DNA Babi, Sijil Halal dan Pasaran Terbuka

Oleh : Amin Ahmad

Untuk sekian kalinya isu makanan mengandungi campuran babi menjadi isu di Malaysia. Kali ini ianya ialah coklat Cadbury.

Rentetan daripada itu kita mendengar sejumlah kecaman, antaranya saman dan ugutan bakar kilang. Ini tidak termasuk sejumlah kenyataan janggal misalnya membiayai kos penukaran darah serta persoalan pelik tentang bagaimana ibadat akan diterima sekiranya seseorang sudah terpalit dengan DNA babi bila termakan coklat tersebut.

Pada mulanya saya fikir isu ini biasa kerana sudah berulang kali timbul. Malah ada fatwa pernah diberikan mengenainya dan ia sangat memuaskan.

Namun reaksi luar jangka yang timbul menunjukkan ada sesuatu yang lebih daripada itu perlu ditangani. Ada kecenderungan berlebihan yang bukan sahaja menggambarkan pegangan ekstrim atau berpilih di kalangan umat Islam yang bukan sahaja buruk terhadap imej dan mesej agama, tetapi juga kepada situasi ekonomi secara khusus.

Industri halal dan patuh syariah

Saya melihat perkembangan ‘industri halal dan patuh syariah’ kian rancak terutamanya sejak satu dekad kebelakangan ini, meskipun diakui perbincangan mengenainya sudah lama berlaku. Umumnya, sambutan ini kuat dirasakan kerana Malaysia adalah negara majoriti Islam yang agak terkenal di seantero dunia.

Dengan anggaran bilangan populasi umat Islam di seluruh dunia pada masa kini mencecah 1.6 bilion orang atau sekitar 23% populasi penduduk dunia, dan jumlah ini dijangka meningkat secara signifikan pada masa akan datang, tentulah ‘industri halal dan patuh syariah’ wajar dilihat sebagai satu kelebihan persaingan (competitive advantage) bagi memacu ekonomi negara.

Menurut data Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia, perdagangan halal yang dijana pada 2012 di seluruh dunia mencecah RM2.3 trilion dan ini tidak termasuk sektor kewangan. Data daripada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga menunjukkan keluaran dalam negara kasar per kapita bagi umat Islam di seluruh dunia juga meningkat antara 1990-2010 pada kadar pertumbuhan kumulatif tahunan (CAGR) sebanyak 6.8%.

Dengan data-data yang ada ini, saya fikir masa depan ‘industri halal dan patuh syariah’ adalah cerah.

Namun, ia juga boleh menjadi hambatan tersendiri, bergantung kepada sejauh mana kita melaksanakan dasar ini. Keghairahan dalam melaksanakan apa yang dinisbahkan sebagai perintah agama kadang kala dibuat dengan cara yang gopoh dan tidak mewakili semangat sebenar yang ingin dicapai. Akhirnya, apa yang terzahir ialah hegemoni institusi atau pihak yang mendakwa melaksanakan agama, bukan maksud sebenar daripada perintah agama.

Persoalan makanan

Sebenarnya, persoalan mengenai kesihatan makanan bukanlah persoalan halal dan patuh syariah sahaja (baca: isu umat Islamsemata-mata). Ia adalah isu sejagat. Manusia mahukan makanan yang selamat, bersih dan berkhasiat.

Dalam isu kandungan DNA babi misalnya, bukan sahaja umat Islam, bahkan seorang Yahudi dan vegetarian juga mungkin menolak daripada memakannya sekiranya tahu.

Pada pertengahan dekad 1990-an, DNA kacang Brazil dilaporkan disuntik ke dalam kacang soya untuk menambah asid amino bagi meningkatkan protein. Kesannya, mereka yang alergi kepada kacang ini turut berpeluang mendapat mudarat daripadanya.

Dengan perkembangan teknologi sepanjang zaman, dunia hari ini mempunyai lambakan pelbagai jenis makan minum yang sebahagian besarnya terhasil daripada pelbagai campuran dan suntikan bahan lain untuk meningkatkan kuantitinya, kualitinya, daya tahan dan penerimaan dalam rantaian penawaran. Di samping itu, proses ini juga tidak sunyi daripada kesan sampingan dan kelemahan lain yang tidak diketahui lebih awal. Kata kunci utama daripada ini ialah maklumat.

Kita tidak boleh sewenangnya mengharamkan semua perkara dan bertindak seolah-olah “semua diragui halal selagi tidak diperakui oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).”

Pendekatan mesra pasaran

Perkara seperti ini tidak akan selesai dengan mudah, tambahan jika DNA juga dihitung najis. Kita tidak tahu entah DNA apa yang ada di sekeliling kita sekarang dan sama ada itu mahu dihitung sebagai sesuatu yang tidak boleh atau haram dimakan.

Berdasarkan kes ini, saya fikir satu penelitian semula perlu dibuat tentang kewajipan memaparkan tanda halal pada makanan dan minuman, atau premis perniagaan berkaitan. Ia bukan sahaja membebankan pengeluar makanan, apatah lagi sekiranya berlaku kes seperti Cadbury yang diluluskan tanda halal pada pembalut makanannya, malah sulit untuk dipantau sepenuhnya.

Untuk saya, sesuai dengan konsep Hisbah, pengeluar hanya perlu diwajibkan membolehkan maklumat yang perlu didapati dengan mudah – sama ada kandungan bahan ditulis pada pembalut makanan, cara pemprosesan di kilang boleh dilihat pada bila-bila masa dan sebagainya. Pengeluar atau peniaga tidak perlu diwajibkan, tetapi hanya digalakkan mengambil pengesahan halal dan patuh syariah daripada penilai bertauliah yang boleh dilatih. Tidak ada tanda halal tidak semestinya haram.

Sekiranya pengeluar atau peniaga didapati curang, menipu bahan yang dinyatakan, atau sengaja memprosesnya dengan cara yang tidak sepatutnya, maka barulah tindakan boleh diambil. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ia tidak mudah memandangkan teknologi dan penemuan berkembang dan faktor-faktor luar kawal juga mesti dipertimbang.

Cadbury tidak akan ada banyak masalah sekiranya tidak diwajibkan meletak tanda halal pada coklat yang ada. Dalam kes yang berlaku, cukup hanya mengisytiharkan coklat tersebut didapati ada DNA babi dan dikategorikan tidak halal atau diragui kehalalannya.

Jangan mempersulitkan perkara. Jika mahu juga, mungkin saya perlu tahu semua perkara yang berlaku sepanjang seekor ayam, seekor ikan, seekor lembu, seekor kambing dibesarkan dan sayur-sayur ditanam sebelum sebahagiannya dihidangkan ke pinggan saya. Ya, setiap satunya.

Mungkin dengan itu lebih banyak bayaran atau denda boleh dikutip atau geran boleh diperolehi oleh institusi tertentu, konon untuk kebaikan agama.

Disiarkan di The Malaysian Insider pada 29 Mei, 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s