Menjatuhkan Kerajaan

Oleh Amin Ahmad

Baru-baru ini muncul kenyataan berkenaan tindakan yang menjejaskan demokrasi berparlimen selepas Datuk Seri Najib Razak, perdana menteri Malaysia dikritik hebat dalam isu 1MDB dan juga sejumlah wang melebihi USD700 juta yang masuk ke akaun beliau.

Tindakan yang menjejaskan demokrasi berparlimen ini digambarkan sebagai usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

Sebenarnya, perihal menjatuhkan kerajaan ini beberapa kali muncul dalam wacana politik Malaysia terutama sejak Reformasi 1998. Maka, mungkin sudah tiba masanya ia dibincangkan secara terbuka.

Sejarah dan sistem

Menjatuhkan kerajaan pada hari ini tentulah tidak sama maksudnya dengan perihal menjatuhkan kerajaan pada masa lalu, ketika zaman monarki mutlak. Pada zaman itu, raja ialah negara dan negara ialah raja.

Menentang raja bermaksud menentang negara. Lazimnya mereka yang demikian akan dilabel pengkhianat dan kesalahan itu akan dihukum mati.

Namun zaman beransur. Pemerintahan monarki mutlak semakin berkurangan. Pada masa kini terdapat 27 monarki di 43 buah negara. Ada yang berkuasa mutlak, ada yang mempunyai sejumlah kuasa politik, ada yang dianggap simbol dan umumnya terlibat dengan istiadat dan acara.

Di Malaysia, selepas melalui zaman monarki mutlak, kita mencapai kemerdekaan dengan persetujuan membentuk negara baru berteraskan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Meskipun monarki di Malaysia dilihat umumnya terlibat dengan istiadat dan acara, mereka masih mempunyai peranan unik. Mereka menjadi ketua negeri dan negara, mempunyai kuasa bersifat politik di negeri masing-masing, khususnya dalam aspek pelantikan ketua badan eksekutif, hal ehwal agama dan adat istiadat Melayu.

Beberapa keputusan yang diambil mereka kadangkala kontroversi, dijadikan bahan kritikan ramai. Pada masa yang lain, mereka dilihat menawarkan keputusan terbaik, dipohon untuk mencampuri hal ehwal tertentu atas nama kepentingan negara.

Pemimpin dan rakyat

Bagaimanapun, tidak semua perkara boleh atau wajar dicampuri monarki di Malaysia. Inilah maksud dan semangat sistem Raja Berperlembagaan. Raja terikat dengan kuasa yang diberikan Perlembagaan.

Demokrasi Berparlimen pula memberikan kuasa kepada rakyat memilih wakil-wakil ke Dewan Negeri dan Dewan Rakyat melalui sistem pilihan raya. Daripada kalangan wakil-wakil ini, pemimpin yang mendapat sokongan majoriti akan dijadikan menteri besar, ketua menteri atau perdana menteri. Mereka ini, masing-masing, membentuk kabinet eksekutif untuk memimpin dasar-dasar pemerintahan kerajaan.

Lazimnya, dalam amalan politik moden secara kepartian, pemimpin utama daripada parti atau kerjasama parti yang menang akan diangkat mengetuai badan eksekutif.

Tidak semua akan menganggotai kabinet eksekutif. Ada yang menjadi pembangkang dan selebihnya menjadi anggota biasa Dewan.

Perlembagaan, konsep pemisahan kuasa, pilihan raya dan kewujudan pembangkang ialah cara-cara bagaimana demokrasi mengawal kuasa-kuasa yang ada. Inilah fahaman demokrasi liberal yang berbeza dengan fahaman kemenangan pilihan raya itu adalah segala-galanya.

Dalam budaya demokrasi yang ideal, perlembagaan menetapkan menetapkan ciri-ciri kebebasan atau hak yang tidak boleh diganggu gugat kerajaan, waima atas nama majoriti, kecuali ketika darurat, itu pun hanya untuk seketika.

Konsep pemisahan kuasa mengajar badan eksekutif tidak boleh wewenang dalam melakukan sesuatu, mereka mesti dipantau badan legislatif dalam soal menggubal undang-undang yang adil. Di sini jelas, wakil-wakil rakyat pembangkang sebenarnya adalah sebahagian daripada kerajaan dan wakil-wakil rakyat daripada parti pemerintah pula tidaklah terikat dengan tanggungjawab kolektif sebagaimana mereka yang dimasukkan dalam kabinet eksekutif.

Badan kehakiman pula, sebagai menjadi cabang pemisahan kuasa kerajaan, mestilah menyemak sama ada badan eksekutif melangkaui perlembagaan, dan undang-undang dipatuhi.

