Pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor

Oleh: Amin Ahmad

Politik kebelakangan ini panas.

Daripada apa yang dilihat sebagai isu dalaman parti, kini ia berkembang menjadi isu nasional dan melibatkan persoalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri (UUTKN) serta institusi Di-Raja.

Saya fikir semua pihak mesti fokus.
Saya cuba meninjau keseluruhan isu ini. Ada beberapa fakta penting yang boleh kita jadikan pedoman untuk membuat keputusan.

Proses politik

Awalnya, Keadilan mengumumkan hasrat menukar Datuk Menteri Besar yang ketika itu dipegang seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) daripada partinya.

Hasrat Keadilan ini dipersetujui Parti Tindakan Demokratik (DAP) tetapi tidak dipersetujui Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Rentetan itu, ketiga-tiga parti bermesyuarat dan menyatakan secara bersama hak untuk menamakan calon Datuk Menteri Besar di Selangor diserahkan kepada Keadilan.

Saya fikir, kenyataan ini sangat penting sebagai asas untuk menentukan siapa pengganti Datuk Menteri Besar Selangor.

Keadilan dan DAP memastikan semua ADN mereka menandatangani Kenyataan Bersumpah untuk menyatakan sokongan kepada satu nama, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Datuk Menteri Besar Selangor.

PAS bagaimanapun bermesyuarat berasingan, selepas Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat daripada Keadilan.

Kita tahu, mesyuarat pada 17 Ogos 2014 mencapai persetujuan 1) PAS tidak menuntut jawatan Datuk Menteri Besar Selangor dan menghormati semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dalam hal mencadangkan nama Datuk Menteri Besar (yang boleh difahami sebagai diserahkan kepada Keadilan, sebagaimana persetujuan dicapai sebelumnya) dan 2) PAS (bagaimanapun) mencadangkan dua nama untuk diangkat iaitu i) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ii) Mohammad Azmin Ali.

Ini satu lagi kenyataan penting yang tidak wajar diabaikan.

Pada hari yang sama, selepas PAS mencapai keputusan, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (iaitu daripada Keadilan, DAP dan PAS) bertemu dan sekali lagi mencapai keputusan bersama iaitu hanya satu nama, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, diserahkan kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor.

Daripada keputusan ini, kita tahu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan ketiga-tiga parti sementara nama Mohammad Azmin Ali, meskipun dinamakan PAS, membuat kenyataan terbuka beliau menghargai cadangan tersebut tetapi turut menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Saya fikir di sini sahaja cukup untuk kita tahu isu pertukaran Datuk Menteri Besar Selangor patut selesai.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor

Bagaimanapun, kita dikejutkan dengan permintaan lebih daripada dua nama pihak istana.

Saya cuba merujuk kenyataan surat ini, dan mendapati ia tidaklah janggal, kecuali permintaan dibuat dalam situasi jelas ADN mana yang mempunyai sokongan majoriti.

Saya mendengar penegasan seorang pakar perlembagaan negara, Dr Aziz Bari.

Namun, penegasan beliau bagaimanapun mungkin tidak begitu difahami ramai, apatah lagi berita tidak memuatkan secara terperinci.

Dr Aziz Bari menegaskan DYMM Sultan Selangor mesti melantik Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ini selaras dengan UUTKN Selangor.

Malah, beliau turut menegaskan , DYMM Sultan Selangor boleh mengabaikan peruntukan UUTKN dalam hal melantik seorang bukan Melayu dan bukan Muslim sebagai Datuk Menteri Besar Selangor.

Apa yang ditegaskan Dr Aziz Bari, menurut pemahaman saya mengenai perlembagaan, ialah apa yang disebut sebagai doktrin struktur asas (basic structure doctrine).

Perlembagaan Malaysia dan UUTKN mempunyai beberapa doktrin struktur asas dan satu daripadanya ialah persoalan majoriti.

