Bola Sepak dan Kehidupan

Oleh: Amin Ahmad

Selepas empat tahun, kita sekali lagi tertumpu kepada sukan yang dikatakan paling digemari di seluruh dunia – bola sepak.

Tambahan pula kali ini Piala Dunia diadakan di Brazil, negara yang mempunyai ramai bakat bola sepak sehingga sering menjadi pasukan pilihan ramai di seluruh dunia setiap kali kejohanan dilangsungkan.

Bagaimanapun, menjelang permulaan kejohanan, siri protes merebak di seluruh negara Amerika Selatan itu.

Meskipun populasi rakyat di Brazil adalah yang terbesar di rantau itu (sekitar 200 juta orang), dan ekonominya yang dikategorikan sebagai ketujuh terkaya di dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 2.25 trillion Euro, penguncupan ekonominya secara berterusan menimbulkan persoalan besar tentang keutamaan menyalurkan perbelanjaan kepada pembangunan sukan berbanding perkara lain seperti kesihatan dan pendidikan.

Ini dibuktikan melalui kajian Pew Research yang mendapati enam daripada sepuluh rakyat Brazil percaya penganjuran Piala Dunia adalah satu keputusan buruk kerana ia mengalihkan peluang untuk menambah baik kedua-dua sektor tersebut.

Tambahan pula, tidak ada jaminan besar mengenai rangsangan kepada ekonomi selepas suntikan yang dibuat beberapa kali sebelum ini tidak menunjukkan hasil yang menggalakkan.

Selepas berbelanja kira-kira 1.5 billion dolar Amerika untuk membina dan membaik pulih stadium, Afrika Selatan yang menjadi tuan rumah Piala Dunia terus terbeban dengan kos penyelenggaraan semua stadium tersebut hingga kini. Ini menjadi sebahagian persoalan yang terus dipertanyakan ramai.

Dalam kes Brazil, tidaklah begitu menghairankan apabila persoalan sebegini terus ditanyakan. Oktober nanti negara itu akan melangsungkan pilihan raya presiden, dan pada tahun 2016 mereka akan menjadi tuan rumah sukan Olimpik.

Tambahan pula, laporan perobohan penempatan setinggan yang berleluasa menjelang Piala Dunia menguatkan lagi sentimen ramai bahawa kerajaan Brazil yang kini dipimpin oleh Dilma Roesseff membelakangi kepentingan rakyat sendiri.

Sokongan kepada beliau menyusut dan kini berada pada tahap sekitar 33%. Tidak mustahil, dalam kes tertentu, sesetengah elit politik dan rangkaian niagawan yang rapat dengan mereka (baca: kroni) beroleh kontrak besar bersamanya.

Mungkin itu adalah jawapan di sebalik kegembiraan tingkah laku sejumlah rakyat Brazil yang meraikan jaringan gol sendiri pemain Brazil, Marcelo semasa perlawanan pertama yang menyaksikan tuan rumah menang 3-1 mengatasi Croatia. Dalam bidang akademik, semua aspek ini mungkin dekat dengan apa yang dikenali sebagai teori konflik atau teori kritikal.

Namun, ia seringkali dijustifikasikan dengan teori fungsi dan teori interaksi di mana sukan mempunyai beberapa kelebihan sendiri.

Dalam sukan besar seperti Piala Dunia, ia boleh menjadi saluran diplomasi pelbagai negara di samping peluang pembangunan, pelancongan dan pekerjaan.

Perjuangan melangkaui sukan

Jelas, bola sepak bukan sekadar sukan. Ia mempunyai kaitan rapat dengan pelbagai aspek kehidupan lain yang ada di sekeliling kita. Dalam kejohanan kali ini misalnya, rancangan televisyen Al-Jazeera turut menyiarkan dokumentari lima siri bertajuk “Football Rebels” kendalian lagenda bola sepak moden, Eric Cantona yang memuatkan kisah perjuangan beberapa pemain bola sepak dalam menentang rejim di negara mereka.

Antara yang dipaparkan ialah kisah perjuangan Didier Drogba, penyerang bola sepak Ivory Coast dan bekas pemain handalan Chelsea yang menggunakan pengaruhnya menyeru Presiden Laurent Gbagbo menghentikan perang saudara yang berlaku di negara mereka. Seruannya agar rakyat negara itu meletakkan senjata kelihatan berhasil.

Selain itu, tokoh lain yang ditonjolkan ialah Socrates dan pergerakan Demokrasi Corinthians. Beliau yang berkelulusan doktor perubatan memimpin rakan-rakan pemain bola sepak Corinthians menjuarai kejohanan liga bola sepak Brazil pada tahun 1982, sekaligus diangkat menjadi ketua pasukan negaranya dalam dua siri Piala Dunia.

Terinspirasi daripada bantahan terhadap rejim tentera yang merampas kuasa sejak tahun 1964, Socrates menjadikan setiap perlawanan sebagai peluang menyatakan pendirian politik, misalnya dengan tulisan jelas “Democracia” dan “Vote on the Fifteenth” pada baju pasukan.

Socrates berjaya mendorong ramai rakyat Brazil yang sangat meminati bola sepak untuk melihatnya lebih daripada sukan dan sekaligus menyertai demokrasi di mana akhirnya rejim tentera Brazil berakhir pada tahun 1985.

Siri ketiga memaparkan kisah bekas pemain bola sepak Yugoslavia, Predrag Pasic yang memilih terus tinggal di Sarajevo dan membuka sebuah sekolah bola sepak pelbagai kaum, Bubamara, meskipun wilayah itu sedang bergolak.

Beliau menentang perang saudara dan mengajar falsafah kerjasama dan perpaduan melalui sukan kepada anak-anak muda negara itu yang menjadi mangsa pergolakan negara.

Seterusnya ialah kisah pembunuhan Carlos Caszely, pemain bola sepak Chile yang dibunuh oleh Jeneral Pinochet kerana sokongannya kepada Presiden Salvatore Allende yang dibunuh semasa rampasan kuasa tentera dan penentangannya terhadap kediktatoran dan penindasan.

Yang terakhir adalah kisah Rachid Mekhloufi yang memimpin pasukan bola sepak pembebasan nasional (FLN) yang menyokong perjuangan pembebasan Algeria daripada Perancis.

Mereka yang sedang berada di kemuncak kerjaya di beberapa kelab terkemuka di Perancis itu memakai baju hijau dan menyanyikan lagu yang kemudian dijadikan lagu rasmi Algeria selepas dibebaskan.

Meskipun cuba ditekan melalui pelbagai cara termasuk halangan untuk bermain kerana mewakili negara yang tidak sah, mereka tegas dan berjaya menghabiskan 65 perlawanan dalam tempoh empat tahun, iaitu sehingga Algeria akhirnya bebas.

Mekhloufi kemudiannya menjadi jurulatih bola sepak dan berjaya memimpin negara itu masuk ke Piala Dunia buat kali pertama pada tahun 1982.

Ternyata sukan mempunyai sejarah dan sumbangannya tersendiri. Kita berharap semua pengamal sukan tidak lagi melihat sukan sebagai satu eskapisme, sebaliknya menjadikan ia sebagai ruang mempromosi banyak nilai-nilai penting dalam kehidupan seperti keadilan, meritokrasi, daya saing, anti-perkauman dan juga kemanusiaan.

Disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 Jun, 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s