Benarkan Uber Beroperasi

Oleh: Amin Ahmad Isteri saya memperkenalkan Uber selepas ramai rakan-rakan di pejabatnya menggunakan perkhidmatan tersebut. Kemudian, saya sempat memuat turun aplikasi Uber untuk melihat apakah yang menarik mengenainya.

Berdasarkan aplikasinya, saya fikir tidak banyak perbezaan berbanding MyTeksi.

Kedua-duanya sangat baik kerana memberikan maklumat penting untuk pengguna. Sebelum kedua–dua aplikasi ini wujud, kita seringkali mendengar banyak rungutan mengenai pemandu teksi yang tidak mahu menggunakan meter dan menipu dalam mengenakan caj kepada pengguna.

Pertikaian
Baru-baru ini, Gabungan Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (Gabungan) mempersoalkan operasi Uber.

Timbalan presidennya, Datuk Mohd Alias Abdul, dilaporkan berkata Uber tidak mempunyai lesen perniagaan dan pejabat di Malaysia.

Menurutnya, tanpa permit teksi dan lesen pengangkutan awam, banyak masalah akan dihadapi pelanggan sekiranya berlaku situasi yang tidak diingini seperti jenayah dan kemalangan.

Selain daripada itu, beliau turut menyatakan bahawa pendapatan pemandu teksi di Lembah Klang terjejas kerana perkhidmatan Uber menawarkan harga yang lebih berdaya saing selain Uber tidak perlu membayar pelbagai kos operasi sebagaimana pemandu teksi yang lain, seperti melakukan pemeriksaan kenderaan di Puspakom dari semasa ke semasa.

Lantas, beliau meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), pihak polis, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tegas mengambil tindakan yang sepatutnya untuk menghalang operasi Uber.

Setiausaha Kehormat Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad, Mohd Salleh Mat Zin pula berkata pemandu teksi sedia ada membayar premium insuran setinggi empat kali ganda berbanding mereka yang mengendalikan kenderaan persendirian seperti Uber.

Beberapa aspek penting

Berdasarkan maklumat-maklumat yang dinyatakan di atas, kita boleh melihat beberapa aspek penting antaranya:

1) perkhidmatan yang lebih baik,

2) kos yang lebih berdaya saing dan

3) beberapa masalah terkait dengan pertanggungjawaban dalam perkhidmatan.

Jelas setakat ini Uber berjaya menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dengan kos yang lebih berdaya saing. Sebagai pelanggan, tentulah orang ramai sukakan kenderaan yang baik (kebanyakan kenderaan yang digunakan Uber adalah baru) dan perkhidmatan yang mesra (ada yang menyediakan air).

Seorang rakan yang sering menggunakan perkhidmatan Uber menyatakan ia bukan sahaja murah tetapi boleh digunakan tanpa memerlukan wang tunai, atau boleh dilanggan menggunakan bayaran melalui PayPal dan kad kredit. Melalui aplikasi Uber, beliau boleh mengetahui kedudukan pemandu terhampir dan mendapatkan sebut harga perkhidmatan yang ingin diambil.

Jika perkhidmatan Uber dimahukan ketika waktu puncak, beliau juga akan dimaklumkan waktu yang lazimnya keadaan lebih lancar. Beliau turut memaklumkan kepada saya bahawa sekiranya perkhidmatan yang diterima tidak memuaskan, maka laporan boleh dikemukakan dan tindakan akan diambil terhadap pemandu berkenaan.

Apabila Uber menawarkan perkhidmatan pada kadar kos yang lebih berdaya saing, apa yang sebenarnya perlu diberi perhatian pesaing mereka dan juga agensi kerajaan yang berkaitan ialah apakah model ekonomi yang membolehkan mereka beroperasi sedemikian rupa, bukannya menghukum Uber kerana berjaya (setakat ini) menjadi alternatif untuk perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Pihak Gabungan khususnya perlu bertanya mengapakah mereka perlu diwajibkan membayar sejumlah harga tertentu kepada pihak tertentu. Ini termasuk permit teksi yang perlu dibayar pemandu atau syarikat. Cara terbaik bagi membela pemandu teksi ialah dengan membenarkan setiap mereka memiliki permit persendirian dan memudahkan pembelian kenderaan secara sewa-beli atau belian terus.

Sudah menjadi rahsia umum bahawa sesetengah pemegang permit teksi ini, baik individu atau syarikat ialah mereka yang tidak berminat dalam memperbaiki perkhidmatan awam atau menangani masalah ekonomi rakyat, sebaliknya ia menjadi lubuk untuk mereka menjana kekayaan.

Bayangkan, sekiranya ada seseorang atau syarikat mempunyai 1,000 permit, dan menerima bayaran RM100 sebulan melalui sewa permit ini, bermakna mereka mengumpul kekayaan mudah sebanyak RM100,000 sebulan! Apakah Gabungan pernah memperjuangkan hal ini atau menjadi sebahagian daripada punca masalah ini?

Kawalan minima

Saya percaya, agensi-agensi kerajaan yang dinyatakan Gabungan wajib terlebih dahulu memberi tumpuan penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010.

Meskipun ada kebimbangan sah sekiranya ada kemalangan atau jenayah, ia hanya perlu dikawal secara minima. Kita perlu mengakui bahawa tidak ada mana-mana pemilik mahu kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan. Bukan saja Uber, tetapi pemandu teksi juga tidak terkecuali daripada risiko ini.

Kawalan minima boleh dibuat dengan meminta Uber mendaftar pemandu yang sah tanpa sebarang caj, memberi pilihan untuk mereka memastikan penyelenggaraan kenderaan serta insurans dibuat di tempat pilihan sendiri. Saya fikir negara kita sudah mempunyai banyak undang-undang berkaitan jenayah serta kemalangan.

Langkah yang perlu diambil hanyalah untuk memastikan ada pertanggungjawaban, bukan menghalang atau menyusahkan mereka beroperasi.

Uber mesti dibenarkan beroperasi sebagaimana banyak jualan barangan dan perkhidmatan atas talian dan sebenarnya pemandu dan syarikat teksi sedia ada juga patut digalakkan beroperasi seperti Uber.

Tulisan ini pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 25 Ogos, 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s