Galakkan Masyarakat Bersedekah

Oleh: Amin Ahmad

Ramai yang menzahirkan rasa hairan apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan pemberi dan penerima sedekah akan dikenakan denda.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa kawasan larangan hanyalah dalam radius 2km daripada simpang empat Lot 10 Bukit Bintang yang menurutnya merupakan kawasan tumpuan utama pelancong, justeru tidak mahu dibiarkan kotor.

Selain faktor pelancongan, beliau juga menyebut bahawa sebahagian daripada gelandangan yang ada malas bekerja meskipun sudah dibantu, kerana mereka boleh mendapatkan makanan dan minuman secara percuma daripada pelbagai program yang digerakkan oleh badan bukan kerajaan serta pergerakan sukarela yang lain.

Menurutnya, ada gelandangan yang begitu selesa sehingga mampu tinggal di hotel. Selain itu, sebahagian gelandangan ini adalah warga asing yang datang ke negara Malaysia.

Menilai kenyataan menteri

Daripada semua kenyataan yang dibuat oleh menteri ini, saya percaya ia mengukuhkan lagi rasa sangsi terhadap tujuan dan cara yang diambil.

Beliau menyatakan bahawa program memberi makanan percuma atau bersedekah kepada gelandangan dan peminta sedekah ini boleh dibuat di luar radius yang ditetapkan, malah ia disarankan dibuat bersama institusi agama seperti surau atau kuil.

Setakat ini tidak ada bukti dibawakan oleh menteri berkenaan berkaitan peminta sedekah yang tinggal di hotel.

Apa yang pasti memang ada ramai gelandangan dan peminta sedekah tidur beratapkan langit dan berlantaikan simen yang sejuk di malam hari.

Tetapi, orang ramai boleh bersetuju sekiranya Menteri tegas menyiasat penggunaan kanak-kanak yang sering berkeliaran mencari derma konon untuk penubuhan tahfiz.

Mereka ini bukan sahaja ramai dan di bawah umur, tetapi dipercayai digunakan oleh pihak tertentu secara tidak bertanggungjawab. Paling jelas ialah mereka terpaksa mencari derma ini sehingga lewat malam.

Mudahkan, jangan mempersulit

Sementara saranan agar bantuan dan pemberian kepada gelandangan dan peminta sedekah dibuat bersama badan-badan berorientasikan agama itu baik, saya berpendapat menteri tidak perlu mengehadkan mana-mana kawasan untuk memberi bantuan dan sedekah, apatah lagi mengambil tindakan mendenda pemberi dan penerimanya.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh menteri ialah berhubung dengan pihak-pihak yang sedia melaksanakan program demikian, atau menjemput pihak-pihak yang berminat untuk menjalankan program demikian (termasuk wakil institusi agama yang ada) untuk bersemuka dan mencari kesepakatan bersama.

Bersedekah adalah amalan mulia dan patut digalakkan. Jika menteri berpendapat bantuan dan pemberian demikian tidak sesuai diadakan di lokasi tertentu maka ia boleh dirundingkan dengan baik, bukan dengan cara menghukum.

Tugas menteri bukanlah mencari penyelesaian mudah secara cincai tetapi memudahkan apa juga perkara baik yang telah sedia dilakukan oleh orang ramai tanpa bantuan kerajaan.

Saranan

Untuk itu, saya ingin mencadangkan beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh Menteri:

  1. Aturkan pertemuan dengan pihak-pihak yang menjalankan aktiviti memberi bantuan kepada gelandangan dan peminta sedekah. Berbanding menghukum, lebih banyak hal baik yang boleh dicapai bersama.
  2. Bantulah pihak-pihak ini untuk berdaftar secara sah dan mendapatkan status pelepasan cukai kepada organisasi dan penderma. Ini penting untuk memastikan pihak ini bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan status tersebut untuk menjana untung.
  3. Manfaatkan hubungan baik yang dijalinkan untuk mengumpul data mengenai peminta sedekah dan gelandangan yang ada siapa mereka dan bagaimana mereka terjebak dalam situasi demikian. Ini penting misalnya bagi memastikan tidak ada pihak yang layak tercicir misalnya daripada bantuan yang ada misalnya zakat dan kesihatan. Saya yakin banyak lagi bentuk penyelesaian lain boleh diikhtiarkan melalui dapatan data-data ini.

Sebagai seorang Muslim, saya sedar bahawa meminta-minta bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh agama. Tetapi pada masa yang sama mengherdik atau menyukarkan kehidupan mereka yang meminta-minta juga bukan sesuatu yang diperintahkan agama.

Bantuan makanan hanyalah bersifat sementara. Tanda aras penting kejayaan bantuan yang diberikan ialah apabila mereka tidak lagi menjadi gelandangan atau meminta-minta. Inilah yang patut kita bersama fikirkan.

Galakkan amalan bersedekah. Semoga dengan itu masyarakat akan hidup berkasih sayang.

Disiarkan di The Malaysian Insider pada 3 Julai, 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s