1MDB

Oleh Amin Ahmad

Isu 1MDB terus hangat dibincangkan sehingga kini. Meskipun dakwaan yang dibuat cukup serius, ia tidak kelihatan akan selesai dalam tempoh terdekat.

Apa yang pasti, dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah dalang di sebalik pendedahan isu 1MDB ini hampir pasti menjadikan pergeseran perdana menteri dengan mantan perdana menteri itu tidak akan dapat dibaiki lagi.

Namun, meskipun sama-sama menghalakan serangan terhadap kerajaan, khususnya kepada PM yang juga pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, kelompok penyokong pembangkang dan Dr Mahathir mempunyai objektif yang sama tetapi berbeza.

Kedua-dua pihak bercakap tentang penyelewengan tetapi kelompok pembangkang tentunya mahu membuktikan, pentadbiran Umno–Barisan Nasional sudah tidak mungkin boleh dipulihkan lagi sementara Dr Mahathir ada menegaskan, Umno-BN berisiko tewas dalam pilihan raya akan datang sekiranya Datuk Seri Najib Razak dikekalkan dan isu ini tidak ditangani.

Syarikat berkaitan kerajaan

Sebenarnya, masalah 1MDB bukanlah bermula ketika penyelewengan dikesan. Kita setakat ini hanya beroleh sejumlah maklumat yang cukup meyakinkan, menunggu pasukan petugas khas yang dilantik untuk menyiasat lebih lanjut dan apa yang akan berlaku daripada dapatan siasatan ini.

Masalah 1MDB sebenarnya bermula sejak ia mula dibentuk. Ia menjadi sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika kempen liberalisasi ekonomi sedang aktif dilakukan. Untuk saya, ia adalah simbol jelas betapa kerajaan tidak serius dengan kempen tersebut.

Secara teorinya, GLC akan mendorong situasi yang disebut dalam bidang ekonomi sebagai kesan himpitan keluar (crowding out effect).

Ketika ekonomi Malaysia rancak berkembang pada dekad 1990-an, nilai pelaburan yang diterima mencecah 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Namun, sejak kegawatan ekonomi 1997/1998, ia menyusut kepada sekitar 20 peratus, dan ini tidak mengambil kira krisis kewangan global pada 2008.

Yang agak membimbangkan ialah pelaburan di Malaysia terlalu bergantung kepada arahan kerajaan, bukan kekuataan swasta. Satu dekad selepas kegawatan ekonomi 1997/1998, pelaburan swasta menyusut kepada satu pertiga tahap terbaiknya pada dekad 1990-an.

Satu daripada penjelasan utama kepada lembabnya pelaburan swasta di Malaysia sejak kegawatan pada lewat abad lalu ialah perkembangan meluas GLC.

Di sini, kita mesti sedar perbezaan ketara GLC dan swasta – ada atau tanpa campur tangan kerajaan. Ia nampak remeh, tetapi perbezaannya boleh menjadi sangat besar dalam aktiviti ekonomi.

Kajian Asia Development Bank (ADB) pada 2013 yang mengesahkan berlakunya kesan himpitan keluar ini. Ia menunjukkan hubungan negatif antara dominasi GLC dan pelaburan swasta – di mana GLC dominan, pelaburan swasta tidak signifikan dan di mana GLC tidak dominan, pelaburan swasta lebih signifikan.

Lazimnya, dalam pengalaman di Malaysia dan negara-negara lain, pelaburan swasta tidak signifikan di mana GLC dominan kerana 1) peraturan, 2) layanan dan 3) akses kredit yang lebih sukar diperolehi mereka berbanding GLC. Ringkasnya, pelabur swasta melihat wujud kecenderungan persaingan tidak adil untuk mereka.

Penyelewengan

Lebih daripada soal persaingan dan juga prestasi, yang lebih rumit ialah menangani masalah, sama ada kerana kualiti yang lemah, kerugian atau penyelewengan.

Kita beberapa kali berdepan dengan masalah ini sejak dasar pengkorporatan dan “penswastaan” (yang sebenarnya lebih tepat disebut sebagai dasar mewujudkan syarikat berkaitan kerajaan) bermula lewat dekad 1980-an.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam satu jawapan berkaitan siasatan salah tadbir syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) menyatakan sukar untuk mereka melakukan siasatan kerana MAS ialah sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang mempunyai kedudukan istimewa.

Jika itu situasinya, maka tidak banyak yang kita boleh harapkan daripada siasatan isu 1MDB ini kerana ia bukan sahaja sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan, tetapi pengerusi lembaga penasihatnya ialah PM Malaysia sendiri.

1MDB, lebih daripada semua GLC lain, dilihat menikmati banyak kemudahan untuk melakukan pinjaman dan memiliki pelbagai aset. Setakat ini, daripada seluruh isu 1MDB yang dibincangkan secara terbuka setakat ini, terlalu banyak persoalan yang sah dikemukakan tetapi terlalu sedikit jawapan yang memuaskan diperolehi.

Menjatuhkan Najib dan menggantikan beliau dengan PM baru tidak menjamin kejadian yang sama tidak berulang. Kita pernah mendengar dakwaan skandal “Oil for Food” yang dibangkitkan Dr Mahathir semasa mahu menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi ia seolah-olah tidak lagi berbangkit selepas Pak Lah berundur.

Sikap berdolak-dalik Najib dan juga mereka yang cuba mempertahankan 1MDB setakat ini menimbulkan banyak persoalan dan menambah keraguan. Pasukan petugas khas yang dilantik masih belum meyakinkan kerana dilihat berkepentingan, kurang tegas dan merosotnya keyakinan ramai terhadap beberapa institusi penguatkuasaan.

Krisis kita bukanlah wang yang tidak dapat dijelaskan atau akaun yang tidak dapat disahkan juruaudit bertauliah. Ia hanyalah masalah yang nampak (presenting problem). Krisis kita sebenarnya ialah krisis pertanggungjawaban.

Sambil menantikan jawapan tuntas, kita mesti memikirkan bagaimana sistem yang ada dapat diperbaiki supaya ahli politik tidak mempunyai kebebasan tanpa batas untuk berbuat apa sahaja, proses semak dan imbang berlaku dengan cekap, aspek salah guna kuasa dapat dicegah dan tindakan tegas boleh diambil kepada sesiapa juga, tanpa takut atau memihak.

Politik, selain intrik, mesti lebih banyak memberi fokus kepada penambahbaikan sistem. Sekiranya sistem dibiarkan mengikut selera ahli politik, kita akan berdepan dengan masalah yang sama berulang kali, seperti Sisyphus menolak batu ke puncak gunung!

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 24 Julai 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s