Seriuskah Kita Mahu Mencegah Rasuah?

Oleh: Amin Ahmad

Awal Oktober ini, Utusan Malaysia menyiarkan teks penuh titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau kini dinaik taraf sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sesuai dengan acaranya, titah tersebut menyentuh senario dan cabaran berkaitan rasuah.

Selang beberapa hari kemudian, tersebar surat kerajaan mengenai titah Sultan Nazrin yang tidak lagi mahu hadiah atau pemberian diberikan sekiranya baginda dijemput ke mana-mana acara kerajaan.

Sebagaimana biasa, kenyataan dan tindakan yang dibuat mendapat pujian ramai. Umumnya, ia dilihat sebagai cerminan “raja berjiwa rakyat”.
Sudah tentu kita wajar memberi pujian kepada mana-mana kenyataan dan tindakan yang baik dan pada masa yang sama, memberi maklum balas sewajarnya juga, sama ada dalam bentuk kritik, cemuhan atau desakan kepada mana-mana kenyataan dan tindakan yang kurang baik.

Akhirnya, dalam mana-mana tindakan ini, kita sebenarnya hanya memaksudkan apa yang baik perlu diteruskan atau ditingkatkan, dan apa yang kurang baik tidak diulangi atau diperbaiki.

Pertanyaan lanjut

Namun, meskipun persoalan rasuah dibicarakan sejak sekian lama, malah antara teks penting dalam bidang ini antaranya ialah hasil pemikiran tokoh sarjana negara, Profesor Dr. Syed Hussein Alatas, mengapakah rasuah terus berlaku?

Selain itu, dengan pelbagai langkah diambil di pelbagai negara, dengan sekeras-keras tindakan termasuk hukuman mati, tetap ada yang melakukan rasuah!

Kita boleh mengungkap sejarah, menceritakan kesan buruk rasuah kepada pembangunan negara dan kebajikan ramai, malah mengingatkan amaran dan celaan berasaskan nas-nas agama, tetapi sekali lagi, rasuah semakin cekap dilakukan dan kian rumit untuk ditangani.

Malah, jangan terkejut jika sebenarnya undang-undang dan nas-nas agama juga turut dimanipulasi bagi menjustifikasi perbuatan bersifat rasuah. Zaman sekarang ada tawaran berbentuk tajaan untuk menunaikan umrah dan haji! Mujur belum ada tawaran untuk yang mendapat projek berpuasa atau bangun solat tahajud setiap hari selama setahun!

Ini persoalan serius. Apakah lagi cara untuk menangani rasuah sekiranya undang-undang dan nas-nas agama tidak mampu melakukannya?

Apa itu rasuah?

Mungkin kebetulan, lewat bulan lalu sebelum sesi perbincangan buku dan idea yang dijalankan secara santai di Jalan Telawi, sejumlah penggiat yang rapat dengan Institut Kajian Dasar (IKD) dan laman majalah web JalanTelawi.com, seorang rakan dari Indonesia yang ikut sama pada waktu itu mengajak kami yang hadir awal berbincang mengenai persoalan rasuah.

Menurutnya, rasuah itu adalah sesuatu yang neutral kerana asasnya ialah memotivasi bagi mencapai sesuatu. Rakan itu menghujahkan tindakan membayar bonus untuk pekerja lebih gigih juga dinilainya sebagai perbuatan rasuah kerana ternyata pekerja tersebut boleh lebih gigih tetapi hanya dengan motivasi bonus itu tadi.

Untuk saya, apa yang dikemukakan rakan ini sesuatu yang menarik, sekurang-kurangnya sebagai bahan berfikir, mungkin sebahagian bentuk wacana pasca-moden. Rakan ini hanya cuba membuktikan rasuah itu neutral dan yang menjadikannya negatif bergantung kepada hasil akhir.

Saya tidak mengulas panjang. Memang para sarjana yang menekuni bidang rasuah ini juga merasakan sulit mendefinisikan rasuah secara tuntas. James, T.G (2000) misalnya, dalam kajian beliau mengenai psikoanalisa rasuah mengatakan “…Adalah mudah bercakap tentang rasuah, namun sebagaimana fenomena rumit yang lain, adalah sukar untuk mendefinisikannya dengan maksud yang tepat dan kukuh. Tidak mengejutkan, jarang terdapat konsensus mengenai apa yang mencirikan konsep ini. Akibatnya, sentiasa ada bahaya sesetengah pihak mungkin terlibat membincangkan tentang rasuah tetapi sebenarnya sedang memperkatakan tentang hal yang lain sepenuhnya…”

