan jauh lebih besar dan rumit. Ini juga ‘sesuai’ dengan kenyataannya lama dulu bahawa hudud hanyalah 0.01% daripada hukum syariah. Justeru PAS mesti sedar kemungkinan besar mereka gagal menewaskan UMNO di banyak tempat adalah berpunca daripada sokongan hanya diberikan terhadap 0.01% tetapi pada masa yang sama orang ramai telah menolak 99.99% lagi agenda mereka.

Apakah wajar untuk PAS memberi tumpuan berlebihan kepada 0.01% dan mengabaikan 99.99% lagi dalam usaha mereka mendapatkan dan mengekalkan kuasa? Bukankah ada kaedah hukum “jika tidak dapat melakukan semuanya, janganlah ditinggalkan semuanya”?

Bercanggah dengan Perlembagaan?

Jika alasan mengatakan Perlembagaan Persekutuan menghalang, saya fikir dalam situasi di mana UMNO kini ‘tidak menghalang’, kita wajar mula memikirkan potensi sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk membolehkan hudud dilaksanakan pada masa akan datang. Ini tidak mustahil, atas tujuan serta apa juga sebab.

Selepas sekian lama ideal perjuangan PAS sering digambarkan ditolak oleh semua parti, mungkin kini tiba masanya untuk kita membenarkannya dilaksanakan.

Dengan membenarkan Kelantan melaksanakan hudud, ia secara tidak langsung membolehkan berlaku desentralisasi kuasa. Melaluinya, Kerajaan Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS boleh menawarkan set undang-undang jenayah yang berbeza dengan set undang-undang yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri-negeri lain. Kita boleh memberi pilihan sama ada pihak-pihak yang terlibat mahu menggunakan set undang-undang jenayah negeri (di mana kes berlaku, atau dipilih oleh mereka yang terlibat dalam kes di luar Kelantan) atau persekutuan.

Untuk saya, kebimbangan mengenai dualisme sistem perundangan tidak timbul, sekurang-kurangnya dari perspektif sejarah Islam.

Berdasarkan beberapa hadis, Rasulullah s.a.w. ada menganjurkan penyelesaian kesalahan hudud sesama sendiri (rujuk misalnya maksud hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i), atau dalam maksud lain ia tidak dibicarakan mengikut undang-undang yang digubal kerana sekiranya pilihan demikian dibuat maka hukuman wajib dijalankan. Ini sama seperti penyelesaian di luar mahkamah.

Dalam hadis lain pula Rasulullah s.a.w. bersabda agar pelaksanaan hudud diketepikan sedaya upaya jika ada keraguan. Ini ditegaskan lagi dengan kenyataan bahawa seseorang pemerintah atau hakim yang tersalah mengenakan hukuman lebih ringan atau membebaskan pesalah adalah lebih baik daripada yang tersalah menjatuhkan hukuman dengan siksaan berat (rujuk maksud hadis yang diriwayatkan oleh al-Sayuti, Ibnu Majah, al-Tirmizi, al-Hakim dan al-Bayhaqi).

Dalam maksud lain, setiap kes berkaitan hudud boleh dibawa ke mahkamah syariah tetapi sekiranya ada mana-mana pihak tidak bersetuju, maka ia tidak boleh digunakan (atas sebab terdapat keraguan), atau secara automatiknya set undang-undang jenayah di mahkamah sivil akan dipakai. Sekiranya pihak-pihak yang terbabit bersetuju, maka mahkamah syariah digunakan. Set undang-undang berbeza wajib ada, sesuai dengan saranan Rasulullah s.a.w. dalam maksud hadis yang dikutip di atas. Set undang-undang berbeza ini tidak menjadikan ia ‘tidak Islam’ atau ‘kurang Islam’ hanya kerana ia tidak dijelaskan dengan nyata dalam al-Quran dan sunnah.

Berdasarkan ini, saya menjangkakan kebanyakan kes yang melibatkan orang bukan muslim pastilah tidak akan menggunakan set undang-undang ini. Bahkan, tidak keterlaluan untuk dikatakan pada peringkat awal, orang ramai menjangka kes melibatkan dakwaan terhadap pimpinan dan ahli PAS akan dijalankan mengikut set undang-undang jenayah di Kelantan ini.

Namun, ia masih perlu dibincangkan secara meluas memandangkan terdapat banyak kes peguam dan orang bukan muslim tidak diperuntukkan hak yang sesuai untuk menjalankan tugas guaman dan diadili di mahkamah syariah selama ini, atas alasan mereka tidak memahami Islam. Ini sangat janggal, seolah-olah keadilan tidak boleh didapatkan oleh orang bukan muslim di mahkamah syariah.

Setelah sekian lama persoalan ini tidak selesai, dan ia terus dibangkitkan, saya fikir mungkin cara terbaik untuk membolehkan isu ini ‘betul-betul selesai’ ialah dengan membenarkan Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakannya. Ini dapat mengurangkan banyak perbincangan politik yang tidak perlu.

Sementara kita tahu dokumen Negara Islam yang pernah diterbitkan PAS pada tahun 2003 diakui dibuat secara tergesa-gesa selepas dicabar oleh UMNO (meskipun slogan Negara Islam telah lama dilaungkan), maka tentulah kali ini PAS lebih bersedia melaksanakan hudud. Sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan tidak bersedia, maka pastilah ramai akan kecewa lagi…dan kesannya mungkin PAS tidak akan dilihat sebagai alternatif terbaik menggantikan UMNO, selamanya.

Oh, saya terlupa. Kita juga mungkin perlu mula memikirkan juga kemungkinan nanti penganut agama selain Islam, misalnya Kristian, Hindu dan Buddha menuntut hukuman jenayah yang lain, juga atas nama agama, dan penganut agama lain tidak berhak campur tangan!

Semoga masa depan kita semakin cerah bila semua mahu kembali kepada agama!

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s