Mengharmonikan hubungan manusia dan haiwan

Oleh : Amin Ahmad

Apabila ramai memberi perhatian, sama ada dalam bentuk mengkritik atau membela, saya fikir program “I want to touch a dog” berjaya.

Memang, polemik sering diperlukan untuk mengajak orang ramai berbincang. Ia, dalam kaedah interpretasi persekitaran, adalah satu bentuk saat boleh didik (teachable moment).

Ramai hanya bertumpu kepada persoalan boleh atau tidak boleh seseorang Muslim menyentuh anjing.

Perkara tersebut banyak ditulis dan dibahas. Mungkin agamawan perlu menjelaskan lebih lanjut aspek ‘haram’ yang bermaksud ‘langsung tidak boleh dibuat’ dengan yang bermaksud ‘tidak digalakkan’ atau ‘boleh dibuat tetapi kemudian perlu dibersihkan dengan cara tertentu’.
Meskipun ia penting, saya fikir wajarlah persoalan hubungan manusia dan haiwan dibincangkan secara lebih meluas.

Pengalaman diri

Saya tidak banyak pengalaman. Keluarga di kampung, bahkan arwah datuk dan nenek, memang pernah membela kucing dan suka memberi makan kucing. Saya sendiri membela 10 ekor kucing di rumah.

Di sekolah menengah, dalam satu eksperimen subjek biologi, kami perlu membedah katak. Semasa di universiti, mengkhusus dalam bidang pengurusan sumber dan pengguna rekreasi luar, kami antara lain perlu belajar mengenai pengurusan hidupan liar.

Antara aktiviti kelab yang pernah dianjurkan ialah memegang anak harimau dan ular.

Selepas bergraduat, saya pernah membantu pensyarah menjalankan kajian kerjasama antarabangsa yang cuba meneroka asas budaya hubungan manusia dan hidupan liar.

Menjelaskan lagi kepentingan isu hubungan manusia dan haiwan ini, di Malaysia misalnya mempunyai Akta Haiwan 1953 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Saya sendiri pernah terlibat membantu seorang ahli Parlimen tatkala mencari bahan untuk perbahasan Rang Undang-Undang Makanan Haiwan pada tahun 2009.

Manusia dan haiwan

Haiwan mempunyai kedudukan istimewa dalam kehidupan manusia. Ia boleh menjadi sumber tarikan dan ketakutan, melambangkan nilai material atau makna simbolik, mempunyai kepentingan tertentu dalam konteks amalan keagamaan dan kerohanian serta petunjuk kelestarian alam sekitar.

Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan layanan terhadap haiwan adalah satu petunjuk ketamadunan sesebuah masyarakat.

Semua ini cukup untuk mengajak kita lebih bersederhana dan membincangkan persoalan berbangkit secara tertib.

Tambahan pula, berdasarkan pengalaman dan pengetahuan penulis mengenai tangkapan dan pelupusan haiwan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan, termasuk penderaan dan kezaliman terhadap haiwan oleh sebahagian anggota masyarakat, maka penting untuk orang ramai lebih objektif dalam mewacanakan isu haiwan.

Ketika kesedaran alam mula berkembang pada dekad 1960-an, tidak banyak kajian yang menjelaskan hubungan manusia dan haiwan.

Ini mendorong Kellert (1976) menjalankan kajian awal dan maklumat daripadanya dikumpul dalam sembilan kategori nilai yang berbeza iaitu 1) utilitarian, 2) naturalistik, 3) ekologi-saintifik, 4) estetik, 5) simbolik, 6) kemanusiaan, 7) moral, 8) menguasai dan 9) negatif.

Kajian lain oleh Teel dan Mafredo (2009) membahagikan orientasi tipologi nilai kepada empat iaitu 1) tradisionalis yang cenderung menguasai, percaya bahawa haiwan patut diurus untuk kepentingan dan manfaat manusia, 2) kesalingan, percaya bahawa haiwan hidup sama dengan manusia, mempunyai hak tertentu dan mesti diuruskan dengan adil, 3) pluralis, percaya kepada penguasaan dan kesalingan, tetapi bergantung kepada situasi, 4) menjarakkan diri, tidak berminat.

Di Malaysia, kajian yang dijalankan dikategorikan kepada tujuh kategori nilai berbeza iaitu 1) utilitarian, 2) pemburuan, 3) kesalingan, 4) minat, 5) penjagaan, 6) saintifik dan 7) alam sekitar.

Dengan memahami aspek-aspek ini, ia boleh membantu dasar pengurusan berkaitan haiwan. Ia dapat menjelaskan dengan lebih mendalam pendirian masyarakat yang mungkin menyokong, menentang atau tidak mengambil sikap dalam isu-isu berkaitan haiwan.

Menambah baik wacana

Dalam isu program “I want to touch a dog”, saya fikir kesudian Ustaz Mohd Iqbal Abu Zulfaqar hadir bagi menyampaikan tausiyah wajar dipuji. Peringatan beliau bahawa tidak boleh kita membenci haiwan, dan ini termasuk anjing, wajar disemat erat dalam diri masing-masing.

Untuk saya, Islam tidak memberatkan penganutnya, bahkan Nabi s.a.w. menganjurkan agar sesuatu itu dipermudah, bukan dipersulit.

Ketika ramai yang mahu berpegang dengan pandangan mazhab Syafie, dan mempertegas pandangan kekuasaan bahawa negara Malaysia berpegang pada pandangan mazhab ini, ilmuan wajib menjelaskan pandangan berbeza daripada mazhab lain, sekiranya ada.

Dalam menyatakan rasa kurang senang, tidak perlulah sampai kita memberi komen dan kritikan seperti ‘menjejaskan akidah’, ‘lepas ini anjurlah pula pegang babi’, ‘agenda liberal’ atau ‘jahil agama’.

Ia tidak banyak membantu, malah menjadikan peluang untuk menyebarkan ilmu kepada serangan peribadi. Sesungguhnya yang demikian tidak mencerminkan pandangan ilmu dan tidak mencerminkan akhlak.

Sebagaimana kita berasa juara dalam menghukum berasaskan pandangan mazhab tertentu, adalah lebih utama mempertegaskan sikap semua mazhab dalam menyatakan wajib bersikap ihsan dan haram pula menzalimi haiwan.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 22 Oktober 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s