Kejatuhan harga minyak

Oleh Amin Ahmad

Dunia menghadapi fenomena kejatuhan harga minyak. Ini tentulah tidak disangka banyak pihak sebelum ini. Daripada harga setinggi sekitar AS$100-AS$110 bagi setiap tong, kini ia berada pada tahap sekitar AS$50-AS$60 dolar Amerika bagi setiap tong.

Perubahan ini tidak kecil. Oleh kerana itu, ia memberi kesan kepada banyak aspek, sama ada positif atau sebaliknya.

Pergantungan besar kepada hasil minyak

Pertama, oleh kerana pergantungan besar belanjawan negara kepada hasil minyak selama ini, maka tidak hairanlah Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia dan Perdana Menteri sendiri kemudiannya bangkit menyampaikan keperluan menyemak semula belanjawan negara yang baru dibentangkan beberapa bulan lalu.
Pergantungan kepada hasil minyak ini jelas menunjukkan harga minyak yang perlu kita bayar selama ini adalah termasuk cukai yang dikenakan oleh kerajaan.

Tanpa hasil minyak, maka kita menjangkakan defisit belanjawan akan kian membengkak. Ini antara sebab mengapa kritikan terhadap amalan belanjawan defisit sejak tahun 1998 mesti segera diperbaiki.

Kita boleh memahami, dalam amalan biasa di banyak negara, defisit fiskal diamalkan ketika ekonomi kurang baik namun ia bersifat kitaran (cyclical).

Namun, ketika ekonomi makmur, dan kita masih terus mengamalkan defisit, berkemungkinan besar kita mempunyai masalah dalam aspek struktur (structural).

Saranan-saranan oleh Ketua Pembangkang kerajaan perlu mengambil langkah untuk menangani rasuah dan ketirisan, menghentikan pembaziran dan mengambil langkah-langkah penjimatan, memberikan maklumat yang benar dan telus serta mewujudkan jawatankuasa krisis nasional merentas parti seharusnya dipertimbangkan dengan baik.

Beberapa langkah penyesuaian yang diumumkan oleh Perdana Menteri kemudian umumnya baik, namun kenyataan Malaysia tidak mempunyai masalah ekonomi ketika ringgit menyusut nilai tentulah menimbulkan pertanyaan.

Faktor dan kelebihan

Kejatuhan harga minyak ini mempunyai beberapa faktor pendorong, antaranya termasuk juga lebihan bekalan atau menyusutnya permintaan.

Kita tahu, antara faktor-faktor yang boleh dikaitkan dengan kejatuhan harga minyak ini adalah usaha untuk bersaing dengan minyak syal yang kini mula masuk ke pasaran dan juga unjuran perkembangan ekonomi yang perlahan di banyak negara, termasuk China, Jepun, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan India.

Ia tidak semestinya kekal lama dan pada masa yang sama boleh mendorong kegawatan baru dalam ekonomi.

Namun, kita wajar mempersoalkan mengapa negara-negara pengeluar minyak seperti Iran, Venezuela dan Rusia menggesa Arab Saudi mengurangkan pengeluaran minyaknya supaya harga dapat ditingkatkan.

Bukankah sepatutnya mereka menggesa harga minyak lebih rendah agar mudah didapatkan oleh orang ramai?

Di sinilah kita melihat wujudnya tangan-tangan politik yang sebenarnya menghambat kuasa beli orang ramai.

Mereka mahukan harga lebih tinggi supaya kutipan kerajaan juga banyak. Walhal, sekiranya harga mengikut pasaran, dan keteraturan spontan menjadikan harganya rendah, maka kuasa beli orang ramai adalah lebih banyak.

Sesungguhnya, jumlah yang diambil kerajaan sebagai hasil sebenarnya pada asalnya dimiliki oleh orang ramai.

Berapa juga jumlah yang dikutip oleh kerajaan sebenarnya tidak akan hilang kerana jumlah yang sama boleh juga dibelanjakan oleh kita sebagai pemilik asal hasil ini, dan ini lebih mampu menggerakkan ekonomi dengan lebih cekap.

Bagaimanapun, sementara kejatuhan harga minyak ini sepatutnya memberi manfaat kepada pengguna, kita masih belum mendengar sebarang pengumuman mengenai perubahan harga minyak.

Seharusnya, inilah masanya pihak kerajaan tidak lagi memberikan subsidi kepada minyak dan membiarkan ia sepenuhnya mengikut harga pasaran.

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah membentangkan secara benar dan telus mengenai mekanisme penentuan harga minyak selama ini.

Namun, kita boleh menjangka kerajaan-kerajaan pengeluar minyak yang mengamalkan dasar ekonomi yang banyak bergantung kepada hasil minyak akan cuba memastikan pengeluaran minyak dihadkan, untuk membolehkan bekalan berkurangan dan mendorong kenaikan harga minyak.

Dalam bahasa mudah, harga minyak yang mahal perlu dibayar oleh kita semua sangat banyak dimanipulasi oleh 1) pergantungan besar kepada hasil minyak yang mendorong kerajaan kutip hasil tinggi 2) unjuran ekonomi yang tidak tepat yang cuba merangsang ekonomi, 3) subsidi yang mempercepatkan permintaan minyak bukan pada harga pasaran, 4) manipulasi pasaran melalui suntikan wang ke dalam pasaran.

Kejatuhan harga minyak seharusnya memanfaatkan orang ramai dan ini mesti berlaku dan dapat dirasakan.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 21 Januari 2015.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s