Merdeka: Tanda dan Makna

Oleh: Amin Ahmad Seingat saya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak wacana terkait merdeka dibincangkan orang ramai. Antara yang menjadi perbincangan ialah sejarah alternatif, khususnya berkaitan peranan komunis dan tokoh yang tidak bersama Umno-Perikatan dalam perjuangan kemerdekaan, sama ada negara pernah dijajah British atau tidak, dan asal usul masyarakat majmuk serta gabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia.

Ini sebenarnya tanda sejarah adalah subjek yang penting difahami orang ramai di samping menunjukkan masih luas ruang interpretasi sejarah yang masih berpeluang diteroka.

Selain itu, kita juga mendengar omelan kerana sambutan bulan kemerdekaan dirasakan tidak begitu meriah dan tidak ramai yang mengibar Jalur Gemilang, bendera Malaysia. Oleh kerana itu, ada yang merasakan rakyat Malaysia kini kurang semangat nasionalisme dan patriotisme.

Ya, merdeka tidak mungkin dapat dicapai tanpa cetusan semangat nasionalisme dan patriotisme. Namun, makna nasionalisme dan patriotisme tidaklah sesempit mengibarkan bendera, atau patuh kepada mana-mana tokoh politik. Bendera dan tokoh politik hanyalah tanda. Makna yang diwakili tanda ini ialah kesatuan dalam kepelbagaian, yang tentunya menuntut jaminan hak dan kebebasan, di samping kemampuan menunjukkan kepimpinan yang diterima paling hampir dengan keadilan.
Nasionalisme dan patriotisme tidak mampu terus tertegak tanpa prinsip ini. Ia sekali gus turut mengingatkan kecintaan kepada negara harus disertai dengan kecintaan kepada setiap orang warganya, terlepas apa pun perbezaan yang ada.

Pemasyhuran kemerdekaan, Malaysia dan perlembagaan

Pemasyhuran kemerdekaan dan pemasyhuran Malaysia kemudiannya bukan sahaja menegaskan negara ini mencapai kedaulatan setara dengan bangsa-bangsa lain di seluruh dunia, tetapi mencerminkan isi kandungan Perlembagaan, iaitu amalan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, dengan pemeliharaan hak dan keutamaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak asasi rakyat jelata berdasarkan prinsip kebebasan dan keadilan serta keamanan segala bangsa.

Fakta menunjukkan bahawa dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, Sidang Pleno pernah dibentuk pada tahun 1946 untuk mencadangkan perlembagaan bagi Malaya di mana draf perlembagaan ini diserahkan kepada Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union semasa persidangan yang dibuat di King’s House pada 24-25 Julai 1946. Selain itu, Perlembagaan Rakyat pernah dikemukakan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA) pada 1947.

Rentetan Sidang Pleno itu, sebuah jawatankuasa dibentuk untuk menyemak draf perlembagaan yang dicadangkan. Rentetan daripada rundingan di London lewat Februari 1956, suruhanjaya Perlembagaan yang kemudiannya dikenali sebagai Suruhanjaya Reid dibentuk.

Berdasarkan kertas putih yang disiarkan kerajaan persekutuan pada Mac 1956, pelantikan anggota suruhanjaya yang terdiri daripada kalangan orang luar bertujuan mengelakkan pengaruh sentimen kaum dan agama yang kian melebar pada waktu itu berikutan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan ramai. Bagaimanapun, terma-terma rujukan Suruhanjaya Reid menetapkan beberapa perkara termasuk untuk memelihara kedudukan dan taraf DYMM sultan dan raja-raja Melayu yang berperlembagaan dalam negeri masing-masing, pelantikan Yang Dipertuan Besar (kemudian ditukarkan kepada Yang Dipertuan Agong) sebagai Ketua Negara yang dipilih daripada kalangan DYMM raja-raja Melayu setiap lima tahun sekali serta memelihara kedudukan istimewa orang-orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu dan memelihara kepentingan sah kaum-kaum lain.

Adalah penting untuk setiap warga Malaysia menyedari bahawa Perlembagaan merupakan dokumen terpenting yang mencorakkan kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Bapa Kemerdekaan Negara, tatkala berucap dalam sidang tergempar partinya bagi membincangkan semua syor dan penyata Suruhanjaya Reid, menegaskan: “Perlembagaan adalah antara perkara penting yang mesti kita lalui dalam perjalanan menjadikan Malaya sebuah negara yang merdeka.”

Memelihara ketinggian Perlembagaan

Bagaimanapun, kita harus memahami bahawa Perlembagaan bukanlah sebuah “dokumen mati”, atau tidak boleh dipinda. Malah, menurut pakar perlembagaan, Profesor Dr. Shad Saleem Faruqi, sekurang-kurangnya 42 kali pindaan dibuat. Menurut beliau “semangat sebenar dokumen ini dicairkan”. Ini tentulah kenyataan serius. Wajib disedari orang ramai pindaan yang dibuat berpotensi menambah baik, dan juga menambah buruk.

Sejauh mana pun pentingnya Perlembagaan, ia hanya mungkin akan dipatuhi sebagai penghormatan jika tidak mengabaikan prinsip kebebasan dan keadilan. Sebab itu, meskipun Perlembagaan boleh dipinda, kita menemukan satu semangat yang jelas dalam jaminan hak kebebasan asasi yang tidak boleh digugat.

Atas segala yang dinyatakan ini, penting sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia pada kali ini, kita mengambil peluang untuk merenung semula erti hidup dan negara merdeka yang dilalui dan apakah yang wajar ditambah baik untuk meninggalkan jejak-jejak di masa hadapan.

Sesungguhnya kita sebagai warganegara Malaysia perlu bersatu-padu hidup dalam kemajmukan, dengan masing-masing beriltizam menjamin keamanan, bertekad menghidupkan budaya toleransi dan memberi yang terbaik sesama kita, beramanah dalam kerjaya dan kedudukan yang diberikan. Atas tekad yang sama, kita juga wajib bersatu menolak perkauman dan perselisihan agama, menentang budaya rasuah dan salah guna kuasa serta melawan sikap buruk dalam diri seperti cuai, lalai dan tidak bersungguh-sungguh dalam bekerja.

Tulisan ini pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 28 Ogos, 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s