Selepas 25 Tahun Tembok Berlin Mula Diruntuhkan

Oleh Noor Amin bin Ahmad

Sejak beberapa hari lalu, dunia mengenang semula apa yang dinisbahkan sebagai ‘runtuhnya’ Tembok Berlin di Jerman pada 9 November, 25 tahun lalu.

Jerman, sebagai kuasa dunia yang berperanan besar dalam perang dunia pertama dan kedua, tentulah mempunyai banyak sejarah.

Ia bukan sahaja tentang perang dan kediktatoran Hitler, tetapi juga peralihan daripada sistem beraja kepada demokrasi di apa yang disebut oleh ahli sejarah sebagai Republik Weimar, serta keajaiban ekonomi pasca perang.

Meskipun umumnya ramai mengetahui Jerman adalah sebuah negara yang hebat, khususnya dalam peranan menangani krisis ekonomi di rantau Eropah (sekaligus dunia), maklumat lain agak terbatas.
Ini, sebagaimana disebut oleh Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD), mungkin berpunca daripada terbatasnya akses ramai kepada sumber maklumat daripada negara itu kerana faktor bahasa.

Atas sebab itu juga, beliau meminta saya membuat sejumlah pembacaan dan menulis buku “Ekonomi Pasaran Sosial: Alternatif Untuk Malaysia?” yang diterbitkan oleh institut tersebut selepas seminar dengan tajuk yang sama diadakan sebelumnya.

Pengalaman menyiapkan buku tersebut, di samping kunjungan ke Berlin beberapa hari jelas mengukuhkan sebab mengapa Jerman tidak wajar dikesampingkan dalam radar keilmuan dan perhitungan ekonomi politik.

Dari Republik Weimar ke Kekuasaan Hitler dan Sosialisme Kebangsaan (Nazi)

Profesor Paul Bookbinder yang mengajar di University of Massachusetts, Boston menyatakan Republik Weimar penting dikaji kerana ia memaparkan tempoh paling kreatif dan terpenting dalam abad ke-20.

Apa yang sering ditanyakan mengenainya relevan dengan masalah yang dihadapi oleh individu dan masyarakat pada abad baru kini.

Selepas tewas dalam perang dunia pertama, kita tahu Jerman didesak agar bertanggungjawab membayar segala kerosakan yang ada.

Perjanjian Versailles yang perlu ditandatangani oleh Jerman selepas gencatan senjata jelas meletakkan negara itu dalam situasi sukar. Keputusan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Jerman.

Republik Weimar berdepan bukan sahaja masalah hiperinflasi, tetapi juga konflik gender dan generasi, politik ganas dan tidak terkawal, konflik hubungan agama dan kekuasaan serta perkauman.

Pembentukan perlembagaan dan budaya politik baru serta keperluan mereformasi institusi, terutamanya kehakiman, polis dan pendidikan cukup mencabar kerana Jerman baru cuba mengamalkan demokrasi.

Kegagalan menangani semua persoalan ini telah menjadikan hasrat pembentukan Republik Weimar bagi membina sebuah masyarakat demokratik berakhir dengan tragedi apabila ia kemudiannya dijadikan alat untuk Hitler berkuasa, memerintah secara diktator dan sekaligus mendorong terjadinya perang dunia kedua kemudian.

Hitler berjaya mendapat kekuasaan melalui pilihan raya, selepas parti-parti yang dilihat lebih demokratik semakin tidak diyakini dapat memulihkan maruah negara itu.

Dalam tempoh lima tahun pertama, sebanyak enam kali pakatan parti-parti berkuasa bertukar.

Banyak kajian dibuat tentang bagaimana sistematiknya Hitler memusnahkan semua pencabarnya, dan ini tidak terkecuali di kalangan pemimpin-pemimpin kanan dalam Nazi sendiri.

‘Kemakmuran’ tanpa demokrasi

Hitler, dalam tempoh singkat, berjaya mendapatkan sokongan ramai.

Semasa di Jerman, saya ditunjukkan sebuah iklan pendek yang pernah diterbitkan sebuah media Brazil pada dekad 1980-an.

Dalam iklan yang sinis itu, dinyatakan bagaimaan seorang lelaki mewarisi negaranya yang musnah, berjaya memulihkan ekonomi, menjadikan seluruh rakyatnya kembali berbangga.