Sebab itu, soal pelantikan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, tidak hanya dipilih mengikut budi bicara, tetapi dipandu kepercayaan seseorang ahli parlimen atau ahli dewan di peringkat negeri mempunyai sokongan majoriti.

Sudah tentu dalam kes Perlis dan Terengganu, kita tahu DYMM Raja dan DYMM Sultan di negeri -negeri tersebut pernah menolak calon Menteri Besar lama untuk dinamakan semula.

Saya tidak mahu berbincang mengenai perincian dalam UUTKN di kedua-dua negeri tersebut.

Namun, kita tahu pemimpin-pemimpin parti mereka tidak mempertahankan penamaan calon tersebut.

Dalam kes di Selangor, sebagaimana dijelaskan di atas, jelas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan sokongan majoriti yang diterima.

Malah, PAS, meskipun berbelah bahagi, bersetuju menamakan beliau sebagai antara nama yang boleh diserahkan kepada DYMM Sultan Selangor.

Saya berpendapat, apabila pihak istana meminta lebih daripada dua nama daripada Keadilan, DAP dan PAS, dengan kenyataan ia adalah konvensyen (amalan biasa), ia boleh dibaca dengan pelbagai tafsiran, iaitu:

i) Sekiranya ia amalan biasa, maka satu nama boleh dihantar; ini memang dibuat pada tahun 2008 dan 2013, malah dibuat juga Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

ii) Setiap parti perlu mengemukakan lebih daripada dua nama – sama ada ia akan menjadi sembilan nama, atau mungkin ada nama-nama yang sama dalam senarai masing-masing.

iii) Ketiga-tiga parti berbincang dan bersama mengemukakan lebih daripada dua nama.

Analisa yang boleh dibuat daripada seluruh gambaran di atas ialah:

i) Ada satu nama yang dipersetujui ketiga-tiga parti, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail;

ii) DAP tidak mempunyai ADN Melayu dan Islam (selaraskan dengan keutamaan UUTKN Negeri Selangor), maka nama-nama ADN DAP, sekiranya dicalonkan, akan bergantung kepada sama ada DYMM Sultan mahu menggunakan pengecualian sebagaimana dijelaskan Dr Aziz Bari. Selain itu, DAP boleh mengemukakan nama-nama calon daripada Keadilan dan PAS di mana DAP komited dengan persefahaman Pakatan Rakyat dan menyatakan sokongan untuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai pengganti Datuk Menteri Besar;

iii) Baik Keadilan, DAP dan PAS, masing-masing tidak ada majoriti. Majoriti hanya boleh dicapai sekiranya dua atau tiga parti bersetuju untuk bekerjasama dalam mengemukakan nama-nama calon ini.

iv) Sekiranya PAS mengambil sikap berkecuali, iaitu tidak menamakan mana-mana calon, atau mahu menamakan calon secara bersendirian, maka berdasarkan UUTKN, ia sepatutnya tidak diterima kerana PAS secara bersendirian tidak membentuk majoriti. Malah, jika Keadilan dan DAP menghantar nama secara bersendirian juga, ia sepatutnya tidak diterima.

Kesimpulannya, saya berpendapat pelantikan Datuk Menteri Besar Selangor yang baru sudah sepatutnya diselesaikan lebih awal. Sama ada Datuk Menteri Besar Selangor yang baru berkebolehan, rakyat adalah pemberi legitimasi sebenar dalam pilihan raya akan datang. Dalam hal ini, Pakatan Rakyat, khususnya Keadilan dan DAP, mempunyai tugas besar untuk memulihkan keyakinan pengundi.

Pemimpin-pemimpin politik Pakatan Rakyat boleh terus membincangkan perbezaan mereka kemudian.

Pelantikan Datuk Menteri Besar Selangor yang baru boleh diteruskan berdasarkan fakta-fakta yang dinyatakan di atas.

Tulisan ini pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 11 September 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s