Belanjawan 2015: Defisit, Hutang dan Perbelanjaan Kerajaan

Oleh: Amin Ahmad

Jumaat lalu perdana menteri merangkap menteri kewangan membentangkan belanjawan bagi 2015. Sebelumnya, ketua pembangkang mengumumkan belanjawan alternatif yang dicadangkan untuk pertimbangan kerajaan.

Dua peristiwa ini untuk saya penting. Pertama, sejak beberapa tahun lalu, khususnya apabila muncul apa yang kini dikenali ramai sebagai Pakatan Rakyat, rakyat Malaysia berpeluang melihat persaingan sihat, bukan sahaja dalam konteks undi semasa pilihan raya, tetapi juga dalam aspek idea dan hujah.

Pembentangan belanjawan adalah amalan biasa dibuat pentadbiran yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Menurut Kamus Dewan, belanjawan bermaksud “butiran ringkas anggaran pendapatan dan perbelanjaan”. Dalam hal ini, ia merujuk kepada belanjawan kerajaan dalam tempoh setahun, iaitu sepanjang 2015.

Apa yang menarik kali ini ialah PM merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak menegaskan pentingnya langkah berterusan untuk mengurangkan defisit kerajaan bagi memastikan negara mencapai bajet seimbang menjelang 2020.
Beliau menyatakan, “Salah untuk melepaskan beban hutang kepada generasi akan datang. Kita mesti wariskan ekonomi yang lebih kukuh dan hutang yang lebih kecil…”

Defisit dan hutang

Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut, eloklah dijelaskan dahulu perbezaan maksud defisit dan hutang.

Defisit bermaksud kerajaan berbelanja lebih daripada pendapatan (baca: cukai yang dikutip). Hutang pula ialah jumlah pinjaman kerajaan daripada pihak lain bagi menampung belanjawan. Defisit ditunjuk dalam belanjawan setiap tahun tetapi hutang meliputi jumlah defisit terkumpul daripada tahun-tahun sebelumnya.

Sejak 1970 hingga 2014, Malaysia mengamalkan belanjawan defisit sebanyak 43 kali, dan ia meningkat secara ketara sejak 2005. Kesan defisit secara berterusan ini, hutang negara meningkat daripada 36.0% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 1998 kepada 52.6% KDNK pada 2013.

Dalam Laporan Ekonomi Malaysia 2014/2015, dinyatakan hutang domestik negara, sehingga akhir Jun 2014, berada pada kadar RM552.652 billion, sementara hutang luar negeri bagi jangka masa panjang, sederhana dan pendek, sehingga tempoh yang sama, berada pada kadar RM335.572 billion (termasuk hutang swasta).

Sejak 2010, faedah yang dikenakan terhadap pinjaman bersih dalam dan luar negeri berjumlah antara RM15 billion hingga RM22 billion setahun. Kerajaan menjangkakan defisit pada kadar 3.5 peratus bagi 2014 dan menurun pada kadar 3.0 peratus bagi 2015. Persoalan yang wajar ditanyakan ialah berapa banyakkah faedah yang perlu dibayar sepanjang 43 kali belanjawan defisit ini?

Untuk rekod, kerajaan persekutuan belum pernah gagal mengemukakan belanjawan tambahan sejak dipimpin Datuk Sri Najib.

Perbelanjaan kerajaan

Meskipun ada beberapa langkah yang diambil kerajaan wajar disokong dan dipuji, namun masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi.

Untuk tulisan ini, saya hanya akan memberikan fokus kepada perbelanjaan kerajaan.

Ramai yang mahu kerajaan melakukan itu dan ini, namun jarang ditanyakan dari manakah sumber pendapatan kerajaan yang ingin dibelanjakan itu. Ya, jawapannya tepat – orang ramai. Ramai yang menyangka kehidupan mereka ditanggung kerajaan walhal sebenarnya kerajaan yang ditanggung semua orang. Selain itu, kerajaan juga dijadikan alat untuk sesetengah pihak hidup melalui hasil usaha pihak lain.

Berdasarkan rekod yang ada, belanja mengurus terus berada pada paras yang tinggi dan belanja untuk pembangunan pula menyusut.

Pada 2009, perbelanjaan pembangunan berada pada tahap 25.9 peratus. Ia meningkat pada kadar 27.8 peratus pada 2010, sebelum turun pada kadar 23.9% pada tahun berikutnya, 2011. Ia terus menyusut kepada 22.0% pada 2012, 19.1% pada 2013, 16.9% pada 2014 dan menokok sedikit kepada 17.8% pada 2015. Data-data ini tidak mengambil kira tambahan belanjawan yang dikemukakan kemudian.