Dalam tempoh empat tahun, melalui manipulasi statistik, data pengangguran ditunjukkan merosot daripada sekitar enam juta orang kepada hanya sekitar 900 ribu orang.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 102% dan pendapatan per kapita meningkat sekali ganda.

Keuntungan korporat meningkat daripada 175 juta kepada 5 billion. Hiperinflasi menurun kepada hanya 25% setahun.

Di hujung iklan tersebut dimuatkan pesan bahawa kebohongan boleh disampaikan dengan penyampaian fakta. Ya, Hitler kini hanya dikenang sebagai seorang diktator.

Kita boleh melihat bagaimana sepanjang kekuasaan Hitler, kebebasan dicengkam. Pensyarah dan intelektual, sama ada terpaksa melarikan diri, atau menjadi pengampu.

Malah, sesama ahli keluarga, jiran dan pasangan kekasih juga, masing-masing menjadi pengintip melaporkan elemen anti-penguasa untuk dibanteras oleh Nazi.

Buku-buku dibakar dan minoriti Yahudi khususnya, dizalimi. Curiga dan kebencian, kepatuhan secara membabi buta menjadi nilai-nilai panduan yang utama.

Dua Jerman

Selepas Jerman tewas dalam perang dunia kedua, negara itu diduduki oleh empat kuasa besar dunia – Amerika, Kesatuan Soviet, Britain dan Perancis.

Wilayah diduduki Amerika, Perancis dan Britain kemudian dikenali sebagai Jerman Barat dan wilayah diduduki Kesatuan Soviet pula dikenali sebagai Jerman Timur.

Ia menggambarkan pertembungan nyata blok ideologi. Berlin sebagai pusat kekuasaan baru di Jerman terbahagi dua.

Jerman Barat kemudiannya ditadbir secara demokrasi pilihan raya dan memilih penyesuaian ekonomi kapitalisme dengan nama ekonomi pasaran sosial sementara Jerman Timur mengamalkan komunisme.

Penghijrahan besar-besaran warga di wilayah timur ke barat akhirnya mendorong tembok Berlin didirikan yang pertama dalam tempoh satu malam sahaja!

Pada 9 November 1989, ketika tembok ini mula dirobohkan, empat generasi tembok terbina sepanjang ratusan kilometer dan tinggi mencecah sehingga 3.6 meter.

Meskipun pada awalnya laluan untuk menyeberang ke Timur dan Barat masih dibuka secara terhad, ia kemudian ditutup sepenuhnya pada pukul 4 petang, 13 Ogos 1961, selepas lebih dua juta warga Jerman Timur (lebih 10%) memilih berbuat demikian dan tidak kembali semula.

Mereka ini kebanyakannya adalah bakat dan intelektual yang sedar bahawa sistem yang diamalkan di sana hanya menunggu masa untuk runtuh.

Pada hari selepas laluan terhad ditutup sepenuhnya, warga Barat yang berada di Timur tidak lagi dapat kembali ke Barat, sama ada untuk bersama keluarga atau bekerja, dan begitulah sebaliknya.

Dilaporkan seramai 192 orang mati dan 200 orang cedera kerana ditembak ketika cuba menyeberang ke Barat.

Dalam kunjungan ke muzium di Berlin, saya berpeluang melihat bagaimana kreatifnya usaha sebahagian daripada mereka yang berada di wilayah Timur melarikan diri ke Barat. Meskipun tidak semua berjaya, jelas terlihat betapa besarnya keinginan untuk bebas.

Tembok ini akhirnya mula dirobohkan selepas empayar Kesatuan Soviet musnah pada tahun 1989, sekaligus mendorong penyatuan Jerman sebagaimana apa yang dikenali kini.

Beberapa pengajaran

Menurut Walter Rathenau, Menteri Luar pertama Republik Weimar yang kemudian dibunuh, kegagalan demokrasi di Republik Weimar berpunca daripada “kewujudan Republik tanpa Republikan”, atau dalam maksud lain “demorkasi tidak dapat berfungsi tanpa mereka yang demokratik”.

Sudah tentu yang dimaksudkan beliau melangkaui persoalan pilihan raya tetapi merangkumi pemahaman akan kebebasan sivil dan ketinggian undang-undang.

