Malaysia, Rohingya dan Kemanusiaan

Oleh Amin Ahmad

ejak beberapa hari lalu kita berdepan dengan isu ribuan pelarian Rohingya dan Bangladesh yang berada di lautan dan cuba mendarat di Malaysia. Menariknya, berita mengenai pelarian ini datang daripada media luar terlebih dahulu.

Bangsa Bersatu mengisytiharkan, Rohingya merupakan kaum minoriti paling tertindas di dunia.

Agak mengejutkan, Malaysia yang terkenal menghulurkan tangan dalam banyak siri bantuan kemanusiaan mengambil sikap berbeza kali ini – tidak begitu teruja membantu. Ia sekaligus mendorong debat di kalangan orang ramai.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Jaafar berkata Malaysia tidak bersedia untuk menerima lambakan pelarian di negara ini selepas membantu ratusan ribu yang lain dan ini adalah masa untuk bertegas mengatakan, mereka tidak dialukan di negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang turut menyokong kenyataan tersebut, menegaskan Malaysia turut berdepan dengan isu sosial dan keselamatan kerana mengambil terlalu banyak pelarian sejak dulu.

Agensi Pelarian Bangsa Bersatu (UNHCR) menganggarkan kira-kira 100,000 orang pelarian Rohingya meninggalkan Burma sejak tiga tahun lalu.

Ada yang mendakwa Malaysia mengambil ratusan ribu pelarian Burma ini sejak lebih 10 tahun lalu. Ini tidak mustahil. Daripada pengalaman penulis yang tinggal dan membesar di Perlis pada 80-an dan 90-an, memang ada ramai pelarian Burma yang diterima malah kini menjadi warganegara.

Rekod UNHCR pada 2009 menunjukkan terdapat 16,662 orang pelarian Rohingya didaftar mereka di Malaysia.

Konflik di Burma

Untuk memahami situasi ini, kita tidak dapat mengelak daripada mengetahui punca sebenar masalah pelarian ini.

Sebagaimana umum sedia maklum, situasi politik di Burma tidaklah begitu positif sejak sekian lama. Suka atau tidak, sejarah inilah yang masih menghantui mereka. Bermula daripada sikap umum kaum Rohingya yang menyebelahi British semasa pendudukan Jepun, sehingga junta tentera mengambil alih, Rohingya berdepan dengan diskriminasi demi diskriminasi.

Apa yang dihadapi mereka bukan sahaja diskriminasi pemerintah, tetapi juga kezaliman kaum majoriti dan penganut agama majoriti. Rohingya tidak diperakui sebagai kaum yang sah di Burma. Mereka dianggap pendatang. Agama Islam yang dianuti mereka pula dilihat berbahaya di kalangan penganut Buddha dan sebahagian masyarakat.

Sepanjang sejarah ini, reaksi terhadap diskriminasi mendorong perang saudara, menajamkan sengketa, dendam dan perbalahan.

Sudah tentu ada beberapa perkembangan yang memberi harapan situasi di Burma akan lebih baik daripada dulu, namun sehingga kini ia masih kekal dikuasai junta tentera dan kezaliman terus berlaku.

Pendirian Suu Kyi

Malah, meskipun Aung San Suu Kyi muncul memimpin gerakan pembaharuan dan menang dalam pilihan raya, boleh dikatakan tidak ada perubahan signifikan yang berlaku. Beliau malah dikenakan tahanan terhad dan hampir ditembak tepat di depan mukanya. Kemenangan yang diperolehi dalam pilihan raya tidak memberikan apa-apa legitimasi pemerintahan kepadanya.

Semasa ditanya mengenai isu Rohingya di banyak acara, Suu Kyi ternyata sedar pendiriannya tidak mudah diterima ramai. Beliau menjelaskan, pemerintah semasa di Burma tidak berpegang kepada prinsip pemerintahan berasaskan hukum, sesuatu yang sangat diperlukan di negara itu.

Beliau turut menegaskan penolakan terhadap apa juga tindakan ganas, perlunya menjamin keamanan bagi membolehkan dialog berlaku, menghukum pihak yang bertanggungjawab mencetuskan keganasan, dan menyelesaikan persoalan kewarganegaraan mengikut apa yang dipersetujui pada 1982, dan memperbaikinya untuk mencapai piawaian antarabangsa.