Profesor Dr. Syed Hussein Al-Atas sendiri dalam bukunya mengakui ada masalah pendefinisian rasuah. Namun, beliau mengingatkan agar “…Kegagalan membezakan pelbagai jenis rasuah dan menempatkannya pada konteks penilaian yang tidak tepat, hanya akan menimbulkan kekacauan dan pemborosan waktu. Masalah-masalah sampingan daripada definisi hendaklah tidak menghalang kita dalam mengkaji sesuatu gejala. Orang selalu dapat dihambat persoalan definisi yang tak terselesai dan menjadikannya sebagai alasan untuk menutupi atau mengaburkan gejala yang dipermasalahkan. Masalah definisi yang selalu timbul dari waktu ke waktu harus diselesaikan secara terpisah dan hendaknya tidak digunakan untuk menutup atau mengaburkan gejala seperti yang sudah dikemukakan tadi. Kalau hal ini dilakukan nescaya akan menimbulkan kekacauan di dalam analisis dan komunikasi.”

Ciri, punca dan jenis

Profesor Dr. Syed Hussein Al-Atas sendiri dalam bukunya menyatakan inti rasuah adalah salah guna kepercayaan untuk kepentingan peribadi. Sudah tentu definisi ini umum dan boleh memalitkan ramai orang.

Ciri-ciri rasuah disenaraikan antaranya: 1) pengkhianatan terhadap kepercayaan; 2) penipuan terhadap badan pemerintah, swasta atau masyarakat umum; 3) sengaja melalaikan kepentingan umum untuk kepentingan khusus; 4) dilakukan secara rahsia, kecuali dalam keadaan di mana pihak berkuasa atau orang bawahannya menganggap tidak perlu; 5) melibatkan lebih daripada satu pihak; 6) terpusatnya perbuatan rasuah pada mereka yang mengkehendaki keputusan yang pasti dan mereka yang dapat mempengaruhinya dan 7) adanya usaha menutup perbuatan rasuah dalam bentuk pengesahan undang-undang (bermaksud memberi alasan ia dibenarkan undang-undang) dan menunjukkan dwi-fungsi yang bercanggah pada mereka yang melakukan rasuah (faham penulis: pendakwaan selektif).

Beliau turut menyenaraikan sejumlah punca rasuah dan tujuh jenis tipologi rasuah iaitu: 1) transaktif; 2) memeras; 3) investif; 4) perkerabatan; 5) defensif; 6) autogenik dan 7) dukungan.

Umumnya, rasuah sinonim difahami secara negatif. Ini antara lain didorong keyakinan: 1) Agama mencela rasuah; 2) perbuatan rasuah berimpak negatif kepada umum dan 3) selalunya tidak adil.

Persoalan kekuasaan

Peringatan Sultan Nazrin mengenai pendakwaan berpilih perlu dihayati. Ia selaras dengan hadis Nabi s.a.w. yang menjelaskan kebinasaan umat terdahulu kerana pendakwaan terpilih – bila yang berkuasa, berkedudukan atau dihormati melakukan kesalahan, dilepaskan atau dipermudahkan urusannya, sebaliknya apabila yang tidak berpangkat, golongan lemah dan tidak dikenali melakukan hal yang sama, maka mereka dihukum.

Pernah kira-kira 10 tahun lalu, semasa menjadi pimpinan pelajar, saya hadir ke satu sesi yang dianjur Institut Integriti Malaysia (IIM). Saya mengajukan pandangan, rasuah sebenarnya hanya berlegar dalam persoalan kekuasaan, sama ada disebabkan kedudukan jawatan atau keupayaan untuk membayar. Jawatan ini tidak semestinya tinggi.

Polis trafik misalnya (kerana kami ditunjukkan sebuah rakaman sulit tersembunyi perbuatan rasuah seorang anggota polis trafik), boleh mengambil rasuah kerana mereka mempunyai kuasa untuk menyaman, dan pemandu yang disaman memberikan rasuah kerana jumlahnya lebih kecil daripada denda yang dikenakan.

Tidak ada sesiapa akan merasuah pihak yang tidak mempunyai kuasa tertentu.

Tidak ada sesiapa akan memberi rasuah sekiranya kos pemberian tersebut lebih mahal daripada keuntungan yang berpotensi diperolehi. Kos ini bukan sahaja dalam bentuk wang, tetapi juga waktu yang diperuntukkan bagi mana-mana pihak dalam urusan mereka.

Ini asas tingkah laku manusia yang perlu difahami dan banyak dibahaskan pakar-pakar dalam bidang kemanusiaan misalnya pemikir ekonomi politik.

