Hari Toleransi Antarabangsa: Peluang Memperbaharui Komitmen Bersama

Oleh: Noor Amin bin Ahmad

Semalam, untuk sekian kalinya, masyarakat dunia menyambut Hari Toleransi Antarabangsa. Tema pada tahun ini ialah “peluang memperbaharui komitmen bersama”.

Sambutan ini sebenarnya bermula sejak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Bangsa Bersatu, sempena 50 tahun penubuhan Bangsa Bersatu, menandatangani Deklarasi Prinsip Toleransi pada 16 November 1995.

Ringkasnya, Deklarasi ini menghormati dan menghargai kewujudan pelbagai budaya, bentuk ekspresi dan cara hidup manusia. Toleransi memperakui hak dan kebebasan asasi manusia, dan kepelbagaian sebagai keniscayaan yang tidak dapat dielakkan.

Deklarasi tersebut juga tidak membataskan toleransi sebagai tanggungjawab moral, tetapi juga suatu tuntutan politik dan undang-undang kepada individu, kumpulan dan kerajaan. Ia turut menjelaskan lagi sikap tidak toleran tidak terhad kepada kezaliman atau keganasan tetapi juga diskriminasi dan peminggiran.
Kepentingan toleransi

Kebetulan, beberapa hari lalu kita menerima berita Alkitab yang mengandungi perkataan Allah untuk merujuk kepada Tuhan, yang dirampas lama sebelum ini, dikembalikan kepada pihak Persatuan Alkitab Malaysia (BSM).

Ia adalah satu daripada banyak isu berkaitan toleransi yang muncul dari semasa ke semasa di negara ini. Ini termasuk misalnya pembinaan rumah ibadat, amalan dan penyebaran agama, mencabar pihak berkuasa, bahasa dan pendidikan, persembahan seni dan sukan, amalan keluarga dan masyarakat, makan-minum, pemakaian dan kegiatan ekonomi.

Ia didorong faktor kepelbagaian kaum dan kepercayaan rakyat Malaysia, di mana amalan keagamaan dan budaya begitu rencam dan memerlukan warga memahami dan mengamalkan toleransi tinggi.

Apa itu toleransi?

Seingat saya, perkataan toleransi mula didengar semasa masih bersekolah rendah. Pada waktu itu saya hanya memahami toleransi bermaksud berbuat baik dan saling menerima kelemahan masing-masing. Semakin mendewasa, barulah saya faham toleransi adalah isu penting dan perlu dibincangkan secara lebih mendalam.

Sejak 2 September 1998, saya semakin memikirkan persoalan toleransi yang sangat berkaitan dengan tuntutan reformasi, terutama apabila mengimbas semula pengalaman hidup menyaksikan wujudnya prejudis dan diskriminasi dalam banyak kesempatan – sama ada berkaitan agama, kaum, gender atau taraf hidup. Untuk saya, toleransi adalah sebahagian cabaran utama kehidupan bernegara di Malaysia.

Pada 2009, saya terlibat sebagai penyelaras projek kajian Islam dan Demokrasi di Malaysia yang bersama Merdeka Centre for Opinion Research, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), The International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) dan Centre for Public Policy Studies (CPPS). Dalam kajian yang dijalankan di seluruh negara itu, toleransi agama merupakan satu daripada empat tema yang disentuh – selain tata kelola kerajaan, hak minoriti dan hak wanita.

Kemudian, semasa mengikuti pengajian musim panas di Hong Kong beberapa tahun lalu, antara kuliah yang perlu kami ikuti ialah berkenaan toleransi. Dalam kuliah tersebut, kami diajar toleransi bermaksud penerimaan bersyarat atau tidak masuk campur dengan kepercayaan, tindakan atau amalan yang dianggap salah atau tidak betul tetapi boleh diterima – tidak perlu diharamkan atau dilarang.

Kamus Dewan mendefinisikan toleransi sebagai sikap sabar dan bertolak ansur atau berlebih kurang; sikap dapat menerima atau menghormati pen¬dapat, fikiran dan kepercayaan orang lain.

Toleransi dan demokrasi

Dalam perbincangan mengenai toleransi berasaskan definisi-definisi ini, diakui banyak paradoks yang menjadikan pengamalannya tidak semudah disangka. Sebagai contoh, di manakah batas toleransi kepada pihak yang tidak bertoleransi?

Bagaimanakah kita perlu bertoleransi dengan pihak yang salah secara moralnya?

Paradoks-paradoks ini secara tidak langsung menjelaskan toleransi tidak mudah diamalkan. Ia, pada tingkat tertentu, mencabar status quo dan kekuasaan dalam pelbagai makna – politik, penafsiran agama, peluang ekonomi dan sebagainya.

Sayangnya, ketika demokrasi berkembang dan orang ramai kian memahami hak mereka, tidak sedikit isu-isu keganasan dan tindakan radikal kedengaran, berpunca daripada lemas dikekang kekuasaan atau menolak keterbukaan.

Bertambah malang, ia dijadikan asas untuk mendorong kekangan terhadap hak kebebasan asasi. Ini perlu diawasi kerana sejarah dunia menunjukkan sikap tidak bertoleransi juga boleh menjadi sebahagian strategi pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan atau mengukuhkan cengkaman kuasa.

Di era kebebasan maklumat ini, di mana peluang menyebarkan kasih sayang dan kebencian sama luas dan pantas, sekiranya toleransi tidak dipupuk tetapi sebaliknya sikap tidak bertoleransi dibiarkan, isu-isu yang ada berpotensi bertukar menjadi kebencian, penindasan dan keganasan.

Menyuburkan toleransi

Bangsa Bersatu sendiri menggariskan lima keperluan untuk menangani sikap tidak bertoleransi, iaitu perundangan, pendidikan, akses kepada maklumat, kesedaran individu dan penyelesaian setempat.

Sasarannya untuk memerangi pengaruh yang mendorong kepada ketakutan dan peminggiran mana-mana-mana pihak, serta membina keupayaan setiap individu untuk membuat penilaian bebas, berfikir secara kritikal dan berhujah secara beretika.

Dalam jawapan kepada soalan peperiksaan akhir yang saya ambil semasa kursus di musim panas itu, saya menjelaskan toleransi (atau tidak bertoleransi) adalah amalan dan budaya yang muncul sebagai produk fikir.

Toleransi tidak akan dapat subur sekiranya kebebasan asasi manusia dikekang, sebaliknya pemahaman utuh tentang kebebasan asasi boleh mendorong manusia lebih bertoleransi.

Bak kata Mandela, “Tidak ada sesiapa semasa dilahirkan membenci pihak lain kerana warna kulit, atau latar belakang, atau keyakinan agamanya.

Manusia mesti belajar untuk membenci, dan sekiranya mereka boleh belajar untuk membenci, mereka boleh diajar untuk menyayangi, kerana kasih sayang itu lebih lumrah dengan hati manusia berbanding sebaliknya.”

Marilah kita memperbaharui komitmen menyuburkan toleransi agar kehidupan bernegara di Malaysia akan lebih baik pada masa akan datang.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 17 November 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s