Magna Carta dan Kita

Oleh Amin Ahmad

Sejarah berkembang dan menunjukkan bagaimana usaha manusia untuk mengolah kehidupan dari semasa ke semasa, termasuk urusan pemerintahan.

Piagam Perdana (Magna Carta) yang terpaksa ditandatangani Raja John selepas pergolakan kepimpinannya – perang dengan Perancis, pertelagahan dengan gereja, konflik dengan rakyat dan masalah kewangan – kini menjadi sebahagian peristiwa sejarah dunia yang terus diingati.

Semangat piagam

Ringkasnya, Piagam ini merumuskan pelbagai aduan dan bantahan yang ada dan ia diperkemas kemudiannya.

Ia memperkatakan tentang kebebasan manusia yang mesti dijamin dan dipertahan undang-undang.

Prinsip utama kandungan piagam ini ialah batasan kuasa pemerintah.

Dalam maksud lain, cara yang tepat membaca peruntukan perlembagaan mengenai kebebasan manusia bukanlah dengan mengatakan mana-mana warga bebas berbuat sesuatu kerana ia dijamin perlembagaan, sebaliknya mana-mana warga sebenarnya adalah manusia bebas, ada atau tanpa peruntukan perlembagaan mengenainya.

Peruntukan mengenai kebebasan dinyatakan di dalam perlembagaan adalah untuk mengingatkan pemerintah, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya cuba menafikan kebebasan manusia.

Sesungguhnya kebebasan manusia itu wujud dulu sebelum undang-undang.

Undang-undang wujud bukan untuk menafikan kebebasan manusia tetapi berusaha memastikan kebebasan seseorang digunakan secara bertanggungjawab, iaitu tidak menjejaskan kebebasan seseorang yang lain.

Ketinggian undang-undang

Maka, sifat ketinggian undang-undang (yang terkandung maksud ia mesti dipatuhi) bukanlah terpisah daripada unggulnya nilai kebebasan, sebaliknya ketinggian inilah yang memastikan kebebasan terus wujud.

Ini tentulah berbeza dengan pertuturan sesetengah ahli politik yang begitu cemburu dengan kebebasan. Mereka membayangkan kebebasan sebagai musuh utama yang mesti dimusnahkan.

Walhal, sepanjang sejarah, kebebasan sebagai musuh utama itu lebih jelas merujuk kepada kebebasan pemerintah berbuat sewenang-wenangnya dengan kuasa yang ada!

Sebab itu, setiap kali kita mendengar sesiapa mempersoal “kebebasan tanpa batas”, ketahuilah mereka sedang menggunakan kebebasan untuk menjadi bodoh.

Sepanjang sejarah, ahli falsafah tidak bercakap mengenai kebebasan tanpa batas. Manusia bukan sahaja mahukan kebebasan, tetapi juga keadilan. Maka, ahli falsafah menegaskan kebebasan manusia terhenti pada kebebasan manusia yang lain. Justeru itu ia perlu kepada undang-undang.

Walau bagaimanapun, undang-undang tidak mungkin dapat menyelesaikan seluruh persoalan melainkan hanya dapat cuba mengatur ketertiban manusia menggunakan kebebasan masing-masing.

Maka, tugas ahli politik ialah membahaskan jenis undang-undang yang bukan sahaja memastikan kebebasan dipertahankan tetapi juga mencapai keadilan.

Politik bukan segalanya

Justeru itu kita mesti sedar politik bukan segalanya. Politik hanya akan lebih bermakna sekiranya ia menjamin dan mempertahankan kebebasan di samping berusaha mencapai keadilan.

Dalam realiti demokrasi, kita (khususnya yang layak mengundi) adalah sumber asal keabsahan sesebuah pemerintahan (atau kerajaan). Melalui proses ini, kita secara sedar menyerahkan sebahagian hak untuk menentukan bagaimana soal kebebasan dan keadilan diuruskan mereka yang mendapat mandat kepimpinan.

Bersama mandat itu juga ada pembahagian kuasa melalui badan eksekutif, legislatif dan yudikatif (kehakiman) bagi memastikan mandat kepimpinan tidak disalah guna.

Apabila badan eksekutif meremehkan badan yudikatif dan peranan pembangkang sebagai elemen semak dan imbang dalam kerajaan (ya, ahli Parlimen pembangkang adalah sebahagian daripada kerajaan!), maka kita tidak sewajarnya membiarkan ia terus berlaku.

Ia adalah ancaman kepada asas penting sistem kenegaraan kita!

Ini bukan tugas mudah, terutama apabila kita sendiri sanggup membiarkan ahli-ahli politik bebas tanpa batas, tambahan pula dengan kuasa yang ada.

Dengan akal yang sihat, undang-undang akan dihujahkan dengan nalar yang sesuai dengan sifatnya. Jika sebaliknya, sifat undang-undang yang diidamkan akan menjadi sejenis kezaliman yang lain.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 Jun, 2015.-

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s