OKU Terbiar: Siapa Perlu Bertanggungjawab?

Oleh: Amin Ahmad

Jarang saya menulis mengenai nasib golongan kelainan upaya (OKU). Antara lain kerana saya sendiri membesar bersama seorang adik dalam kategori yang sama (kini berusia hampir 30 tahun) dan pegangan bahawa tidak semua perkara mesti diuruskan oleh kerajaan.

Namun, saya berasa terganggu dengan berita penemuan seorang adik OKU yang ditinggalkan keseorangan dalam keadaan kebuluran dan persekitaran penuh najis. Tidak ada kata yang sesuai untuk menjelaskan kekesalan, kesedihan dan kemarahan yang ada.

Sebagaimana dijangka, ramai mula menuding jari mencari siapa yang patut disalahkan dalam kes ini. Ada yang mengutuk ibunya, ada yang mempersoal tanggungjawab ayah yang berpisah dengan ibunya dan ada yang menisbahkan kejadian tersebut kepada kegagalan kerajaan menyediakan cukup bantuan kepada masyarakat miskin dan orang kelainan upaya.

Kita akur, sebahagian OKU tidak mampu bekerja, atau memperoleh pendapatan yang baik melalui pekerjaan yang mampu dibuat. Malah, ibu bapa atau sesiapa yang menjaga OKU juga berkemungkinan tidak dapat bekerja sebagaimana biasa kerana perlu memberi perhatian dan meluangkan lebih banyak masa menjaga mereka.

Kebanyakan OKU tidak mempunyai pendidikan yang baik (sebahagiannya kerana tiada kemudahan yang sesuai untuk mereka), sekaligus terkait dengan peluang pekerjaan dan juga pemilikan aset seperti kenderaan untuk bergerak serta tempat tinggal yang secara relatifnya baik.

Siapa patut bertanggungjawab?

Sementara kita bersimpati dengan nasib OKU terbiar, usaha untuk menangani permasalahan ini perlu dibincangkan secara lebih tuntas. Sebagai permulaan, adalah penting untuk kita tidak semudahnya cuba menyalahkan mana-mana pihak.

Pertama, bagi kanak-kanak, sama ada mereka berstatus OKU atau tidak, dari aspek undang-undang dan juga moral, tanggungjawab terhadap mereka terletak di bahu ibu bapa dan keluarga terdekat. Ini juga terpakai kepada seseorang yang tidak mampu menjaga dirinya sendiri sejak kecil hingga dewasa.

Kedua, sekiranya ibu bapa dan keluarga terdekat mereka tidak ada, atau tidak berkemampuan, saudara terdekat atau masyarakat sepatutnya membantu mereka. Ini sesuai dengan ajaran Islam misalnya dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda “Jibril sentiasa berpesan kepadaku tentang jiran, sehingga aku menyangka Jibril akan menjadikan jiran itu sebagai waris (kepada jirannya).” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Tirmizi).

“Tidak sempurna iman seseorang jika dia tidur dalam kekenyangan sedangkan jirannya kelaparan.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Namun, ini bukanlah tanggungjawab berdasarkan undang-undang. Ia adalah tanggungjawab moral. Lazimnya, ia bergantung kepada pegangan peribadi, sama ada didorong oleh perintah agama, rasa kemanusiaan dan sebagainya.

Malangnya ini tidak atau jarang berlaku. Kita lebih banyak mendengar suara mempersoal “di manakah bantuan kerajaan?” atau “kerajaan tidak melakukan sesuatu” apabila masalah seperti ini berlaku. Dalam maksud lain, masalah demikian tidak mungkin dapat ditangani tanpa campur tangan kerajaan. Inilah apa yang ada dalam fikiran ramai setiap kali persoalan kebajikan disuarakan.

Apakah itu benar? Mungkin ya dan mungkin tidak.

Orientasi kebajikan

Apa yang perlu difahami oleh orang ramai ialah hasil kerajaan sebenarnya didapatkan daripada orang ramai melalui pelbagai cara misalnya cukai tanah, cukai pintu, cukai barangan dan perkhidmatan, saman parkir dan sebagainya. Dalam maksud lain, kita membayar lebih untuk pelbagai perkara kerana jumlah tertentu perlu diberikan kepada kerajaan.