Pilihan raya pula bertujuan agar rakyat boleh menilai prestasi mereka yang pernah diangkat menjadi wakil-wakil di Dewan dan menukarnya sekiranya perlu.

Menukar pemimpin

Kita harus memahami, politik wujud kerana manusia tidak boleh bersetuju sepenuhnya dalam semua perkara. Maka, pertikaian terhadap keputusan kerajaan (baca: badan eksekutif) akan berlaku dari semasa ke semasa.

Perlembagaan memperuntukkan cara untuk menukar kerajaan dan/atau mereka yang menjadi ketua badan eksekutif. Meskipun monarki mempunyai hak tertentu dalam hal pelantikan ketua badan eksekutif, mereka tidak diperuntukkan kuasa bagi menjatuhkan mana-mana ketua badan eksekutif ini.

Dalam pengalaman politik Malaysia, khususnya kebelakangan ini, ia agak menarik.

Pada 1977, menteri besar Kelantan digulingkan partinya sendiri melalui undi tidak percaya terhadapnya. Bagaimanapun, situasi kemudian mendorong satu perintah darurat berlaku di negeri itu.

Di Perlis dan Terengganu, raja dan sultan tidak memperkenan pelantikan menteri besar yang mengetuai parti atau kerjasama parti politik yang ada (baca: mendapat sokongan majoriti) sehingga akhirnya nama baru terpaksa dicalonkan sebagai ketua badan eksekutif.

Kerajaan Perak di bawah pimpinan Nizar Jamaluddin terbubar tanpa melalui usul di Dewan. Meskipun DYMM sultan berhak melantik menteri besar yang dipercayainya memiliki sokongan majoriti, ia menjadi duluan yang berbahaya kerana tindakan itu turut menjatuhkan ketua badan eksekutif sedia ada.

Di Terengganu juga kemudiannya, menteri besar yang diperkenan sultan pada awalnya ditukar melalui kehendak parti (atau pemimpin parti).

Sementara itu di Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menolak kehendak partinya yang mahu menggantikan beliau. Beliau secara tepat menggesa agar undi tidak percaya dibuat kepadanya. Namun, berdasarkan duluan yang dibuat di Perak, mereka yang bersetuju untuk menukar beliau menandatangani kenyataan bersumpah untuk menunjukkan beliau kehilangan majoriti.

Akhirnya, beliau diundurkan dan menteri besar baru dilantik atas perkenan sultan, meskipun kenyataan bersumpah untuk menunjukkan sokongan majoriti menamakan pihak lain sebagai calon baru bagi jawatan tersebut.

Menukar kerajaan

Jika menukar pemimpin jelas sukar, apatah lagi menukar kerajaan.

Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan, demokrasi memahami perihal ini dan menyediakan peruntukan yang cukup untuk membolehkannya, sepatutnya, berlaku secara aman. Selain daripada menunjukkan pentadbiran semasa sudah kehilangan majoriti, pilihan raya adalah jalan terbaik untuk tujuan ini.

Namun, dalam sesetengah kes, rakyat menyuarakan secara lantang agar kerajaan yang ada dibubarkan. Di Indonesia, pernah berlaku kerajaan transisi yang dipimpin B.J. Habibie. Dalam tempoh singkat pentadbiran beliau, banyak reformasi dari aspek undang-undang berjaya dibuat untuk membolehkan pilihan raya baru dibuat dan negara itu memiliki lebihan demokrasi (surplus democracy) kini.

Di sesetengah negara lain, kudeta dibuat, sama ada rakyat sendiri atau tentera. Ini tentulah pilihan terburuk yang harus dielakkan.

Mana-mana pemimpin atau kerajaan tidak boleh mengelak daripada kemungkinan ini. Justeru itu, kita mesti bersedia sekiranya keabsahan kepimpinan kita dipersoalkan dengan menjamin peluang untuk undi tidak percaya dikemukakan (sekiranya pihak yang mempertikai keabsahan meyakini mereka mampu mendapatkan majoriti).

Tidak ada salahnya memasang impian untuk menjatuhkan kerajaan dengan maksud menukar parti pemerintah atau menukar ketua badan eksekutif. Bagaimanapun, ia tidak harus menjadi tumpuan utama politik.

Politik mesti mengutamakan persoalan sistem yang ditambah baik melalui dasar-dasar yang bebas dan adil. Malaysia mestilah menjadi negara hukum (rechtstaat), bukan kekuasaan (machstaat).

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 18 Ogos 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s