Ekonomi Ramadhan

Oleh: Amin Ahmad

Masyarakat Islam kini sudah mulai memasuki separuh kedua Ramadan. Selain aspek ibadat khusus, Ramadan juga diisi dengan pelbagai kegiatan ekonomi, antaranya jualan pelbagai juadah makanan dan minuman di pasar Ramadan, jualan pakaian sempena sambutan hari Raya, pembukaan kaunter bayaran zakat, amalan bersedekah terutama kepada anak yatim dan golongan fakir dan miskin dan sebagainya. Ini agak menarik untuk diperhatikan kerana terdapat sejumlah pelajaran ekonomi yang penting.

Pasar Ramadan

Sudah menjadi tradisi saban tahun, pasar ramadan akan dibuka di pelbagai tempat di mana kita boleh melihat ratusan peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa di setiap kawasan yang dikhususkan untuk pasar Ramadan. Di kalangan mereka ini terdapat ramai peniaga baru yang hanya menjalankan perniagaan sepanjang bulan Ramadan, selain peniaga yang memang menjalankan perniagaan sama di luar Ramadan. Di sini kita boleh mengatakan umumnya masyarakat Islam di Malaysia mempunyai minat berniaga.

Saya sempat mencuba pelbagai juadah yang dijual di beberapa pasar Ramadan sekitar Shah Alam dan di Kangar, Perlis, tempat asal saya. Agak menarik meninjau pilihan menu yang dijual oleh peniaga. Ada yang sama dan tentulah ada yang berbeza. Kadang-kala, di pasar Ramadan yang sama, harga jualan makanan dan minuman sama ditentukan pada harga berbeza.
Ini cocok dengan ekonomi pasaran. Peniaga berhak menentukan harga yang ingin dijual dan pengguna mempunyai pilihan membeli lebih murah atau mahal. Tidak ada sesiapa berhak menentukan berapakah harga yang ingin diletakkan peniaga. Mereka berdepan risiko untung rugi berdasarkan persaingan yang ada. Sudah tentu banyak faktor yang menjadi pertimbangan mereka misalnya bekalan bahan mentah, sasaran kuantiti jualan, keupayaan menawarkan kualiti jualan (misalnya diakui sedap) dan sebagainya.

Termasuk dalam penentuan harga ialah kos sewaan. Meskipun jumlah peniaga tetap ramai, ada bisik-bisik bahawa kadar sewaan kini lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Ini telah mendorong peniaga menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual mereka. Kos sewaan ini antara lain termasuk upah membersihkan kawasan.

Sementara sebahagian bayaran yang dikenakan boleh dijustifikasi, umum harus sedar selain pihak peniaga dan pembeli, dalam banyak hal, penentuan harga turut melibatkan bayaran tertentu kepada pihak lain yang sebenarnya tidak terlibat secara langsung dalam urusan jual beli. Dalam contoh pasar Ramadan, pihak lain ini ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sama ada bayaran yang dikenakan itu boleh dijustifikasi atau tidak, terbuka kepada penilaian umum.

PBT berhak, berdasarkan bidang kuasanya, menentukan peraturan yang wajar misalnya semua peniaga perlu memastikan kebersihan kawasan, khususnya tapak perniagaan mereka. Sekiranya gagal berbuat demikian, maka deposit kebersihan akan diambil untuk menampung kos PBT membersihkan kawasan. Oleh kerana ada ramai peniaga baru, maka PBT boleh menentukan keperluan setiap peniaga mengikuti kursus kebersihan dan keselamatan dalam penyediaan makanan. Ini penting dan boleh mencetuskan isu yang serius sekiranya tidak dipastikan. Namun, kadar yang ditetapkan PBT mestilah munasabah.

Bantuan kepada yang memerlukan

Di sepanjang Ramadan, kita biasa mendengar ada majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan juga bantuan kepada golongan asnaf, khususnya mereka yang fakir dan miskin. Sebenarnya, berdasarkan ajaran Islam yang saya fahami, seruan dan galakan berbuat demikian tidak terhad hanya semasa di bulan Ramadan.

