Jerebu Datang Lagi

Oleh Amin Ahmad

Saya hanya menyedarinya ketika berada di Singapura. Program latihan bola sepak Chelsea yang diikuti anak saudara saya di sana dibatalkan pada saat akhir kerana faktor jerebu, meskipun ketika itu situasi masih belum cukup serius.

Ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, situasi jerebu nampak serius. Sebahagian pemandangan terminal dan kapal terbang hilang ketika dilihat melalui tingkap kapal terbang. Petang itu, saya mendapat khabar sejumlah penerbangan terpaksa ditunda, dibatalkan atau dilencongkan kerananya.

Isu jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan di negara jiran bukanlah baru. Global Fire Emission Database merekodkan ia berlaku lebih sepuluh kali sejak 30 tahun lalu.

Daripada ulasan pihak berkuasa di Indonesia, ia seperti sengaja tidak diselesaikan. Ini mungkin kerana ia dilihat sebagai cara pembasmian hutan paling murah. Malah, kritikan terhadap penguatkuasaan yang lemah dipandang remeh, dengan tanggapan ianya bukan isu besar dan  seolah-olah ia didorong motif politik tertentu. Juga, ada dakwaan syarikat yang terbabit dengan pembakaran hutan ini sebenarnya milik atau subsidiari syarikat milik Malaysia dan Singapura.

Dalam perkembangan terkini, semasa Perhimpunan Agung antara Parlimen ASEAN (AIPA), anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia memohon maaf dan memberi penjelasan cuaca kering di musim kemarau sering menyebabkan berlaku kebakaran dan langkah-langkah menambah baik sedang dilakukan.

Perjanjian serantau

ASEAN sebenarnya lama berbincang mengenai persoalan pencemaran jerebu merentasi sempadan ini. Ia dimulakan di Kuala Lumpur semasa Menteri-Menteri Alam Sekitar dari negara-negara ASEAN bersetuju pada 19 June 1990 untuk sama berusaha mengekang pencemaran merentas sempadan.

Ini ditegaskan lagi semasa mesyuarat pada tahun 1995 dan 1997 dengan Rancangan Bertindak Jerebu Serantau dikemukakan pada tahun 2001. Akhirnya, Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ATHP) digubal pada tahun 2002.

Perjanjian ini antara lain menyatakan beberapa prinsip, iaitu:

  •  Pengiktirafan kedaulatan negara-negara untuk mengeksploit sumber dalam negara masing-masing berdasarkan dasar yang dipakai di negara tersebut dan memastikan ia tidak memudaratkan alam sekitar dan juga kesihatan di negara-negara anggota lain, di luar bidang kuasa sesebuah negara.
  •  Setiap pihak perlu bekerjasama menangani permasalahan berkaitan jerebu merentas sempadan.
  •  Setiap pihak perlu peka dan mengambil langkah-langkah pencegahan awal, menghalang dan memantau kemungkinan dan kejadian pencemaran udara yang berpunca daripada kebakaran tanah atau/dan hutan.
  •  Setiap pihak perlu mengurus sumber alam mereka secara lestari dan selaras dengan kepentingan ekologi.
  •  Dalam menguruskan pencemaran merentas sempadan, setiap parti perlulah seboleh-bolehnya melibatkan semua pihak berkaitan termasuk masyarakat setempat, badan bukan kerajaan, peladang dan perusahaan swasta.

Selain itu, beberapa pematuhan umum dinyatakan, antaranya:

  •  Kerjasama menyeluruh dalam merangka dan melaksanakan kekangan dan pemantauan, termasuk dalam bidang teknologi.
  •  Segera memberi maklumat berkaitan kepada negara-negara serantau yang terjejas akibat pencemaran tersebut.
  •  Langkah perundangan, pentadbiran dan lain-lain perlu dilakukan setiap negara untuk memastikan pematuhan ini.

Perincian mengenai Perjanjian ini boleh didapatkan di laman ASEAN. Malaysia ialah negara pertama yang memeterai Perjanjian ini pada Disember 2002, diikuti semua negara ASEAN lain, kecuali Indonesia.

Berdasarkan anggaran kasar yang dibuat dalam kes jerebu pada tahun 1999, jumlah kerugian terkumpul daripada pelbagai sektor mencecah angka ratusan juta hingga berbillion ringgit, dan Indonesia menanggung kerugian terbesar, lebih sepuluh kali ganda kerugian Singapura dan mencecah 50 kali ganda kerugian Malaysia.

Dengan jumlah kerugian sebesar itu, tentulah negara serantau yang terjejas mahu ia ditangani dengan serius, dan tentulah Indonesia mengelak daripada mengambil apa-apa tanggungjawab konkrit, selain berulang kali memohon maaf dan berjanji untuk cuba menanganinya.

Malah, Indonesia tidak menunjukkan minat untuk mendapatkan bantuan serantau meskipun ditawarkan.

Pertanggungjawaban

Ramai yang membuat analisa mudah, masalah alam sekitar adalah isu etikasemata-mata. Sebenarnya, masalah alam sekitar sulit untuk ditangani. Dalam bidang ekonomi, ia dinamakan eksternaliti (kos atau manfaat yang memberi kesan kepada pihak yang tidak memilihnya). Sebagai contoh, jerebu yang terhasil di Indonesia tidak pernah dimahukan oleh Malaysia atau Singapura.

Faktor eksternaliti ini sering menjadi titik beza antara aktivis alam sekitar dan ahli ekonomi. Aktivis alam sekitar cenderung mencadangkan ‘pengharaman’ sesuatu dan menuntut agar tidak ada langsung pencemaran. Ahli ekonomi tidak melihat begitu. Bagi ahli ekonomi, manusia akan sentiasa berinteraksi dengan alam sekitar, dan jika ada pencemaran, ia adalah faktor luar yang tidak termasuk dalam transaksi.

Menghadkan eksternaliti alam sekitar boleh dianggap satu daripada ‘campur tangan wajar’ dalam ekonomi pasaran. Namun, ia bukan pendapat tunggal. Ronald Coase, pemenang hadiah Nobel ekonomi pada tahun 1991 misalnya pernah membahaskan masalah eksternaliti ini dalam The Problem of Social Cost – karya yang dikatakan paling banyak dipetik dalam ulasan undang-undang sepanjang sejarah. Ringkasnya, wajar atau tidak campur tangan kerajaan masih dibahas dalam konteks manfaat melebihi kos.

Pejuang alam sekitar mengambil masa 25 tahun untuk bersetuju pihak yang mencemar perlu membayar pencemaran yang dilakukan. Menghukum lebih mudah tetapi apa yang lebih penting dilakukan ialah memastikan hak terhadap sumber alam jelas (siapa yang memilikinya), mudah dipertahan dan dipindah milik (faktor undang-undang).

Seringkali, masalah alam sekitar bertitik tolak daripada hak pemilikan yang tidak jelas, sukar dipertahankan atau dipindah milik. Dalam kes jerebu di Indonesia yang memberi kesan kepada Malaysia dan Singapura khususnya, maklumat pemilikan ini masih kabur.

Tidak mudah menangani masalah alam sekitar, tetapi beberapa prinsip penting ini adalah langkah awal yang lebih baik sebagai permulaan.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 17 September, 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s