Cukai dan Politik

Oleh Amin Ahmad

Akhirnya sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sudah mula dilaksanakan. Sebenarnya, perubahan sistem cukai sentiasa menjadi perdebatan hangat sejak dulu. Jika kita membaca sejarah, kebanyakan revolusi dan penentangan keras kepada pemerintah berpunca daripada soal cukai. Cuma pada zaman dulu sistem politiknya tidak sama seperti hari ini.

Bagaimanapun, asasnya tidak banyak berbeza. Sebuah pemerintahan beroperasi dengan cara ditanggung oleh orang ramai. Maka, sesiapa juga menjadi pemerintah, mereka perlu sedar bahawa mandat yang ada datang daripada orang ramai dan ia bukanlah kuasa mutlak.

Asas terjadinya revolusi atau penentangan pada masa lalu perlu difahami. Tidak ada sesiapa suka membayar lebih untuk sesuatu yang boleh didapatkan dengan lebih murah dan mudah.

Meskipun orang ramai bersetuju menanggung operasi pemerintah secara bersama, ia tidak bermaksud pemerintah boleh sewenang-wenang mengenakan cukai tanpa justifikasi kukuh.
Perdebatan ekonomi

Daripada perbincangan di atas, kita harus memahami bahawa terdapat dua sektor utama dalam ekonomi-politik iaitu sektor awam dan swasta.

Sektor swasta dikenali sebagai sektor produktif. Sektor kerajaan tidak menjana hasil sendiri tetapi mengambilnya daripada sektor swasta. Oleh kerana itu, semakin tinggi hasil dikutip, semakin banyak sumber produktif akan teralih. Semakin tinggi cukai dikenakan, semakin ia tidak menggalakkan produktiviti.

Harus diingat, sektor awam tidak menjana pendapatannya sendiri kecuali terlebih dahulu ia diambil daripada sektor swasta. Sebab itu ahli politik mesti sedar untuk tidak sewenangnya menjanjikan sesuatu kerana ia sebenarnya akan diambil terlebih dahulu daripada orang ramai sebelum diagihkan.

Walaupun begitu, sektor awam masih diperlukan untuk tujuan tertentu, khususnya yang tidak sepatutnya dipengaruhi oleh persoalan untung rugi, misalnya keselamatan negara.

Justeru cukai adalah sebahagian daripada aspek penting perbincangan ekonomi.

Persoalan asas yang mesti dibincangkan ialah berapakah jumlah yang patut dikenakan cukai, untuk tujuan apa dan bagaimana ia akan didapatkan?

Cukai Malaysia

Berdasarkan data Belanjawan 2015, hasil tertinggi dikutip kerajaan persekutuan Malaysia ialah daripada cukai pendapatan iaitu 46.9%. Seterusnya, hasil bukan cukai 19.1%, cukai tidak langsung sebanyak 17.6%, penggunaan dan pinjaman aset kerajaan 13.5% dan cukai langsung lain 2.9%.

Perbelanjaan mengurus berjumlah 84.2%. Yang tertinggi ialah emolumen, iaitu gaji, elaun dan sebagainya berjumlah 24.1%, bekalan dan perkhidmatan 14.0%, subsidi 13.9%, perbelanjaan lain 12.5%, bayaran khidmat hutang 9%, pencen dan ganjaran 6%, pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri 2.7%.

Perbelanjaan membangun pula ialah 15.8%. Yang tertinggi ialah untuk ekonomi 10.8%, sosial 4.6%, keselamatan 1.8% dan pentadbiran am 0.6%.

Jumlah belanjawan yang dibentangkan untuk tahun 2015 ialah sebanyak RM271.940 bilion. Ini tidak termasuk simpanan luar jangka dan tambahan belanjawan sebanyak RM2.2 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan baru-baru ini.

Reformasi sistem cukai

Jika kita merujuk kepada data lain, ternyata reformasi sistem cukai perlu dibuat kerana Malaysia mempunyai sekitar 13 juta tenaga kerja tetapi kurang daripada 2 juta tenaga kerja yang aktif sebagai pembayar cukai pendapatan.

Jumlah 2 juta atau sekitar 15% tenaga kerja inilah yang menanggung 46.9% cukai pendapatan semasa atau separuh daripada belanjawan negara. Selain cukai pendapatan, mereka perlu membayar cukai lain, sama seperti orang ramai.

Ini bermaksud lebih separuh hasil untuk menanggung kerajaan dilakukan oleh sekumpulan kecil warga, bertentangan dengan asas keperluan pemerintahan dan menanggungnya secara bersama.

Atas faktor ini, kita mesti menumpukan agenda pembesaran kelas menengah supaya lebih ramai dapat mengambil tanggungjawab bersama dalam membayar cukai pendapatan. Seiring dengan pembesaran kelas menengah, cukai pendapatan mesti disemak untuk diturunkan.

Tumpuan kritik

Saya yakin, reformasi sistem cukai inilah yang menjadi asas kenapa GST diperkenalkan.

Namun, kita tetap perlu mempersoalkan ke mana kutipan ini disalurkan.

Daripada data yang ada, belanjawan negara bertambah secara mendadak daripada RM109.8 bilion pada tahun 2003 kepada RM176.9 bilion (2008) dan RM271.9 bilion (2015). Namun ia kurang digunakan untuk tujuan pembangunan, sebaliknya belanja mengurus terus meningkat daripada sekitar 66.3% pada tahun 2003 kepada 72.8% (2008) dan 84.2% (2015).

Perbelanjaan mengurus ini termasuk subsidi, sebahagian besarnya diurus secara monopoli.

Jika dipadankan dengan laporan negatif daripada laporan audit, pengalaman birokrasi dalam urusan kerajaan, kehidupan mewah pemimpin politik, keluarga dan proksi mereka, orang ramai berhak meragui kutipan hasil yang terlalu tinggi.

Kita menantikan komitmen kerajaan untuk memperbaiki pentadbiran dan berhenti daripada terus mendahulukan rakyat untuk menanggung kelemahan pemimpin.

Telah disiarkan di The Malaysian Insider pada 28 Mei, 2015.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s