Islam, hak asasi dan masa depan kenegaraan kita

Hari ini, 10 Disember, dunia menyambut Hari Hak Asasi sempena Deklarasi Universal Hak-Hak Asasi Manusia mula dimuktamadkan pada tahun 1950.

Tahun ini, sambutan memakai tema Hak Asasi 365 sebagai gambaran setiap hari adalah hari hak asasi.

Kebetulan, malam tadi, dalam Program Belajar Bersama Turath Siyasi anjuran WADAH-ABIM-PKPIM, isu hak asasi turut dibangkitkan peserta dan menjadi perbualan hangat bersama.

Ini kerana, fakta sejarah menunjukkan di zaman kemerosotan Islam sehingga terjadi kejatuhan khilafah Uthmaniyyah, yang bangkit mengambil alih ialah apa yang sering disebut sebagai dunia Barat.
Bukan sekadar itu, Barat pula dinisbahkan sebagai dunia yang meninggalkan agama atau pun sekurang-kurangnya hanya bercitrakan faham Kristian mengenai agama.

Kenyataan ini, pada hemat saya, separuh benar.

Kemerosotan dunia Muslim

Saya berpandangan kemerosotan dunia muslim tidak bermula dalam tempoh singkat, tetapi perlahan-lahan seperti dimakan anai-anai.

Entah bagaimana Islam sebagai agama, yang menurut pandangan saya, sangat kosmopolitan, akhirnya terjerumus kepada faham setempat yang rigid.

Tentulah ia berpunca daripada sejumlah faktor tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia dibedah dengan sebenar-benarnya.

Dalam menghargai zaman silam, kita gusar mengkritik. Dalam berhati-hati terhadap apa yang dikatakan baru, kita lantang menolak.

Pada tahap tertentu, kita membenci politik, atau sekurang-kurangnya menganggap ia bukan sahaja tidak penting tetapi menyedut banyak masa, tenaga dan kekuatan yang ada kepada hal yang sia-sia.

Kita berdalih, memberi fokus kepada pendidikan, yang tentunya nampak lebih selamat, tidak begitu berisiko berdepan dengan ganasnya kekuasaan.

Tanpa kita sedar, percubaan demi percubaan menyesuaikan diri inilah, dari zaman ke zaman, menyusutkan faham ramai terhadap fungsi politik dan perkaitannya dengan hal ehwal yang lebih luas dan pelbagai.

Sekilas sejarah politik Muslim

Ditelusuri dalam sejarah Islam, selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., terjadi peristiwa Saqifah Bani Saadah yang memberi petunjuk jelas sekurang-kurangnya masyarakat tidak pernah tahu secara pasti siapa pengganti kepimpinan.

Ini tentulah berbeza dengan dakwaan Saidina Abu Bakar r.a. atau Saidina Ali k.w. r.a. dipilih Nabi s.a.w. melalui beberapa peristiwa sebelumnya.

Pergeseran mengenai hal ini bahkan berpanjangan sehingga kini.

Selepas era sahabat r.anhum yang tidak sunyi daripada pelbagai peristiwa termasuk perang, sejarah Islam diisi dengan pemerintahan monarki sehinggakan diwarisi mengikut keturunan.

Tidak sedikit sejarah kezaliman, penyelewengan dan penyimpangan yang ada sejak itu. Walau bagaimanapun, selain beberapa fakta menunjukkan ada ilmuwan Islam tegas menyatakan sikap, generasi kemudian, kini khususnya, masih teragak-agak dalam membincangkan apa yang berlaku pada masa lalu secara objektif.

Ada kebimbangan besar ia akan membuka pintu kepada pemfitnah atau pencela sahabat r.anhum dan tokoh-tokoh muslim.

Dan kita terus cuba menyesuaikan diri, sehinggakan analisa objektif terhadap pandangan dan pendirian ilmuwan muslim sezaman juga menjadi taboo dalam masyarakat.

Seni segala kemungkinan

Setelah sekian lama, kita masih bergelut dengan persoalan sama ada ulama’ dan umara’ itu patut bergandingan rapat, atau menjadi elemen semak dan imbang.

Kita masih keliru sama ada ulama’ boleh dikritik atau tidak, umara’ boleh ditentang atau tidak.

Kadangkala, kita menjustifikasi sesuatu berdasarkan pandangan teks lama tanpa mengambil kira pandangan asal, realiti zaman dan pengecualian yang turut membentuk asas pandangan ketika itu.

Sesungguhnya politik bukanlah seketul batu yang statik dan Barat bukanlah sebuah negara tunggal yang tidak majmuk.

Hakikat Fiqh Siyasah itu adalah yang paling cepat berubah menjelaskan lagi perkara ini.

Dalam konteks demokrasi moden, bukanlah sesuatu yang pelik untuk kita menyebut Amerika Syarikat sebagai negara rujukan.

Rujukan di sini bukanlah modelnya tetapi konsep-konsep penting yang menjadi asas kepada demokrasi itu sendiri.

