Masa Depan Politik Malaysia

Oleh Amin Ahmad

Perkembangan politik Malaysia kebelakangan ini tidak menentu. Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, dua kerjasama politik yang mendominasi pada masa ini masing-masing berdepan dengan krisis dalaman.

Ramai yang tidak begitu selesa dengannya. Ini menjelaskan betapa umumnya rakyat lebih cenderung memilih kestabilan politik mengatasi yang lain. Bagaimanapun, krisis-krisis ini, meskipun nampak buruk dan selekeh, sebenarnya mempunyai sisi kebaikannya tersendiri.

Keniscayaan

Ketika diajukan persoalan ini sejumlah kenalan dari luar negara, jawapan saya ialah ia sebenarnya sebuah keniscayaan dan tidak ada yang terlalu menghairankan tentangnya.

Saya berpandangan demikian kerana asas kewujudan politik itu ialah manusia tidak mungkin dapat bersetuju seratus peratus dalam semua perkara dan Malaysia pula sedang melalui proses kematangan demokrasi selepas sekian lama dimomokkan dengan demokrasi terpimpin di era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebenarnya banyak menjejaskan prinsip dan sendi demokrasi itu sendiri.

Sudah tentu, demokrasi bukanlah segalanya. Namun, tanpa demokrasi juga manusia tetap akan berbalik kepada asas kewujudan politik yang dinyatakan sebelum ini.

Demokrasi hanyalah cara untuk menangani asas kewujudan politik itu sendiri dan ia tidak pernah didakwa sempurna. Winston Churchill pernah mengatakan demokrasi sebagai satu bentuk pemerintahan yang buruk kecuali berbanding semua jenis pemerintahan yang dicuba sepanjang sejarah.

Sudah tentu, kenyataan Churchill ini boleh dibahaskan lanjut. Namun persoalan di sini bukanlah perbandingan yang mahu dibuat tetapi kenyataan, demokrasi itu sendiri mempunyai kekurangan.

Malah, ungkapan Reinhold Neihbuhr dalam karyanya The Children of Light and the Children of Darkness: keinginan kepada keadilan memungkinkan demokrasi berlaku tetapi kemahuan kepada kezaliman menjadikan demokrasi sebagai kewajaran” jelas merujuk kepada ruang salah guna demokrasi.

Salah guna demokrasi ini boleh berlaku misalnya dengan mendakwa “ISA (merujuk kepada tahanan tanpa bicara) boleh diteruskan, atau dikekalkan, kerana majoriti rakyat masih menyokong”.

Banyak lagi contoh-contoh yang boleh digunakan. Yang pasti, ia memberi gambaran majoriti atau kolektif adalah segala-galanya.

Kebaikan krisis

Sebenarnya, krisis kadangkala diperlukan untuk membolehkan kita menilai semula pengalaman hidup berdemokrasi. Ini penting kerana kadangkala sepanjang proses itu kita melepas pandang atau berkompromi dengan prinsip-prinsip penting hingga cita-cita murni daripada demokrasi itu disedut dengan kepentingan real-politik para politikus.

Seharusnya, dalam bunyi bising yang bingit kini, kita mampu memilih pertanyaan-pertanyaan penting untuk membolehkan demokrasi terus subur dan melonjakkan lagi erti hidup bernegara pada masa kini dan akan datang.

Wajar misalnya ditanyakan dalam konteks real-politik, di mana selain isu-isu dasar perjuangan ianya akan berbalik kepada soal pemilihan pemimpin, apakah pemilihan dalaman parti itu sihat? Soalan ini penting kerana krisis-krisis yang ada pada masa kini nampaknya cenderung berpunca daripada persoalan ini. Ia boleh dilihat baik di dalam Umno, MCA, MIC serta DAP, PKR dan PAS.

Jika tidak sihat, apakah alternatif bentuk pemilihan yang ingin dibuat? Apakah nanti alternatif itu lebih baik? Sekiranya tidak, bagaimanakah parti-parti ini menguruskan proses pemilihan masing-masing agar lebih baik? Suka atau tidak, kelihatan seperti pemilihan Umno adalah yang paling stabil, diikuti DAP. Namun, Umno sendiri ragu untuk menjalankan proses pemilihan nanti berikutan krisis semasa. DAP pula pernah terpaksa menjalankan semula proses pemilihan selepas adanya pertikaian.

Apakah nanti, dengan asas yang sama, kita menolak pilihan raya? Atau akan terus membiar berlaku persaingan tidak adil dalam proses pilihan raya?

Yang perlu ditanyakan ialah kestabilan itu apa? Apakah kita boleh menerima “kestabilan” dengan maksud tidak ada ruang atau batasan meluas untuk bersuara? Apakah kita boleh menerima “kestabilan” yang dimahukan nanti wajar menutup ruang pertanggungjawaban?

Politik “baru”

Untuk mendorong politik “baru”, kita mesti memberi perhatian besar kepada persoalan budaya. Budaya yang saya mahu maksudkan dalam konteks ini ialah nilai-nilai yang kita jelmakan dalam cara kita berpolitik.

Sebenarnya, nilai-nilai ini bukanlah baru, sebaliknya lama dibincang sebagai sebuah ideal demokrasi. Namun, kita kurang memberi perhatian. Dr Mahathir juga, setelah puas membelakangi nilai-nilai ini semasa beliau berkuasa, tidak segan silu menyebut nilai-nilai ini ketika beliau sendiri menjadi mangsa.

Walaupun begitu, kita berterima kasih kerana akhirnya beliau sendiri terpaksa menelan kepahitan untuk menyatakan perlunya ada kebebasan bersuara, khususnya dalam menilai dan mengkritik pemimpin dan kerajaan, baik di dalam atau di luar negara.

Masa depan politik Malaysia sebenarnya ada pada nilai-nilai teras yang dimaktubkan dalam Pemashoran Kemerdekaan, iaitu kebebasan dan keadilan. Kestabilan akan lebih bermakna dengan kebebasan dan keadilan. Fahami dan pertahankannya!

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 30 Jun 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s