Iltizam bersama

Terkait dengan persoalan itu, apa yang perlu dilakukan pihak kerajaan ialah mempermudahkan banyak urusan harian manusia. Dalam realiti kesempitan hidup orang ramai dan masalah pengurusan kewangan negara, beberapa perkara boleh dilakukan untuk membendung rasuah, antaranya:

1) Mengurangkan birokrasi sekaligus meningkatkan kecekapan pentadbiran.

Birokrat mesti diberikan kefahaman, kelewatan dalam menguruskan sesuatu adalah kos. Kejayaan Tun Abdullah dalam mempercepatkan urusan di kaunter imigresen mestilah dicontohi. Kakitangan awam yang ingin berniaga atau lebih banyak berehat untuk minum wajar dinasihatkan berhenti.

Proses pemerolehan kerajaan perlu ditambah baik. Sistem tender terbuka perlu diamalkan dengan cekap. Sikap sesetengah pihak yang cuba “outsmart” sistem tender dengan “kabel” dalam sistem itu sendiri perlu segera ditangani. Antara cara yang boleh diambil ialah selepas pertemuan untuk taklimat kepada semua pihak yang minat membida, mereka perlu dipanggil pada hari tertentu dan diletakkan di satu tempat yang sama untuk mengisi borang bidaan pada waktu yang sama, misalnya dalam masa 2-3 jam. Tempoh masa yang sesuai antara taklimat dan waktu mengisi borang bidaan adalah wajar. Semua tender tertutup mesti diisytiharkan di parlimen, perincian peruntukannya dan kontraktor terpilih. Kontraktor gagal seperti dalam kes pembinaan Hospital Shah Alam mesti membayar bukan sahaja bayaran yang diberikan kerajaan tetapi juga termasuk kos kelewatan pembinaan siap. Ini mesti dimasukkan ke dalam kontrak. Sekiranya kontraktor yang menerima kontrak langsung tidak melakukan apa-apa kerja sebaliknya menyerahkan kontrak tersebut kepada pihak lain (baca: untung atas angin), syarikat dan pemilik tersebut hendaklah dibatalkan kontraknya, membayar denda dan disenarai hitam untuk satu tempoh tertentu.

Apa yang patut dilakukan agensi kerajaan mesti dilakukan dengan lebih cekap, berkesan dan adil. Tidak sepatutnya kita mendengar keluhan longkang tersumbat, sampah tidak dikutip, masalah bekalan air berlarutan dan sebagainya sehingga wakil rakyat sentiasa perlu datang melihat dan mendapatkan agensi kerajaan terlibat untuk menyelesaikannya.

2) Memansuhkan jenis-jenis saman yang tidak perlu misalnya saman jalanraya untuk kesalahan kecil tetapi mengenakan hukuman hanya untuk kesalahan serius seperti menyebabkan kemalangan atau memandu secara berbahaya dan bersifat membuli. Had laju di lebuh raya tertentu perlu ditingkatkan dan saman mengikut lebihan had laju perlu diperkenalkan. Saman tidak harus dijadikan KPI. Polis trafik patut dimanfaatkan untuk mengurangkan kesesakan, bukan untuk mengumpul hasil kerajaan.

Cara yang sama juga perlu dilaksanakan dalam perkara lain misalnya insentif cukai dan memastikan persaingan dengan cara menarik balik monopoli pihak tertentu dalam import-eksport barangan. Ini mengelak penyeludupan, cubaan merasuah pengawal sempadan dan sekaligus dapat merancakkan pergerakan ekonomi dalam negara. Apa yang diperlukan hanyalah rekod import-eksport, bukannya meningkatkan kos perniagaan.

3) Bentuk undang-undang yang adil dan saksama.

Tindakan-tindakan di atas juga dapat mengurangkan kes-kes mahkamah dan sekaligus membolehkan mahkamah memberikan fokus kepada isu-isu yang lebih penting.

Dari semasa ke semasa, kita mungkin akan dapat membaca berita tangkapan rasuah. Ini boleh dipuji. Namun, ia tidak wajar dijadikan alasan untuk meredakan kritikan ramai terhadap apa yang lebih baik patut dilakukan kerajaan.

Sebenarnya, kritikan terhadap isu rasuah ini lama dibuat. Namun, saya bimbang, apakah kerana Sultan Nazrin yang bertitah, maka ia diangkat Utusan Malaysia? Apakah Utusan Malaysia akan turut menyiarkan gesaan rakyat agar institusi diraja juga turut sama menjuarai isu ketelusan dengan cara mengisytiharkan pemilikan dan pendapatan mereka?

Akhirnya, saya mahu bertanya: seriuskah kita mahu mencegah rasuah?

Tulisan ini telah disiarkan di The Malaysian Insider pada 9 Oktober 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s