Selain Amerika, tentu saja Britain yang pernah membentuk empayar besar sebelum ini.

Kejatuhan empayar Uthmaniyyah tentulah mempunyai asas-asas tertentu dan tidak secara mudah dinisbahkan sebagai konspirasi Barat terhadap dunia Muslim.

Kita mesti berani mengaku ada sejumlah masalah di dunia Muslim sejak dulu hingga kini dan berhenti menjustifikasi dan mencari penyesuaian yang wajar dengan memejam mata kepada apa yang sepatutnya diluruskan.

Islam dan Barat

Semasa kunjungan singkat ke Amerika Ogos lalu, saya sempat bertemu dengan Ketua Hakim di Alabama dan berbincang mengenai kedudukan agama di negara tersebut.

Ternyata, beliau sangat berminat dengan topik berkenaan dan menghasilkan banyak pandangan tentang perkara ini.

Malah, saya turut dihadiahkan sebuah buku mengenainya.

Aspek ini sangat dekat dengan negara Amerika Syarikat sehingga menjadi perkara pertama dalam Perlembagaannya.

Ini tentulah dapat difahami berdasarkan faktor sejarah.

Cuma yang menarik perhatian saya pada waktu itu ialah hakikat Thomas Jefferson, penulis utama Deklarasi Kemerdekaan negara itu pada tahun 1776, dan kemudian menjadi Presiden Ketiga Amerika Syarikat, sebenarnya tidak mengabaikan perhatian terhadap Islam dan Muslim.

Denise A. Spellberg dalam bukunya Thomas Jefferson’s Quran – Islam and the Founders menceritakan bagaimana Jefferson pernah ikut berperang bersama negara Islam dan dituduh lawan politiknya sebagai seorang Muslim!

Ini antaranya berlaku apabila beliau memuji karya Thomas Paine, the Rights of Man.

Sebenarnya, sebagai penuntut undang-undang, beliau terdedah kepada Islam melalui bahan rujukan yang ada, antaranya disebabkan faktor kekuasaan Turki Uthmaniyyah di mana aspek undang-undang antaranya diambil daripada al-Quran.

Meskipun usaha memburukkan Islam dan Muslim meluas di Britain, Jefferson ternyata terus mampu bersikap objektif.

Sama seperti John Locke yang mendesak agak Muslim dan sesiapa sahaja yang percayakan Tuhan ditoleransi di England, Jefferson menggesa agar hak beragama kepada Muslim, Yahudi dan Pagan turut dijamin di Amerika.

Ini tentulah sesuatu yang besar, mengambil kira kebanyakan Muslim di Amerika Syarikat pada waktu itu adalah hamba yang dibawa dari Afrika.

Hak asasi manusia dan masa depan negara

Kebebasan beragama ini adalah antara ciri terpenting dalam hak asasi manusia.

Ia memberi penegasan tentang pentingnya kita mengetahui kehidupan, kebebasan dan harta itu adalah sesuatu yang suci, wujud sebelum adanya undang-undang.

Undang-undang wujud bukanlah untuk menyatakan ianya suci, tetapi untuk memelihara kesuciannya dengan cara menjelaskan kedudukan masing-masing.

Kebebasan beragama, dan semua kebebasan lain, tidak pernah dibicarakan dalam konteks tidak terbatas, tetapi dibincang secara meluas tentang batasan-batasannya sehingga kita pada hari ini kenal akan konsep perlembagaan dan ketinggian undang-undang (rule of law).

Malangnya, mereka yang kononnya menolak kebebasan tanpa batas ialah mereka yang galak menggunakan kuasa secara tidak terbatas, sehingga menjejaskan kebebasan selainnya.

Jelas, mereka tidak faham konsep-konsep ini, dengan konsep pemisahan kuasa serta semak dan imbang, sebenarnya adalah penegasan yang perlu dibataskan adalah kuasa yang dipinjamkan secara bersama warga.

Dan hak asasi manusia sebenarnya wajib dijamin, kerana kuasa yang dipinjamkan bersama warga, tidak termasuk kuasa untuk menjejaskan kebebasan kepada mana-mana pihak.

Sesungguhnya, setiap individiu tidak mempunyai kuasa untuk menjejaskan kebebasan pihak lain, justeru, bagaimanakah mereka boleh meminjamkan kuasa tersebut kepada kerajaan?

Sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia pada tahun ini, sukalah saya mengingatkan diri sendiri dan kita bersama, hak asasi manusia perlulah dipelihara dan dipertahankan sepanjang masa, kerana padanya ada kemuliaan insan dan sempadan kuasa yang dipinjamkan kepada kerajaan.

Ketika kita diberitahu kebebasan mempunyai batasan, marilah kita mengingatkan diri dan semua kuasa yang dipinjamkan itu mempunyai batasan lebih besar dan sejarah menjadi saksi ia adalah sejenis kebebasan yang sering disalahguna ramai tokoh dan kekuasaan, atas nama autoriti atau sokongan majoriti.

Tulisan ini telah disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 Disember 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s