Taraf Hidup Meningkat?

Oleh: Amin Ahmad

Ramai memandang sinis kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berdasarkan angka awal Kajian Pendapatan Isi Rumah 2014 yang dijalankan kerajaan, taraf hidup rakyat meningkat dengan purata pendapatan isi rumah kini sudah melepasi RM5,900 sebulan.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyatakan perihal jurang pendapatan antara negeri dan juga wilayah, di samping jurang taburan pendapatan penduduk yang ada.

Penerangan begini adalah baik kerana ia menunjukkan bahawa kerajaan, khususnya Menteri berkenaan, sedar akan persoalan yang mungkin dibangkitkan orang ramai.

Jurang pembangunan

Lama sebelum ini, semasa menulis di sebuah kolum akhbar mengenai pembangunan lestari, saya mengingatkan akan kepentingan kesaksamaan pembangunan. Ini juga saya tekankan semasa ikut serta dalam rundingan agenda Rancangan Malaysia ke-11 anjuran CPPS-ASLI.

Meskipun dari satu sisi kita boleh mengatakan penghijrahan ramai ke bandar merupakan satu petunjuk ekonomi yang baik, ia turut membawa bersama masalah-masalah yang lain. Kesan yang boleh dilihat kini ialah jurang pembangunan fizikal dan kuasa penawaran-permintaan ekonomi.

Masalah ini akan terus berlaku dan mengambil masa yang lama untuk ditangani. Kita sedang dan akan terus menyaksikan penghijrahan ramai tenaga kerja ke Lembah Klang. Sebahagian masalah ini berpunca daripada banyaknya institut pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar Lembah Klang. Kebiasaanya, majoriti pelajar yang baru bergraduasi akan menetap di rumah sewa sekitar kampus, dan seterusnya mencari pekerjaan berdekatan.

Bagi kampus-kampus baru yang dibuka di banyak negeri, pelajar berdepan masalah berbeza iaitu tidak banyak peluang pekerjaan, terutama yang menawarkan pendapatan tinggi, boleh dipohon.

Ini mendorong tumpuan terus diberikan di Lembah Klang. Setakat ini, penduduk negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dianggarkan mencecah lebih 6 juta orang, atau kira-kira satu per-lima populasi rakyat Malaysia. Ini tidak termasuk yang tinggal di kawasan berhampiran seperti Seremban dan Nilai tetapi bekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya atau Selangor.

Jurang pembangunan ini sedikit sebanyak mempengaruhi jurang pendapatan antara negeri dan wilayah.

Jurang pendapatan

Jurang pendapatan sentiasa menjadi persoalan besar dalam wacana ekonomi-politik. Meskipun jurang tidak semestinya berpunca daripada kegiatan ekonomi yang salah, ia boleh menimbulkan masalah-masalah tertentu, terutama apabila melibatkan keupayaan warga mendapatkan keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Jurang pendapatan lazimnya ditunjukkan melalui Indeks Gini. Menurut kenyataan menteri yang sama, rekod menunjukkan jurang ini merosot daripada 0.441 pada 2009 kepada 0.431 pada 2012 dan seterusnya 0.420 pada 2014.

Ini nampaknya semakin baik. Malaysia memang sering dipuji di peringkat antarabangsa kerana rekod keupayaan menangani kemiskinan tegar. Ini bagaimanapun tidak harus menjadikan kita lalai.

Berdasarkan Model Baru Ekonomi (MBE), ditunjukkan bahawa 80% isi rumah di Malaysia berpendapatan RM3,000 dan ke bawah dan pendapatan bertumbuh besar bagi kelompok 20% teratas, kira-kira 64% sementara pertumbuhan paling perlahan bagi kelompok 40% terbawah, yang pendapatan mereka di bawah RM1,222, hampir satu per-lima daripada RM5,900.

Angka pendapatan isi rumah ini mungkin sudah berubah, sesuai dengan sifat ekonomi. Ini menunjukkan, bukan sahaja kita harus memberi perhatian kepada jurang ekonomi, tetapi juga corak pertumbuhannya.

Ia tidak semestinya salah. Kita harus sedar, peningkatan 10% bagi mereka yang berpendapatan tinggi, katakan RM1juta setahun, lebih besar nilainya berbanding seorang yang pendapatan sederhananya, katakan RM60 ribu setahun, meningkat pada kadar 50% setahun.

Namun, lambat laun, sekiranya jurang terus membesar, kestabilan politik mungkin tergugat. Ini ditunjukkan di banyak tempat, termasuk Malaysia. Saya akan cuba membincangkan mengenai persoalan ini dengan perhatian lebih khusus kepada Malaysia dalam tulisan yang lain.

Mendekati masalah, menawarkan penyelesaian

Sementara kita mengakui bahawa jurang yang ada boleh menimbulkan masalah, langkah penyelesaian yang ingin diambil perlu dibuat dengan berhati-hati. Dasar-dasar seperti gaji minima dan kuota untuk pemilikan harus diperhalusi agar ia tidak mendatangkan kesan yang tidak diniatkan.

Kita mesti sedar bahawa pertumbuhan ekonomi diperlukan untuk meningkatkan peluang pertumbuhan pendapatan. Sebagaimana air laut pasang, bot-bot besar dan bot-bot kecil akan turut sama mengikut aras kenaikan air.

Ia mengingatkan saya kepada kajian yang dilakukan Hernando de Soto, ahli ekonomi Peru. Di dalam bukunya, The Mystery of Capital, beliau dan kumpulan penyelidiknya mengumpul data di negara-negara Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Selatan dan mendapati jumlah aset yang dimiliki orang-orang miskin sebenarnya mencecah 40 kali ganda berbanding bantuan asing yang diterima sejak 1945.

Bagaimanapun aset-aset ini tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya kerana hak pemilikan tidak direkodkan, perniagaan yang liabilitinya tidak jelas, industri tidak dikesan pelabur atau pembekal pinjaman dan sebagainya. Menurut beliau, kerana tidak ada cukup dokumen, maka aset-aset ini tidak boleh dijadikan modal, tidak boleh didagangkan di luar pasaran terhad setempat, tidak boleh digunakan sebagai cagaran untuk meminjam dan tidak boleh digunakan sebagai saham dalam pelaburan.

Menurut de Soto, sekiranya aset-aset yang ada diperhitungkan bersama, maka jurang kekayaan adalah lebih kecil. Saya tidak begitu pasti mengenai dakwaan tersebut kerana ada kemungkinan juga, di negara Malaysia, ia akan menunjukkan jurang sebenar lebih melebar.

Ketika itu,mungkin faktor sebenar yang menghambat kemajuan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia akan lebih dikenal pasti. Ya, saya maksudkan pemilikan tanpa hak, melalui rasuah, salah guna kuasa, kronisme dan penyelewengan. Cuma malangnya, mungkin ia dimiliki atau terkait dengan mereka yang paling kuat bercakap tentang “demi agama, rakyat dan negara.”

Jadi tidak salah jika kita bertanya “taraf ekonomi meningkat untuk siapa?”.

Tulisan ini disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 September 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s