Jangan Remehkan Perlembagaan

Oleh Amin Ahmad

Sidang Parlimen yang berlangsung kini agak menarik.

Semalam, Akta Pencegahan Keganasan (Pota) yang mengembalikan peruntukan penahanan tanpa bicara (baca: sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan.

Akta Hasutan akan dipinda, meskipun perdana menteri pernah mengumumkan ia akan dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Sosial.

Seterusnya, ahli parlimen Marang yang juga Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) diberikan laluan untuk membentang pindaan Akta 355 untuk memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Perkembangan ini mesti diikuti dari dekat kerana ia melibatkan persoalan perlembagaan.

Perlembagaan

Apakah perlembagaan? Ringkasnya, perlembagaan ialah set peraturan prinsip pemerintahan sesebuah negara yang wajib dipatuhi oleh kerajaan.

Ia menjelaskan prinsip dan prosedur yang mesti diikuti kerajaan dalam menggubal undang-undang.

Faham keperlembagaan (constitutionalism) menegaskan tidak ada mana-mana pihak boleh mengatasi perlembagaan dan bertindak sewenang-wenangnya.

Perlembagaan adalah mekanisme pembatas kuasa pemerintah. Perlembagaan adalah punca kepada semua undang-undang yang mahu digubal, atau dalam maksud lain undang-undang yang mahu digubal tidak boleh berlawanan dengan perlembagaan.

Ringkasnya, ia adalah formula yang menentukan bagaimana kuasa dan hak dibahagi dan digunakan.

Jika ada undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan, ia tidak boleh dilaksanakan atau boleh dibatalkan oleh mahkamah.

Secara keseluruhannya, Perlembagaan menyediakan beberapa prinsip panduan asas untuk mengatur pergerakan kerajaan dan warganya secara saksama.

Politik

Namun harus diingat, ada peruntukan perlembagaan boleh diubah dengan sokongan majoriti dua pertiga perwakilan yang dipilih melalui proses pilihan raya bebas dan adil.

Mereka yang dipilih ini akan membentuk badan legislatif – sebahagian daripada 3 cabang pemisahan kuasa kerajaan selain badan eksekutif dan yudikatif (kehakiman).

Sekali lagi di sini, melalui doktrin pengasingan kuasa, perlembagaan memperuntukkan batas kepada kuasa pemerintah.

Pemilihan perwakilan dan doktrin pengasingan kuasa adalah mekanisme semak dan imbang untuk memastikan tindak-tanduk kerajaan sentiasa diperhatikan.

Pindaan perlembagaan tidak semestinya buruk tetapi kesesuaiannya bergantung kepada jenis pindaan yang mahu dibuat. Kadangkala, apa yang diakui baik satu ketika dulu mungkin sudah tidak lagi diterima pada masa kini.

Ahli politik datang dan pergi. Masa beredar. Perlembagaan bersifat anjal, iaitu boleh diubah kerana ia berinteraksi dengan kesesuaian dan keperluan zaman serta masyarakat yang hidup dari semasa ke semasa.

Sebab itu parti politik mesti melatih calon-calon mereka untuk memahami persoalan ini dan orang ramai mesti memberi perhatian terhadap calon pilihan raya yang mahu dipilih dan juga pemimpin-pemimpin politik yang membincangkan pelbagai isu semasa dalam masyarakat.

Perbahasan perwakilan penting kerana kandungannya boleh menentukan penafsiran hakim di mahkamah sekiranya kes berkaitan dibicarakan.

Hak dan kebebasan asasi

Meskipun perlembagaan tidak terlalu rigid untuk diubah, ia juga tidaklah terlalu anjal. Tidak semua perkara boleh diubah dalam perlembagaan.

Sejak daripada mula, sifat perlembagaan itu ditetapkan sebagai satu mekanisme utama untuk membataskan kuasa pemerintah.

Ini kerana undang-undang yang digubal atau dipinda oleh mana-mana pihak yang mendapat sokongan majoriti boleh menyalahi tujuan perlembagaan dibentuk – untuk mewujudkan sebuah pemerintah yang adil.

Sebab itu ada aspek-aspek dalam perlembagaan yang tidak dibenarkan dipinda, antaranya ialah kenyataan bahawa semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan tidak boleh berlaku diskriminasi berdasarkan agama, kaum, keturunan dan gender serta kebebasan asasi manusia.

Aspek-aspek ini adalah sebahagian daripada apa yang disebut sebagai doktrin struktur asas perlembagaan. Menafikan prinsip demokrasi, ketinggian perlembagaan, kebebasan asasi, dan persamaan di sisi undang-undang adalah bercanggah dengan struktur asas perlembagaan.

Ini kerana, pemerintahan demokrasi bermaksud keabsahan kerajaan datang daripada rakyat. Justeru, kebebasan rakyatlah yang mesti diutamakan.

Kebebasan tidak wujud kerana jaminan perlembagaan atau kerajaan, tetapi ia wujud sebelum adanya perlembagaan dan kerajaan. Perlembagaan dibentuk untuk menjamin kebebasan mana-mana pihak tidak boleh diganggu gugat oleh kebebasan pihak yang lain, terutama oleh kerajaan yang memiliki paling banyak kuasa untuk melakukannya.

Isu yang timbul dari semasa ke semasa ialah bagaimana satu pihak membuktikan mereka mempunyai hak tertentu, dan lebih berhak jika pihak lain mendakwa memiliki hak yang sama.

Dengan memahami aspek ini, kita boleh menilai jenis undang-undang yang mahu digubal dan apakah hujah yang dikemukakan itu baik atau sebaliknya.

Untuk sesiapa pun, janganlah meremehkan perlembagaan!

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 7 April, 2015.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s