Kedua, pertembungan blok komunis dan blok kapitalis bukan hanya sekadar teori lagi. Ia berpeluang menunjukkan ‘kekuatan’ melalui model negara masing-masing’.

Ternyata, blok komunis ‘tewas’ dengan runtuhnya Tembok Berlin, simbol Perang Dingin paling diingati dalam sejarah moden.

Jika ditelusuri sistem ekonomi pasaran sosial yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Konrad Adenauer selaku Perdana Menteri, kita tidak dapat mengelak daripada mendakwa bahawa sistem ekonomi pasaran terbuka adalah jalan untuk kemajuan dan menjadi sumber utama pertentangan kemakmuran di Jerman Barat dan kesukaran hidup di Jerman Timur, sekaligus menginspirasi runtuhnya temboh Berlin.

Idea ekonomi pasaran sosial (variasi daripada ekonomi pasaran terbuka) boleh dilihat melalui penglibatan Walter Eucken, tokoh ekonomi di sebalik idea ini dan Ludwig Erhard sendiri dalam Mont Pelerin Society, sebuah perkumpulan pemikir pelbagai bidang yang mendokong sistem liberalisme klasik. Malah, menurut Erhard sendiri, “semakin bebas ekonomi, semakin sosiallah ia”.

Idea-idea utama yang dikemukakan ialah kebebasan ekonomi bermaksud persaingan penuh bagi memastikan mekanisme harga berfungsi.

Tujuan utama ialah bagi membolehkan harga pasaran digunakan dan persaingan adalah jalan mencapainya.

Ancaman utama sistem ini ialah kekayaan tanpa pengeluaran dan usaha (free rider), desakan perlindungan dan keistimewaan (protectionism dan favouritism), merentir (rent-seeking) dan tanggungan kerugian (bailout) selain kecenderungan kepada monopoli dan kartel (pakatan swasta untuk mengawal bekalan dan harga).

Eucken percaya bahawa persoalan sosial perlu dimasukkan dalam pertimbangan dasar namun langkah pembetulan tidak bersifat kekal.

Sementara jaminan pendapatan minima perlu bagi yang kurang upaya kerana faktor kesihatan (seperti sakit atau cacat), inisiatif bebas harus memainkan peranan dalam hal perlindungan sosial jika majoriti masyarakat benar-benar percaya keperluan ini.

Antara contoh yang boleh dilihat kini, kerajaan menetapkan piawaian tertentu untuk institusi kesihatan dan ia diusahakan oleh pelbagai pihak swasta atau badan sosial.

Seterusnya, kesatuan sekerja tidak wajar memonopoli rundingan gaji pekerja. Kerajaan juga tidak wajar campur tangan dalam menetapkannya.

Penentuan bersama (co-determination) untuk syarikat yang mempunyai bilangan pekerja ramai dirangka bagi membolehkan perwakilan pekerja terlibat dalam membuat keputusan.

Ini adalah sebahagian daripada prinsip-prinsip teras yang asal dalam sistem ekonomi pasaran sosial.

‘Tembok Berlin’ di hadapan kita

Tembok Berlin sebenar mungkin telah dirobohkan, namun kita mesti belajar bahawa ‘tembok Berlin’ yang lain sentiasa boleh wujud sekiranya kita menafikan kebebasan untuk bergerak, kebebasan untuk bersuara, kebebasan untuk menjana kekayaan dan menggunakan hasil titik peluh sendiri, kebebasan untuk memilih pemimpin, kebebasan akademik dan sebagainya.

Kita boleh mengutuk komunisme, tetapi apakah bezanya kita dengan mereka jika masih ada rakyat Malaysia tidak bebas bergerak dalam negara sendiri, lawan politik didiskriminasi dan ditindas, kebebasan bersuara dan berhimpun dikekang, tiada kebebasan akademik, sistem ekonomi memiliknegarakan sumber-sumber pengeluaran produktif, rakyat tidak menikmati hasil titik peluk mereka sendiri kerana cukai dan denda dikenakan di sana sini, undang-undang hanya menjadi sangat berkuasa kepada golongan lemah dan minoriti?

Ayuh, runtuhkan ‘tembok Berlin’ di hadapan kita!

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 November, 2014.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s