Miskin bandar dan pembangunan negara

Oleh Amin Ahmad

Seruan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar badan bukan kerajaan dan sektor swasta menyokong dan terlibat dalam membantu miskin bandar perlu diberi perhatian bersama.

Sebagai negara membangun dengan pendapatan pertengahan atas, kita boleh menjangkakan proses pembandaran akan berterusan dan bilangan penduduk yang menetap di bandar akan terus bertambah.

Pembandaran dan pertambahan penduduk mempunyai implikasi tertentu yang penting untuk dijangkakan lebih awal.

Pembandaran dan pertambahan penduduk
Sejak merdeka proses pembandaran berlaku dengan pesat. Ringkasnya, bandar ialah kawasan yang dibangunkan atau tepubina yang mempunyai penduduk melebihi 10,000 orang.

Pada awal 1970-an, penduduk bandar dianggarkan sebanyak 26.7 peratus (kira-kira 2.8 juta orang) dan kini terdapat lebih 70 peratus penduduk Malaysia menetap di bandar (kira-kira 21.0 juta orang).

Ini bukanlah sesuatu yang janggal. Di United Kingdom, sebanyak 90 peratus penduduk tinggal di kawasan bandar, di Amerika Syarikat lebih 80 peratus, di Jerman lebih 70 peratus, di Jepun lebih 65 peratus dan di Perancis lebih 60 peratus.

Selain daripada faktor perkembangan keluarga di bandar, pertambahan penduduk di bandar juga didorong faktor penghijrahan dari desa ke bandar terutama kerana faktor ekonomi. Faktor limpahan pembandaran turut berperanan menukarkan kawasan luar bandar menjadi bandar.

Kesan fizikal yang dapat dilihat dalam proses ini ialah corak guna tanah di mana jalan raya dan kawasan kediaman baru dibuka, termasuk bangunan berstrata. Selain itu, ia turut merubah corak aktiviti sosio-ekonomi masyarakat.

Pada tingkat tertentu, ia mewujudkan pengasingan sosial berasaskan kelas ekonomi dan identiti dalam masyarakat.

Jurang ekonomi

Perlu disedari, daripada kumpulan 40.0 peratus isi rumah berpendapatan terendah di negara ini, 51.4 peratus tinggal di kawasan bandar. Kumpulan ini ialah mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan, dengan pendapatan purata pada RM1,400 (2010).

Purata saiz isi rumah ialah 3.8 orang. Ini bermaksud untuk setiap individu dalam isi rumah, peruntukan selama satu bulan ialah sekitar RM368 atau RM12.30 sehari.

Bagi yang berpendapatan lebih rendah daripada kadar purata ini, di mana 1.7 peratus dikelas sebagai miskin dan 0.2 peratus sebagai miskin tegar (2012), pendapatan mereka jauh lebih rendah.

Jurang ekonomi di bandar antara tahun 1997 dan 2007 tidak menyusut, berada pada 0.427 mata indeks Gini sementara jurang ekonomi di luar bandar pula menyusut daripada 0.424 kepada 0.388.

Sementara itu, pendapatan median mengikut negeri dan wilayah persekutuan nampak tidak begitu menggalakkan, di mana tiga yang tertinggi ialah di Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu RM2,495, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM2,095) dan Selangor (RM1,980) sementara tiga yang terendah ialah di Sabah iaitu RM910, Perlis dan Kelantan (RM1,000) dan Terengganu (RM1,100).

Sarawak, Perak dan Kedah pula mempunyai pendapatan median sebanyak RM1,200.

Perbincangan

Meskipun jumlah miskin bandar (51.4 peratus) kelihatan hampir seimbang dengan miskin di luar bandar (48.6 peratus), berdasarkan jumlah penduduk di kawasan bandar, jumlah bezanya agak ketara.

Daripada data-data yang ada, boleh disimpulkan negeri-negeri di mana kawasan luar bandar lebih banyak atau lebih luas umumnya memerlukan suntikan pembangunan yang dapat mengalih tumpuan sebahagian penduduk ke kawasan bandar, khususnya Lembah Klang yang kini didiam sekitar satu per-empat penduduk di Malaysia.

Tanpa pembangunan ini, kita akan menyaksikan kegiatan ekonomi kekal bertumpu di bandar-bandar besar, penghijrahan akan terus berlaku dan kawasan yang terkebelakang akan terus ketinggalan.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan, jumlah besar peningkatan hutang isi rumah di negara ini berpunca daripada ketidakseimbangan antara pembangunan dan pertumbuhan gaji.

Sementara pembangunan ini perlu, kerajaan wajar menggalakkan pelaburan swasta dan juga kerjasama awam-swasta untuk mengurangkan tanggungan beban kewangan yang kemudian akan dialih melalui pelbagai bentuk cukai dan kutipan lain daripada orang ramai. Kita melihat banyak kemudahan awam tidak diselenggara dengan baik di samping mendengar banyak berita pembaziran dan cara hidup mewah ahli-ahli politik.

Perhatian perlu diberikan kepada pentadbiran pihak berkuasa tempatan memandangkan ia berurusan terus dengan masyarakat, khususnya peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang sering berdepan dengan masalah dalam mencari pendapatan.

Transformasi mesti fokus kepada peningkatan kuasa beli rakyat, bukan pendapatan kerajaan dan populariti pemimpin.

Pertama kali diterbitkan di The Malaysian Insider pada 2 Mac 2015.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s