Cukai Barangan dan Perkhidmatan

Oleh Amin Ahmad

Beberapa hari kebelakangan ini kita boleh melihat orang ramai berpusu-pusu membeli lebih banyak barangan kerana mahu menjimatkan sedikit perbelanjaan.

Ini kerana GST akan dilaksanakan kerajaan bermula 1 April 2015, iaitu esok.

Kronologi ringkas

Sebenarnya, isu pelaksanaan GST ini pernah dibangkitkan pada dekad 1990-an, ketika negara mengalami pertumbuhan pesat ekonomi. Ia, bagaimanapun, tidak dilihat sebagai keperluan mendesak ketika itu.
Kemudian, selepas dilanda kegawatan ekonomi lewat dekad tersebut, dari tahun ke tahun hutang negara bertambah kerana kerajaan berterusan mengamalkan belanjawan defisit.

Ini mendorong GST kembali diperkatakan memandangkan ia boleh menjadi satu sumber bagi meningkatkan pendapatan kerajaan.

Pada mulanya ia mahu dibentang pada 2007, namun berisiko bagi parti kerajaan memandangkan ia begitu hampir dengan tempoh pilihan raya umum. Tambahan pula, rejim cukai memerlukan masa untuk kerja penstrukturan.

Ia sekali lagi cuba dikemukakan pada 2009 untuk mula dilaksanakan pada 2011. Namun, dengan sejarah kegagalan Barisan Nasional mempertahankan kemenangan majoriti dua pertiga di Parlimen dalam pilihan raya umum 2008, di samping tewas di beberapa buah negeri utama, menyebabkan ia tertunda sekali lagi.

Kini kerajaan membulatkan tekad untuk melaksanakannya.

Justifikasi

Dalam usaha menjelaskan perubahan sistem cukai ini, beberapa hujah dikemukakan, antaranya:

• Setiap negara mengenakan cukai untuk membolehkan kerajaan beroperasi dan dapat menjalankan agenda pembangunan. GST ialah sistem cukai yang dilihat lebih baik. Ia dilaksanakan di 160 buah negara di seluruh dunia, menunjukkan penerimaan meluas.

• GST bukan cukai baru tetapi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang dikatakan sistem cukai yang lemah kerana pelbagai aspek.

• Ia mengurangkan kos perniagaan dan cekap untuk dilaksanakan. Ianya sekaligus dapat menjadi daya penarik pelaburan dan mendorong persaingan global.

• Ia lebih adil dan telus kerana dikenakan sama rata, menghapuskan cukai bertindih dan pengguna boleh mengetahui sama ada barang atau perkhidmatan tertakluk kepada cukai dan jumlah cukai yang perlu dibayar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan Malaysia, pelaksanaan GST dikatakan sebagai satu langkah konsolidasi fiskal yang amat penting untuk memastikan kemapanan ekonomi negara dan penangguhannya boleh memberi impak negatif ke atas penarafan kredit Malaysia.

Persoalan

Sebenarnya, orang ramai sudah memahami, kerajaan perlu mengutip sejumlah cukai untuk beroperasi. Bagaimanapun, tindak tanduk kerajaan dalam membelanjakan kutipan ini tetap perlu diperhatikan.

Pertama, kerajaan perlu sedar, rakyat adalah sumber legitimasi mereka. Rakyatlah yang mengangkat perwakilan mereka dalam badan legislatif, sama ada sebagai pihak yang menguasai badan eksekutif atau sebagai pembangkang. Operasi kerajaan ditanggung orang ramai melalui cukai yang dikenakan kepada mereka.

Justeru, mengapakah ada wakil rakyat dalam badan legislatif tidak diberi peruntukan secara saksama dalam menjalankan tugas mereka? Tidakkah mereka adalah sebahagian daripada cabang kerajaan?

Kedua, kerajaan mesti berani mengakui, GST akan menjejaskan kuasa beli rakyat. Ini jelas melalui pengakuan dalam tempoh sembilan bulan pertama pelaksanaannya, ia akan meningkatkan pendapatan kerajaan daripada RM14.4 billion melalui SST (untuk tempoh yang sama) kepada RM23.2 billion melalui GST.

Selain itu, kerajaan juga mengakui untuk menangani kesan harga kepada orang ramai maka sejumlah barangan asas dan kemudahan awam dikecualikan daripada GST.

Lebih menarik lagi, selepas Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya kerajaan menaikkan 30 peratus gaji penjawat awam bagi menangani kesan pelaksanaan GST, PM yang juga menteri kewangan memberi kenyataan, GST membolehkan kerajaan menaikkan elaun penjawat awam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula dalam kenyataan terkini menjelaskan sumber kewangan baharu juga penting bagi memenuhi keperluan termasuk untuk membayar gaji penjawat awam dan bayaran pencen kepada golongan pesara yang semakin bertambah.

Keempat, apa yang mungkin dilupakan atau tidak mahu diakui kerajaan ialah nisbah bilangan penjawat awam yang tinggi, dan kecenderungan mereka untuk memaksimumkan utiliti sama ada dalam bentuk gaji, kuasa, prestij, faedah dan sebagainya.

Sebagaimana GST dikatakan lebih telus (merujuk kepada nilai yang lebih baik), maka kerajaan juga mesti meningkatkan ketelusan dalam mengurus ekonomi negara.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 31 Mac, 2015.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s