Apa Di Sebalik Lowyat

Oleh Amin Ahmad

Menjelang akhir Ramadan, Peristiwa Low Yat tentulah mengejutkan ramai daripada kita. Peristiwa ini merujuk kepada pergaduhan di Low Yat yang hampir menjadi satu lagi pergeseran besar antara kaum di Malaysia.

Meskipun sesetengah pihak mendakwa pihak berkuasa lambat mengambil tindakan, ia sekurang-kurangnya dapat meredakan ketegangan. Ketegasan setakat ini boleh dipuji.

Namun, apa yang berlaku sebenarnya perlu difahami dengan lebih mendalam. Jika tidak cuba difahami, kita mungkin sebenarnya sekadar menangani masalah yang nampak (presenting problem), bukan sebab sebenar masalah. Maksudnya, masalah yang sama boleh dan akan berulang pada masa akan datang.

Untuk memahaminya, kita perlu menilai apakah garis pemikiran yang ada di sebalik peristiwa.

Dua versi

Setakat pembacaan saya, ada dua versi yang dimajukan.

Pertama, dakwaan seorang pemuda Melayu mencuri telefon bimbit, cuba melarikan diri, terjatuh dan ditangkap oleh pekerja di kedai lain.

Kedua, dakwaan peniaga menipu dalam jualan kerana telefon pintar yang dibeli itu klon, dan pemuda Melayu ini dipukul kerana cuba mendapatkan haknya.

Namun rata-rata yang tampil berhimpun di Low Yat atau menyokong tindak balas itu cenderung percaya kepada dakwaan kedua.

Mereka berkeyakinan demikian kerana 1) tahu atau mempunyai pengalaman tentang penjualan telefon pintar klon di sana, dan 2) menganggap agak mustahil pencuri datang kembali.

Apabila cuba ditenangkan dan dijelaskan isu ini dibawa kepada pihak berkuasa – polis dan juga penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), mereka tidak mengambil endah, sebaliknya mempersoal wibawa pihak polis dan penguatkuasa KPDNKK yang dikatakan mudah dirasuah dan hanya bertindak tegas kepada peniaga Melayu yang menjual barangan tidak tulen di beberapa kawasan perniagaan popular seperti Uptown.

Untuk mereka, membiarkan sejumlah pemuda Melayu dipukul beramai-ramai oleh orang bukan Melayu (dalam kes ini orang Cina) seperti yang tersebar melalui media sosial tidak harus dibiarkan, walau apa pun sebab, alasan atau latar isu.

Semua itu boleh direkayasa jika perlu. Rasional tidak lagi penting. Emosi orang Melayu mesti dibakar.

Ia menjelaskan kepercayaan kepada dakwaan kedua hanyalah sebab, alasan dan latar yang sesuai dengan kemahuan bertindak balas, bukan kerana ianya adil.

Bukti mereka tidak pedulikan soal keadilan ialah 1) tidak mengutamakan bukti dan 2) merosakkan barang dan memukul sesiapa sahaja, asalkan orang bukan Melayu (dalam kes ini orang Cina), termasuk wartawan.

Rasional dan sivil

Ternyata, daripada maklumat yang ada setakat ini, dakwaan pertama lebih berasas. Pemuda yang didakwa mencuri ditahan reman (dan kini dilepaskan), rakaman kamera litar diserahkan kepada pihak polis dan dakwaan dan perbicaraan akan dibuat di mahkamah.

Yang jelas di sini, sejumlah pemuda datang memukul pekerja dan merosakkan premis menjual telefon, serta mencabar orang ramai yang datang memarahi. Tindak balas (yang kemudian disebar) ini tidak berlaku di kedai di mana kejadian curi didakwa berlaku, tetapi di kedai dan di mana tertuduh dikatakan ditangkap.

Kumpulan pemuda ini dipukul kerana jelas mereka terlebih dahulu datang memukul dan merosakkan premis tersebut, sebelum mencabar kumpulan peniaga yang telah datang dalam jumlah lebih besar.

Logiknya, usahkan pertembungan antara kaum, jika orang Melayu mencuri di kedai Melayu pun, si pencuri yang ditangkap pasti dipukul, malah mungkin lebih dahsyat lagi.

Jika ada kumpulan orang Melayu datang membelasah seorang pekerja Melayu pun, pasti ianya tidak mudah dibiarkan oleh orang Melayu lain yang bekerja di premis berhampiran.

Apakah ini sepatutnya menjadi budaya kita? Tidak. Kita boleh bergelut menangkap pencuri atau sesiapa yang menceroboh atau merosakkan pemilikan yang bukan hak mereka.

Tangkapan awam dibenarkan tetapi bukan bermaksud kita boleh bertindak sewenang-wenangnya seperti banyak yang berlaku dalam kes-kes lain.

Undang-undang dan hukuman bukanlah untuk menunjukkan siapa kuat tetapi ianya bertujuan mencapai keadilan. Kritik terhadap institusi penguatkuasaan sebenarnya mesti dipandang serius dan penambahbaikan perlu dilakukan kerana ianya boleh menjejaskan kepercayaan ramai terhadap proses mendapatkan keadilan.

Pada masa yang sama, kita mesti sedaya upaya bersikap rasional dan berlaku adil kepada sesiapa sahaja, terlepas latar belakang apa pun, kerana rasional dan adil itu lawan kepada jahil dan zalim. Garis perkauman itu selalunya jahil dan zalim.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 Julai 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s