Perlu diingatkan, peningkatan belanja mengurus dan penyusutan belanja pembangunan ini berlaku dalam situasi belanjawan negara terus meningkat dari tahun ke tahun. Jika dikaitkan dengan defisit dan hutang, ternyata masalah yang perlu diselesaikan ialah nafsu berbelanja kerajaan.

Sudah tentu, perbelanjaan kerajaan boleh dijustifikasi melalui beberapa aspek. Misalnya, menurut Adolph Wegner, ahli ekonomi Jerman (1835-1917), belanja kerajaan meningkat lebih cepat daripada ekonomi kerana tuntutan kian bertambah. Beliau percaya kerajaan perlu memulakan sejumlah inisiatif pembangunan seperti jalanraya dan juga sekolah.

William J. Baumol, Profesfor Emeritus dalam bidang ekonomi pula mengatakan perbelanjaan kerajaan seharusnya meningkat selaras dengan pertumbuhan Keluaran Negara Kasar agar tahap perkhidmatan bagi setiap individu dapat dikekalkan.

Pandangan Wegner dan Baumol dipersoal Gordon Tullock, mantan profesor ekonomi dan undang-undang di Universiti George Mason, juga pengasas bersama Teori Ekonomi Pilihan Awam. Pandangan Wagner misalnya, dibuktikan sebaliknya dalam tempoh 40 tahun selepas beliau menyatakan pendapat tersebut sekitar dekad 1880-an. Baumol juga tidak dapat menjelaskan situasi sebelum 1929 di mana tidak ada peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan, termasuk dekad awal selepas 1953.

Tullock menyatakan ahli-ahli ekonomi masih tidak dapat menjelaskan secara saksama mengapakah perbelanjaan kerajaan perlu meningkat tinggi. Beliau berpendapat, aktiviti merentir (rent-seeking, antara masalah utama ekonomi Malaysia seperti yang terkandung dalam Model Baru Ekonomi (MBE)) adalah punca utama peningkatan tersebut. Ia merujuk kepada aktiviti sesetengah pihak yang melobi kerajaan untuk memperuntukkan sejumlah kekayaan kepada mereka.

John Maynard Keynes, tokoh besar ekonomi pula berpendapat perbelanjaan kerajaan akan menyuntik kuasa beli dalam ekonomi, terutama ketika ekonomi suram. Ini sering dinamakan sebagai rangsangan ekonomi.

Namun, jarang ada yang menyebut, sebelum kematiannya, Keynes mengingatkan prestasi ekonomi akan terjejas sekiranya perbelanjaan kerajaan melebihi 25% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bahkan, pemuka-pemuka teori Keynesian mengingatkan perbelanjaan kerajaan perlu dikurangkan apabila ekonomi mula berkembang bagi mengelakkan inflasi.

William Arthur Niskanen (1933-2011), mantan profesor ekonomi di Universiti California, disebut sebagai arkitek kepada program ekonomi di bawah Presiden Ronald Reagan, pula menyumbang dalam Teori Pilihan Awam dengan membangunkan Model Memaksimumkan Belanjawan melalui bukunya, Bureaucracy and Representative Government yang diterbitkan pada 1972.

Menurut Niskanen, pertumbuhan perbelanjaan kerajaan didorong kepentingan birokrat yang mahu memaksimumkan utiliti mereka sama ada dalam bentuk gaji, kuasa, prestij, faedah dan sebagainya.

Teori lain yang boleh dilihat ialah Keluk Rahn (Rahn Curve) yang menyatakan ekonomi menguncup sekiranya kerajaan tumbuh terlalu besar (baca: belanja terus meningkat).

Lakukan apa yang betul

Najib, dalam pembentangannya juga turut menegaskan “Kita mesti lakukan apa yang tepat untuk ekonomi Malaysia, bukan yang popular.”

Sehingga kini, meskipun ahli ekonomi tidak sepakat mengenai had perbelanjaan kerajaan, umumnya mereka bersetuju peningkatan perbelanjaan kerajaan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi kerana ia mengalihkan sumber produktif ke sumber kurang produktif – sekaligus rantaian kesannya termasuk peningkatan kadar faedah yang boleh menjejaskan pelaburan.

Ini mungkin kelihatan seperti hanya berteori. Namun, jangan dilupakan teori lazimnya hanya akan terbentuk melalui pelbagai ujian di lapangan, di samping pengalaman yang dilalui. Teori bukanlah cakap-cakap kosong tanpa asas seperti mana yang sering ditanggapi ramai.

Jika mahukan bukti, sesungguhnya pengalaman belanjawan berimbang pada dekad 1990-an adalah contoh yang boleh diambil untuk menunjukkan sesebuah ekonomi boleh bertumbuh dengan baik tanpa defisit.

Untuk saya, kita seharusnya mempopularkan yang betul. Kos menanggung sesebuah kerajaan tidak boleh mengatasi manfaat yang patut diperolehi daripadanya.

Tulisan ini pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 Oktober, 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s