Apa yang boleh kita pelajari di sini ialah, dalam Islam, ada bayaran tertentu yang diwajibkan oleh agama dan ada hanya sekadar digalakkan. Apa yang diwajibkan itu sangat tidak membebankan dan selebihnya adalah pilihan setiap umat Islam.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, timbul banyak persoalan mengenai peranan berkesan institusi zakat. Ini mendorong sesetengah pihak membuat keputusan untuk memberikan zakat terus kepada golongan asnaf. Malah, ada yang berkempen agar orang ramai tidak membayar zakat melalui institusi zakat. Suka atau tidak, masih ramai golongan fakir dan miskin di Malaysia. Dengan ketidaktentuan ekonomi, ramai yang berdepan dengan kesukaran hidup.

Saya berpandangan wujudnya golongan fakir dan miskin tidak semestinya bermaksud institusi zakat gagal. Di zaman Rasulullah dan para sahabat juga terdapat ramai golongan ini. Namun, berdasarkan pengalaman cuba membuat bantuan kepada asnaf beberapa tahun lalu, saya fikir memang perlu ada perubahan dalam institusi zakat. Apa yang perlu difikirkan ialah model terbaik untuk memastikan agihannya berkesan. Ini tentu lebih sukar berbanding memberikan kritik kepada institusi zakat.

Untuk contoh, berdasarkan maklumat daripada laman web Lembaga Zakat Selangor (LZS), kutipan zakat di Selangor pada tahun 2010 mencecah RM336.8 juta dan sebanyak RM330.0 juta diagihkan. Jika mengambil kira data 2010 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyatakan terdapat 35,342 keluarga fakir dan miskin di Selangor (termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU)), ini bermaksud setiap keluarga boleh menerima sekitar RM9,337.

Jika jumlah keluarga fakir dan miskin ini masih kekal dan kutipan zakat bertambah, misalnya pada 2013 Lembaga Zakat Selangor mencatatkan kutipan RM517.4 juta dan agihan mencecah RM463.5 juta, maka setiap keluarga boleh menerima sekitar RM13,114 setahun.

Secara umumnya, jumlah yang boleh diterima agak besar, namun institusi zakat perlu menentukan keutamaan dan kesesuaian. Perlu ada perancangan dan model dengan sasaran jelas untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan. Ini kerana zakat tidak halal untuk mereka yang kaya dan mereka yang mampu berusaha.

Perlu dinyatakan di sini, jumlah yang boleh diterima oleh setiap keluarga ini adalah berdasarkan agihan yang diperuntukkan hanya kepada golongan yang dinyatakan – fakir, miskin dan OKU, tidak mengambil kira asnaf lain.

Saya berpendapat Lembaga Zakat tidak perlu membuka pejabat di daerah tetapi menjadikan masjid sebagai pusat pungutan dan agihan zakat di samping melantik ahli jawatankuasa masjid sebagai amil bertauliah. Paling penting ialah maklumat penduduk sekitar masjid yang layak dikategorikan sebagai asnaf dimiliki masjid dan amil.

Masjid harus menjadi pusat maklumat dan amil bukan saja boleh berperanan sebagai pengutip dan pengagih zakat, tetapi juga membantu mereka yang mahu menyalurkan terus bantuan kepada asnaf.

Dengan cara ini, masjid akan lebih berfungsi sebagai pusat sosial masyarakat, bukan hanya eksklusif untuk solat atau pengajian agama. Kata kunci daripada amalan ini ialah desentralisasi. Desentralisasi di sini bukan saja bermaksud kutipan dan agihan zakat dilakukan di peringkat akar umbi tetapi dengan menggalakkan orang ramai menyumbang terus kepada golongan asnaf setempat.

Sesunguhnya Ramadan bukan saja bulan beribadah khusus, tetapi juga belajar dan menilai mengenai apa yang lebih baik untuk pengupayaan masyarakat.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 14 Julai, 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s