Universiti dan Kebebasan Akademik

Oleh Amin Ahmad

Kebelakangan ini persoalan kebebasan akademik kembali heboh diperkatakan.

Baru-baru ini, 8 mahasiswa Universiti Malaya (UM8) yang menganjurkan program “Pidato Anwar Ibrahim: 40 Tahun Dari UM ke Penjara” dikenakan pelbagai hukuman tatatertib termasuk digantung pengajian.

Sebelum ini, Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman didakwa digugurkan sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) dan sebagai dekan Falkuti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya melalui campur tangan luar. Selain itu, Profesor Madya Dr Azmi Sharom, pensyarah undang-undang dan presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaysia (PKAUM) didakwa di bawah Akta Hasutan.

Lebih awal, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, pakar perlembagaan negara pernah digantung tugas, disiasat di bawah Akta Hasutan dan diberi tekanan agar melepaskan jawatan ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Lama dulu, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi tekanan dan kemudian digantikan selepas membaca pantun sinis “siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi menteri.”

Peristiwa ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran mengenai persekitaran pendidikan di Malaysia pada masa kini.

Universiti dan tujuan ilmu

Dulu, malah masih ramai berpegang dengannya pada tahap tertentu, peluang menuntut di universiti adalah perkara besar. Pengambilan masuk ke universiti adalah terhad dan mereka yang terpilih bukan saja berjaya melepasi satu proses penilaian tertentu, tetapi juga dilihat sebagai bakal pemimpin, ejen perubahan dalam pelbagai bidang yang bakal diceburi selepas graduasi.

Perkataan ‘pengajian tinggi’ bagi menggambarkan pendidikan di universiti memberi konotasi bahawa kandungan subjek yang diajar mungkin mendalam, lebih sukar tetapi sangat penting. Namun, yang masih tetap akan dipertanyakan ialah apakah kegunaan ilmu-ilmu ini?

Apabila memperkatakan tentang ilmu, tujuan tertinggi pastilah mendapatkan kebenaran. Ini adalah tugas hakiki yang diperakui para sarjana sejak zaman berzaman. Ia bagaimanapun tidak terbatas menjadi tanggungjawab universiti semata-mata.

Semua pihak boleh mendapatkan kebenaran tanpa masuk ke universiti. Bagaimanapun, sesuai dengan istilah ‘pengajian tinggi’, tentulah hujahan lulusan universiti mengenai kebenaran ini dijangkakan lebih mendalam.

Sekiranya tidak mengambil tanggungjawabnya ini, universiti mungkin sebenarnya melatih robot yang tidak mempedulikan kebenaran tetapi hanya menerima apa yang diprogramkan dan bertindak balas sebagaimana dimahukan pihak yang berkuasa ke atasnya.

Kategori ilmu

Persoalan timbul, bagaimanakah pula dengan kedudukan ilmu lain? Apakah tujuan dan gunanya? Mungkin, kerana tidak ada perkataan yang sesuai, ia dinamakan sebagai ilmu alat, untuk kegunaan hidup manusia.

John Henry Newman, dalam siri syarahannya yang kemudian dibukukan dengan tajuk The Idea of A University (1851), menjelaskan pendidikan mesti membolehkan kebenaran mudah difahami (yang dijelaskan sebagai belajar mengenai kewujudan Tuhan, bukan agama) dan sekiranya sesuatu yang praktikal perlu dimasukkan sebagai subjek universiti, ia mestilah melatih pelajar menjadi anggota masyarakat yang baik.

Menurutnya, dengan pendidikan seseorang secara sedar dan jelas dapat memahami pandangan dan membuat penilaian sendiri, kebenaran dalam membangunkannya, kemahiran meluahkannya dan daya untuk melaksanakannya. Ia mengajar mereka melihat sesuatu sebagaimana sepatutnya, pergi kepada apa yang betul, merungkaikan simpulan pemikiran bagi mengesan apa yang rumit dan juga membuang apa yang tidak berkenaan.

Profesor Emeritus Robert Paul Wolff, dalam karyanya The Ideal of the University yang diterbitkan pada awal dekad 1970-an, membincangkan empat model universiti iaitu sebagai Sanctuary of Scholarship, Training Camps for Professions, Social Service Station dan Assembly Line for Establishment Man.

Model pertama menjelaskan sejarah penubuhan universiti, yang kedua menunjukkan ciri yang mula berlaku pada dekad 1970-an, seterusnya menggambarkan peranannya pada masa akan datang dan terakhir ialah kritik radikal kepada model-model sebelumnya atau anti-model.

Kebebasan akademik

Profesor Awang Had Salleh misalnya, dalam satu syarahan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar dua dekad lalu, menjelaskan tugas utama universiti ialah menemukan kebenaran dan memperbaharuinya. Sudah tentu, untuk menemukan dan memperbaharui kebenaran ini, sebuah persekitaran terbuka dan bebas sangat diperlukan. Ia perlu berlangsung bukan saja dalam konteks penyampaian ilmu, kajian atau pembacaan, tetapi juga perdebatan idea dan pemikiran.

Bagaimanapun, ini tidak dapat berlaku dengan baik sekiranya ada kawalan yang objektifnya berbeza, mengutamakan kepentingan politik kepartian atau tokoh tertentu. Kawalan yang dikenakan sampai menentukan apa yang boleh atau tidak boleh diajar seseorang pensyarah, apa yang boleh dibaca atau dimiliki mahasiswa dan dengan siapakah mereka boleh berurusan.

Memang, selalunya, kebebasan akademik menjadi perbualan ramai apabila ia menyentuh persoalan politik. Dalam maksud lain, pensyarah dan mahasiswa sebenarnya mempunyai banyak kebebasan lain, tetapi tidak jika bersuara mengenai sesuatu berkaitan politik (baca: kekuasaan). Tidak keterlaluan untuk menyimpulkan semua kekangan yang dikenakan di kampus jelas bermotif politik.

Bahkan, berdasarkan pengalaman peribadi semasa menjadi pimpinan pelajar di universiti 10 tahun lalu, ini sangat ketara. Hipokrasi pimpinan politik dan ahli akademik berkaitan ini sangat mudah boleh ditunjukkan. Cakap-cakap mahasiswa perlu mengutamakan pelajaran hanyalah sembang kosong.

Apakah mereka fikir menggantung pengajian mahasiswa boleh menjadikan pelajar cemerlang? Apakah mereka yakin jiwa lemah yang dipupuk melalui rasa takut akan menjadikan bangsa ini besar dan hebat?

Disiarkan di the Malaysian Insider pada 12 Disember 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s