Pertahankan Kebebasan Bersuara

Oleh : Amin Ahmad

Kita sering mendengar ucapan sinikal ‘di Malaysia memang ada kebebasan bersuara, namun tidak ada kebebasan selepas bersuara’.

Ini betul. Antara ancaman utama yang ada tentulah Akta Hasutan 1948 yang kini sedang dikenakan kepada sejumlah pihak, antaranya tokoh politik, badan bukan kerajaan dan ahli akademik.

Angka 1948 itu mempunyai maksudnya tersendiri.

Malaysia, atau lebih tepat Persekutuan Tanah Melayu hanya mencapai kemerdekaan pada 1957.
Sebab itu ada yang mempersoalkan kenapa kerajaan semasa masih mahu mengekalkan Akta bikinan penjajah?

Tambahan pula, lebih dua tahun lalu, Perdana Menteri menyatakan Akta Hasutan 1948 dimansuh.

Sesungguhnya kekangan kepada kebebasan bersuara adalah satu tindakan yang meremehkan jaminan kebebasan asasi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Evolusi Kebebasan Bersuara

Ya, kebebasan bersuara bukanlah milik mutlak dunia Barat, meskipun kita tahu merekalah yang lebih banyak memperkatakan mengenainya. Hakikatnya, di dunia Barat juga, kebebasan bersuara juga sering dikekang.

Maka, adalah lebih tepat untuk kita mengatakan kebebasan bersuara adalah antara ciri penting yang menentukan hubungan kelompok yang diamanahkan sejumlah kuasa dan warga sebagai sumber yang memberikan legitimasi kepada mana-mana pemerintah dalam sistem demokrasi.

Berdasarkan sejarah sistem pemerintahan moden, kebebasan bersuara sebenarnya terhad kepada ahli-ahli perwakilan yang membincangkan isu undang-undang, sebelum berkembang menjadi tuntutan untuk semua.

Perkembangan ini boleh dilihat misalnya dalam perkembangan tuntutan Parlimen British terhadap Raja John sehingga menghasilkan Magna Carta 1215 dan seterusnya kuasa untuk membuat undang-undang dipindahkan kepada House of Commons.

Ketika itu, timbul kesedaran perdebatan terbuka perlu bagi memastikan undang-undang yang digubal benar-benar diperhalusi.

Ia tidak berakhir di situ kerana kemudiannya mereka menyedari ada kemungkinan ancaman luar yang boleh menyekat fungsi House of Commons.

Ini misalnya boleh dilihat dalam konflik pada suku pertama abad ke-17 apabila Sir Edward Coke bertelagah dengan King James mengenai sama ada kebebasan bersuara yang ada adalah hak House of Commons atau keistimewaan yang ditentukan Raja.

Dalam kes kemudiannya, ada ahli-ahli parlimen yang ditangkap sehingga Parlimen mengisytiharkan prosiding yang dijalankan pada 1629 itu sebagai melanggar hak Parlimen.

Kita tahu, Charles I yang merupakan Raja ketika itu kemudiannya mati dipancung pada tahun 1649 semasa Revolusi Puritan (Perang Saudara Inggeris) tercetus.

Kawalan terhadap kebebasan bersuara di Parlimen akhirnya terkubur.

Tandanya yang paling besar dapat dilihat dalam Bill of Rights yang digubal pada 1689 yang menyatakan “…kebebasan bersuara dan berdebat atau prosiding di parlimen tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atau tempat di luar parlimen.”

Namun, berlaku paradoks apabila ahli-ahli parlimen dan penguasa mempertikaikan pula kritikan ramai kepada mereka. Ironinya, paradoks ini jugalah yang akhirnya meluaskan lagi kesedaran akan keperluan jaminan kebebasan bersuara kepada semua.

Kebebasan bersuara diakui sebagai satu keperluan untuk memastikan proses politik yang ada berjaya dalam melindungi kemerdekaan politik sesebuah negara, seterusnya kebebasan individu sebagai warga.

Cabaran dan Aturan Kebebasan Bersuara

Sudah tentu, meskipun kebebasan bersuara diakui sebagai roh dan lambang kemerdekaan negara dan kebebasan individu, ia turut diakui membawa risiko tersendiri.

Semakin meluas kebebasan ini, semakin meluas juga risiko yang ada.

Sementara ahli-ahli dewan perwakilan menentukan apakah batas kebebasan bersuara yang ada, sebagai contoh tidak boleh menipu, memanggil dengan gelaran buruk, memfitnah, memaki hamun, malah juga perlu mengikut aturan bagi membolehkan semua pihak berpeluang bersuara, tidak semua masalah dan aturan yang sama ada atau boleh dilakukan dalam konteks masyarakat umum.

Bagaimanapun, kita menyedari tujuan utama jaminan kebebasan asasi, dan dalam tulisan ini kita hanya membincangkan persoalan kebebasan bersuara, ialah untuk meminimakan malah menyekat penggunaan undang-undang terhadap penggunaan kebebasan bersuara ini.

John Stuart Mill misalnya, dalam membela kebebasan bersuara, menyatakan kebebasan mutlak perlu diberikan dalam “…semua subjek, praktikal atau spekulatif, saintifik, moral atau teologikal” kerana kebebasan sepenuhnya diperlukan untuk mendorong hujah ke batas logiknya, berbanding limat yang ditentukan masyarakat kerana tidak menyetujuinya.

Mill turut mengemukakan apa yang dinyatakan sebagai prinsip kemudaratan (harm principle) sebagai aturan yang boleh diambil bagi meminimakan risiko daripada kebebasan bersuara.

Menurutnya, apa yang memudaratkan tidak sama dengan apa yang menyinggung (offence).

Kuasa hanya boleh digunakan untuk menghalang apa yang memudaratkan pihak lain.

Sudah tentu, pandangan yang ditekan pihak berkuasa, akan dinafikan kebenarannya.

Pandangan ini mungkin benar dan mungkin salah.

Namun, seperti kata Mill, sejauh mana sukar pun mana-mana pihak menerima betul atau salahnya pandangan sesiapa, ia perlu dibincangkan sebanyak mungkin tanpa rasa gentar, agar ia tidak menjadi dogma yang mati, sebaliknya menjadi kebenaran yang hidup.

Tulisan ini disiarkan di The Malaysian Insider pada 3 September 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s