Beliau mengakui ini tidak mudah. Namun menekankan kemerdekaan yang diperolehi Burma pada 1948 hanya terhasil dengan solidariti nasional semua pihak daripada pelbagai latar belakang.

Suu Kyi pernah menegaskan “saya tidak diam kerana perhitungan politik. Saya diam kerana, apa juga sikap yang saya ambil, darah akan terus ditumpahkan.” Dalam acara lain beliau juga menyebut, fokus beliau ialah untuk membolehkan perdamaian berlaku dan kedua-dua kaum boleh duduk bersama berbincang untuk keamanan. Dengan tekanan yang turut dikenakan kepada parti dan pengikutnya, sokongan kepada Rohingya hanya akan menjadikan pemerintah menindas kaum tersebut dengan lebih dahsyat.

Konsisten dalam jawapannya di banyak acara, meskipun tidak begitu lantang, untuk beliau ketegangan yang ada tidak boleh dikusutkan lagi dan pilihan terbaik ialah untuk Burma mempunyai sebuah kerajaan yang demokratik bagi membolehkan pemerintahan berasaskan undang-undang ditegakkan dan isu ini dapat diselesaikan sepenuhnya.

Pelajaran untuk kita

Apa yang berlaku di Burma sebenarnya boleh juga berlaku di negara ini, sekiranya kita tidak berhati-hati.

Sejarah menjadi saksi golongan tertindas pasti sama ada melawan atau mencari tempat yang lebih baik untuk meneruskan kehidupan. Golongan yang didiskriminasi dan tertindas akan bersama sesiapa sahaja yang sedia membantu.

Pertama, kita mesti menjamin persekitaran demokratik di negara ini. Prinsip pemerintahan berasaskan hukum mesti jelas dan diamalkan. Kerajaan tidak boleh membiarkan keganasan, pencerobohan sempadan dan pemerdagangan manusia.

Pemimpin pembangkang mestilah diakui sebagai turut mewakili suara ramai justeru tidak wajar diremehkan atau disempitkan aksesnya kepada masyarakat. Jika Aung San Suu Kyi lebih dipersoalkan berbanding junta tentera dan presiden yang berkompromi dengan junta ini, maka menjadi tanggungjawab masyarakat untuk memastikan pemimpin pembangkang mempunyai ruang yang cukup untuk bersuara dan bergerak di samping menolak pemimpin yang tidak demokratik.

Prinsip keadilan tidak seharusnya dikompromi dengan kepentingan politik kaum dan agama majoriti. Kita tidak boleh membiarkan diskriminasi dan perkauman menjadi kod moral yang diterima dan dibanggakan warga. Semua warga mesti dilayan secara adil dan saksama.

Apa yang boleh dilakukan?

Isu pelarian Rohingya yang ada di depan kita kini tidak mudah. Alasan-alasan yang diberikan pihak kerajaan – lambakan pendatang, kesan sosial dan ekonomi, perhitungan diplomasi – bukanlah remeh. Bagaimanapun, ia tidak akan pernah mengatasi tuntutan kemanusiaan yang lebih tinggi iaitu melindungi nyawa.

Kita tidak boleh membiarkan ribuan manusia hidup di lautan, tanpa bekalan dan kesejukan, sementara menanti keputusan rundingan dengan beberapa buah negara jiran. Ini sangatlah tidak bertanggungjawab.

Kita boleh mengambil mereka dan memberikan bantuan sementara dengan mempercepat rundingan bersama pihak-pihak berwajib seperti UNHCR dan negara-negara jiran, apatah lagi kita sebagai pengerusi ASEAN yang baru sahaja selesai mengadakan sidangnya di negara ini.

Jika kita boleh menyeru boikot di negara sejauh Israel dan menghantar banyak bantuan ke Palestin, Bosnia dan sebagainya, maka tidak ada alasan untuk kita tidak bersedia untuk sekali lagi menjuarai isu kemanusiaan.

Jangan lekas bimbang dengan pelarian yang masuk secara jelas dan boleh diuruskan sedang kita lalai dalam memastikan sempadan selamat daripada penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Penyelesaian terbaik tentulah dengan Burma memperakui kewarganegaraan mereka. Namun ini tentulah mengambil masa panjang, apatah lagi ketika kita sendiri cenderung mendakwa demokrasi tidak diperlukan, mempermainkan pemerintahan berasaskan hukum, menafikan peranan pembangkang dan membiarkan seruan dan amalan perkauman.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 19 Mei, 2015.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s