Harga Minyak, Pembangunan Negara dan Masa Depan

Oleh: Amin Ahmad

Kerajaan Malaysia baru sahaja mengumumkan rasionalisasi subsidi terbaru di mana harga minyak petrol RON95 dan minyak diesel naik sebanyak 20 sen menjadi RM2.30 dan RM2.20.

Laporan media menyatakan harga pasaran bagi minyak petrol RON95 pada masa ini ialah RM2.58 seliter dan harga minyak diesel RM2.52 seliter. Ini bermaksud kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak 28 sen dan 32 sen masing-masing bagi setiap liter minyak petrol RON95 dan minyak diesel.

Sudah tentu, seperti lazimnya, ramai yang merungut. Sudah menjadi lumrah, tidak ada sesiapa gembira apabila perlu membayar lebih banyak. Umum menjangkakan rasionalisasi subsidi ini bakal memberikan kesan kepada harga barang-barang keperluan.

Saya percaya ini hanyalah sebahagian daripada persoalan yang lebih besar mengenai harga minyak. Justeru itu, meskipun rasa tidak puas hati itu wujud, masyarakat umum, khususnya mereka yang terkait rapat dengan gambaran besar pembangunan, mesti berinteraksi secara positif untuk memastikan dasar-dasar yang diambil kerajaan menjamin kecekapan pertumbuhan.
Semasa mengikuti program pertukaran kepimpinan muda di Amerika Syarikat dua bulan lalu, saya dapat melihat misalnya syarikat-syarikat, selain daripada parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan atau badan-badan pemikir, mempunyai unit khusus kajian dasar dan turut sama aktif memastikan dasar yang diambil kerajaan tidak membantutkan pertumbuhan ekonomi secara umumnya.

Ia satu pengalaman yang menarik. Memang sepatutnya politik tidak dibiarkan kepada parti politik sahaja tetapi semua warga seharusnya menyertai proses politik, selain daripada pilihan raya, melalui interaksi sihat seperti perdebatan, penyelidikan, pendidikan dan perkongsian.

Rasionalisasi dan harga minyak

Ramai percaya kerajaan wajar memberikan subsidi minyak kerana kesan gandaan yang boleh terhasil daripadanya. Sebelum kita membincangkan lebih lanjut, eloklah kita memahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan subsidi.

Subsidi adalah sejenis daripada pelbagai cara campur tangan kerajaan dalam urusan ekonomi. Subsidi merupakan wang yang disalurkan untuk menstabil atau menurunkan harga pasaran bagi mana-mana perkhidmatan atau barangan agar ia mampu dinikmati orang ramai, khususnya golongan yang tidak atau kurang berkemampuan mendapatkannya pada harga pasaran.

Daripada definisi ini kita boleh melihat secara jelas apakah aspek yang menjadikan subsidi ini kelihatan menarik. Ya, penurunan harga. Umumnya, orang ramai tidak gembira apabila harga bagi sesuatu yang mahu dibeli tinggi dan sebaliknya gembira atau berpuas hati sekiranya harga bagi sesuatu yang mahu dibeli itu lebih rendah, atau sekurang-kurangnya mampu diperolehi. Sudah tentu, untuk sesuatu yang dimahukan, orang ramai akan berasa lebih gembira jika boleh mendapatkannya secara percuma.

Menurut kenyataan kerajaan, bahan api merupakan komponen subsidi terbesar. Jumlahnya mencecah RM24.7 billion, 12 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan pada 2012 dan RM24.8 billion, 11.5 peratus daripada perbelanjaan mengurus kerajaan pada 2013.

Berdasarkan kajian Bloomberg terhadap 61 buah negara pada awal Jun lalu, harga minyak di Malaysia merupakan antara yang termurah. Bagaimanapun, dari aspek kemampuan membayar, Malaysia berada di kedudukan sederhana, sementara dari aspek peratusan daripada perbelanjaan tahunan, meskipun angkanya kelihatan kecil, Malaysia berada dalam kelompok suku tertinggi.

Sudah tentu, dengan rasionalisasi subsidi yang dibuat, tekanan akan bertambah kepada orang ramai.

Masalah subsidi

Meskipun ramai berpendapat subsidi diperlukan, kita tidak boleh terlepas pandang atau mengabaikan ianya turut datang bersama sejumlah masalah tertentu.

