Daya Saing Malaysia: Yang Baik dan Yang Perlu Diperbaiki

Oleh: Amin Ahmad

Pertama sekali, tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana Forum Ekonomi Dunia (WEF) meletakkan Malaysia ke dalam kelompok 20 negara paling berdaya saing daripada sejumlah 144 buah negara yang dikajinya dalam Laporan Daya Saing Global 2014-2015.

Kedudukan Malaysia dilaporkan baik daripada sesetengah negara maju seperti Australia, Perancis serta Korea Selatan. Berbanding 28 buah negara Asia Pasifik, Malaysia berada di tempat ketujuh, di belakang antaranya negara Singapura, Jepun dan Hong Kong.

Laporan yang pertama kali dilakukan sejak 1979 ini kini terbahagi kepada 12 kategori dengan 114 piawai ukuran. Kategori-kategori ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu, keperluan asas yang menjadi kunci faktor pendorong ekonomi, peningkatan kecekapan yang menjadi kunci kepada faktor kecekapan serta faktor inovasi dan kecanggihan yang menjadi kunci pendorong inovasi.

Piawai ukuran ini adalah berdasar kaedah Indeks Daya Saing Global (GCI), dikemaskini kali terakhir pada tahun 2006. Berdasarkan maklumat daripada Laporan 2014-2015, Institusi Rakan dalam kajian ini ialah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Pencapaian terbaik sebelum ini ialah dalam laporan yang sama bagi tahun 2011-2012, iaitu tempat ke-21, sebelum turun ke tangga ke-25 dan ke-24 dalam laporan tahun-tahun berikutnya. Justeru, secara relatifnya peningkatan ini baik, meskipun skor yang dicapai hanya meningkat 0.1.

Penilaian positif

Kita tahu bahawa Malaysia antara negara yang dikategorikan berpendapatan pertengahan atas, tetapi tersekat dalam kategori ini untuk sekian lama, atau dinamakan perangkap pendapatan pertengahan. Ini bagaimanapun menjadikan Malaysia secara relatifnya lebih baik daripada kebanyakan negara serantau di Asia Tenggara.

Malaysia dilaporkan meningkat sembilan kedudukan dalam aspek institusi, yang merupakan pendorong terbesar peningkatan tahun ini, selain berada di kedudukan keempat dalam pasaran kewangan, secara umumnya didorong peranan sebagai pusat utama kewangan Islam sedunia, dan di tempat ketujuh dalam aspek kecekapan pasaran perkhidmatan dan barangan. Dalam piawaian kerangka institusi mesra-perniagaan pula, Malaysia berada di tempat ke-29.

Malaysia juga dinyatakan sebagai sebahagian daripada beberapa negara di rantau Asia Pasifik yang mengambil beberapa langkah penting bagi menangani masalah rasuah dan birokrasi melampau sebagai sebahagian program transformasi ekonomi dan kerajaan. Malaysia di tangga keempat dalam piawaian beban kawalan kerajaan yang mendorong birokrasi melampau, selain tangga ke-26 dalam piawaian etika dan rasuah.

Kemudahan pengangkutan di Malaysia juga dinilai baik, berada di kedudukan ke-11. Sektor swasta sedia ada juga dinilai sangat canggih dan berinovatif, masing-masing di tangga ke-15 dan ke-21. Ringkasnya, Malaysia mampu mencapai negara maju menjelang akhir abad ini.

Ruang penambahbaikan

Sementara gembira dengan petunjuk-petunjuk yang dinyatakan, kita tidak boleh lalai untuk menyemak semula realiti dan beberapa aspek yang mungkin menjadi hambatan besar dalam usaha untuk mencapai negara berpendapatan tinggi.
Dalam Laporan, turut dinyatakan lima faktor utama paling bermasalah dalam menjalankan perniagaan: 1) rasuah, 2) akses kepada pinjaman perniagaan, 3) jenayah dan kecurian/rompakan, 4) birokrasi yang tidak cekap, dan 5) kadar cukai, selain beberapa faktor lain. Hasil tinjauan yang dibuat ini menunjukkan ianya seakan bertentangan dengan faktor-faktor positif dalam skor Indeks seperti yang dinyatakan.

Justeru itu, komitmen lanjut yang diperlukan lebih daripada sekadar pengumuman. Sudah tentu ada beza antara mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tindakan mencegah rasuah tanpa rasa takut dan memihak.

Begitu juga, antara mengurangkan jumlah proses yang perlu dilalui seseorang peniaga bagi memperolehi permit dengan kaunter yang tidak ada orang, atau panggilan ke jabatan kerajaan yang tidak dijawab semasa waktu kerja.

Dalam aspek pengangkutan, kita juga mesti memikirkan kemajuan di luar Lembah Klang, khususnya di negeri-negeri yang dikenal pasti ramai populasi fakir miskin, kekurangan sumber atau memerlukan lebih ramai penduduk untuk memajukan sumber yang ada. Saya bimbang kemajuan infrastruktur dinilai tanpa melihat kesaksamaan pembangunan sebagai keseimbangan penting yang diperlukan negara.

Meskipun sektor swasta dinilai canggih dan berinovasi, kesediaan teknologi masih dinilai lemah secara perbandingannya. Ini boleh menimbulkan sejumlah pertanyaan misalnya apakah sektor swasta kita tidak membangun teknologi, atau berhubung rapat dengan institut pengajian tinggi bagi membangunkannya? Atau, apakah punca lain yang menyekat teknologi dimajukan? Kenyataan ini menggambarkan pelaburan yang diterima kurang membawa bersama pemindahan teknologi yang diperlukan.

Kita juga sering mendengar kurangnya tenaga mahir dalam sektor kerja. Di universiti, kita akui bahawa nisbah pelajar wanita jauh lebih ramai. Namun, Laporan menunjukkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan masih rendah, di tangga ke-119. Apakah kita bersedia melihat aspek keseimbangan kerja dan kehidupan (work-life balance) yang sering menjadi kekangan besar wanita untuk kekal dalam pekerjaan berdaya saing? Apakah kita bersedia memberikan lebih tempat untuk wanita memimpin dalam sejumlah sektor utama misalnya pendidikan dan juga memainkan peranan lebih signifikan misalnya sebagai ketua eksekutif dalam politik, sekurang-kurangnya di peringkat negeri?

Akhir sekali, masalah defisit belanjawan kerajaan terus diperkatakan. Saya pernah menulis mengenainya dan menyentuh mengenainya dalam perbincangan secara langsung di sebuah saluran televisyen swasta semasa pembentangan Belanjawan 2013. Defisit mungkin bukan masalah, tetapi penerusan defisit sejak 1998 bukanlah sesuatu yang wajar dipandang enteng. Iltizam politik sangat dituntut bagi menanganinya.

Tulisan ini pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 8 September 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s