Lazimnya ini kurang dipedulikan kerana sebahagian daripada kita berasa ia dibayar oleh orang lain, kononnya kerana orang lain mempunyai pendapatan lebih banyak. Apa yang jarang dibincangkan ialah apakah wajar mana-mana pihak diwajibkan melalui undang-undang untuk membayar sesuatu dan lebih banyak berbanding pihak lain hanya kerana mereka menjana lebih banyak keuntungan daripada hasil usaha mereka?

Ini jarang difikirkan oleh orang ramai kerana mereka berasa kerajaan mempunyai dana besar untuk melakukan sesuatu. Walhal setiap hasil kerajaan diperoleh daripada pihak lain. Sekurang-kurangnya wakil rakyat mesti melakukan sesuatu bagi membantu.

Ia secara tidak langsung mendorong orang ramai melepaskan tanggungjawab sendiri. Sementara itu, kerajaan dan ahli politik akan tiba-tiba menunjukkan keperihatinan mereka apabila sesuatu isu heboh.

Dari satu aspek lain pula, ia didorong oleh situasi tidak mampu yang dirasakan orang ramai. Ini mungkin benar berdasarkan data-data pendapatan isi rumah, hutang isi rumah dan jumlah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Tekanan hidup menjadi hambatan bagi orang ramai daripada mengambil tanggungjawab mereka.

Dalam konteks tertentu, kerajaan boleh berperanan, terutama ketika tidak ada mana-mana pihak yang sedia mengambil tanggungjawab tersebut. Namun, untuk jangka masa panjang, perlu ada mekanisme yang jelas untuk membolehkan ia berjalan lancar dan mapan.

Alternatif yang boleh diambil

Beberapa langkah penting boleh dan perlu diambil untuk menangani persoalan ini pada masa hadapan, antaranya:

1. Budaya kejiranan yang baik mesti dihidupkan semula dalam masyarakat. Tidak ada gunanya kita ada rumah ibadat di hampir semua penempatan dan ahli jawatankuasa penduduk jika hanya sekadar untuk mengumpul elaun dan bermesyuarat apabila hampir pilihan raya sahaja. Sekurang-kurangnya institusi masyarakat di peringkat penempatan seperti rumah ibadat dan ahli jawatankuasa penduduk mestilah mempunyai maklumat kejiranan yang lengkap.

2. Kerajaan perlu memudahkan badan-badan amal berdaftar untuk beroperasi. Ini boleh dibuat dengan memudahkan sistem untuk melayakkan sesebuah badan amal didaftarkan, menerima kelayakan untuk pengecualian cukai – bagi penderma dan institusi. Maklumat mengenai semua badan amal ini mestilah boleh diakses oleh orang ramai. Ia mesti diurus secara profesional, lengkap dengan laporan kewangan, pengurusan dan aktiviti. Sekiranya perlu, sistem latihan khusus untuk melayakkan mereka yang mahu menjalankan usaha ini boleh dibuat.

3. Dengan banyaknya badan amal yang dimaksudkan, kerajaan perlu meminimakan pengurusan hal ehwal kebajikan dari semasa ke semasa. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) misalnya boleh berfungsi memantau kualiti perkhidmatan badan-badan amal ini, termasuk menyelaras pengkalan data untuk memudahkan penglibatan pakar dan pemberi sumbangan menyemak maklumat berkaitan.

Cadangan-cadangan ini kelihatan kurang berlaku, atau berlaku dalam sistem yang mengekang kerana kerajaan cuba bersaing dengan semua pihak selain kerajaan (baca: swasta). Dalam maksud lain, sumber kerajaan ialah hasil yang dikutip melalui pelbagai cara daripada orang ramai.

Sekiranya orang ramai mempunyai pilihan untuk melakukannya sendiri, dan tidak perlu melalui kerajaan, maka hasil kerajaan akan berkurangan dan sekaligus fungsinya akan menjadi terhad. Berdasarkan corak belanjawan negara, ternyata nafsu berbelanja kerajaan tidak pernah cukup, meskipun hasil bertambah berkali ganda.

Mungkin ini adalah cabaran kerajaan membuktikan mereka tidak tahu segalanya, serta untuk masyarakat membuktikan bahawa kuasa rakyat sebenarnya ada pada kemandirian menguruskan hidup.

Disiarkan di The Malaysian Insider pada 24 Jun, 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s