Sebagai contoh, subsidi digunakan bukan golongan sasar. Sering dinyatakan subsidi minyak petrol dan diesel adalah bertujuan membantu golongan yang tidak atau kurang berkemampuan. Namun, jika diperhalusi, ternyata golongan sasar yang dimaksudkan tidak menggunakan subsidi minyak petrol dan diesel ini sebanyak golongan berkemampuan, termasuk peniaga-peniaga besar.

Contoh kedua, penyeludupan, atau turut dimanfaatkan pengguna asing yang masuk ke negara kita. Jumlah kes yang berjaya ditangkap mencecah ratusan dan nilainya mencecah jutaan ringgit. Jumlah ini tidak termasuk yang gagal ditangkap.

Apa yang tidak disedari ramai ialah, selain daripada kos subsidi, perbelanjaan tambahan dikeluarkan untuk menguatkuasa supaya tidak berlaku penyeludupan. Dengan penyeludupan, bekalan dalam negara akan berkurangan dan menimbulkan masalah kepada warga yang memerlukannya.

Contoh ketiga, subsidi bahan api yang murah mendorong kekerapan penggunaan kenderaan yang akan meningkatkan pencemaran udara serta digunakan untuk tujuan yang tidak diperlukan (tidak berhemat).

Dari sisi lain, perbelanjaan subsidi kerajaan juga bermaksud melepaskan kos (opportunity cost) kepada perbelanjaan lain yang mungkin lebih utama misalnya pendidikan.

Selain itu, herotan harga ini boleh melekakan dan menjerumuskan negara ke dalam perangkap subsidi (subsidy trap). Ini jelas diperakui apabila kita mengatakan golongan tidak atau kurang berkemampuan merupakan kelompok paling terjejas dengan penarikan subsidi.

Kita mesti menyedari ekonomi akan terus bergerak. Pada masa akan datang, tidak ada jaminan kita akan mampu untuk terus menampung kadar subsidi pada paras sedia ada. Ini mesti turut sama dipertimbangkan kerana faktor pertambahan populasi dan pembangunan dari semasa ke semasa. Ketika itu, jika penarikan subsidi dibuat, kesannya akan lebih berganda.

Pergantungan besar kerajaan kepada sumber minyak melalui pembayaran cukai dan dividen tahunan, seharusnya menambah kegusaran kepada kita.

Langkah ke hadapan

Sudah tentu, sebagaimana dinyatakan, tidak mudah untuk mengambil keputusan merasionalisasi subsidi. Namun, beberapa aspek perlu ditambah baik untuk meyakinkan orang ramai.

Pertama, selaras dengan kenyataan kerajaan mengenai pengurangan ketirisan, pengukuhan kedudukan kewangan negara dan penjimatan setimpal, komitmen terhadap pengurangan defisit fiskal mestilah jelas ditunjukkan.

Kedua, ketelusan maklumat sangat penting. Meskipun Akta Pembangunan Petroleum 1974 memberikan kuasa mengawal dan mengarah hanya kepada Perdana Menteri, tidak menjadi kesalahan untuk kerajaan mendedahkan mekanisme penentuan harga, perbelanjaan dan penghasilan yang dibuat. Ini pasti akan mengurangkan atau menghilangkan pelbagai tuduhan-tuduhan yang berlegar di kalangan orang ramai. Adalah lebih baik untuk menjadikan Petronas bertanggungjawab kepada Parlimen bagi memastikan ia diurus dengan cekap dan amanah.

Berdasarkan Indeks Tatakelola Sumber (Resource Governance Index), negara dinilai lemah, di kedudukan ke-34 daripada 58 buah negara, khususnya dalam komponen kerangka perundangan dan institusi serta kawalan keselamatan dan perlindungan.

Universiti serta badan penyelidik sains dan teknologi mesti lebih giat memperhalusi maklumat dan data yang ada untuk menawarkan alternatif kepada sumber bahan api negara, sementara ahli politik dan ahli ekonomi mesti lebih tegas menyuarakan kepentingan nilai-nilai teras kecekapan dan ketelusan.

Dengan gambaran ini, ternyata masih banyak yang perlu kita usahakan bersama. Iltizam intelektual dan politik sangat diperlukan.

Tulisan ini telah disiarkan di The Malaysian Insider pada 2 Oktober 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s