Kesepakatan Politik

Oleh Amin Ahmad

Selepas berjaya menafikan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013, kita melihat politik pembangkang di Malaysia kini begitu bercelaru.

Apa yang boleh dihitung sebagai ‘nasib baik’ kepada pembangkang ialah situasi BN, parti pemerintah sejak lebih 50 tahun lalu yang masih belum menunjukkan mereka sudah pulih sepenuhnya daripada kejutan sejak dua pilihan raya umum lalu.

Hari ini, sebagai usaha menangani kecelaruan yang ada, parti-parti pembangkang dilaporkan akan mengadakan sidang meja bulat. Saya tidak begitu pasti mengenai langkah-langkah BN dalam menyusun semula kerjasama pelbagai parti pemerintah.

Daripada retorika politik yang boleh dibaca di pelbagai media, tidak nampak usaha jelas kedua-dua kerjasama politik untuk memulihkan situasi masing-masing.

Kita tahu sebelum ini, Pakatan Rakyat terdiri daripada tiga buah parti yang mempunyai kedudukan setara. Sementara itu, BN yang lebih lama wujud ada hierarki yang jelas menggambarkan struktur ‘kuasa’.

Situasi ini memberi peluang kepada kita untuk meninjau lebih lanjut perkembangan demokrasi dan kebebasan di Malaysia.

Kemajmukan

Sebenarnya, penting untuk difahami politik wujud kerana manusia sentiasa berbeza pendapat, tidak boleh bersetuju semua perkara hampir setiap masa. Maka, perbezaan pandangan dalam politik adalah keniscayaan.

Namun, demokrasi bukanlah segalanya. Pilihan raya mungkin diterima sebagai satu ciri penting untuk menunjukkan sesebuah negara mengamalkan demokrasi tetapi kualiti demokrasi tidak terbatas setakat itu.

Indeks Demokrasi 2014 menunjukkan, daripada jumlah 167 buah negara, hanya 24 buah negara mencapai tahap demokrasi penuh sementara 52 negara dikategorikan tempang demokrasinya, 39 negara mencapai status rejim hibrid dan 52 lagi dikuasi rejim autoritarian.

Kualiti demokrasi yang ada diukur berasaskan beberapa ciri penting yang saling terkait: proses pilihan raya dan daya saing pelbagai parti/calon, kebebasan sivil, kerajaan yang berfungsi, penyertaan politik dan budaya politik.

Kemajmukan sebenarnya mempunyai fungsi tersendiri dalam menjamin kebebasan. James Madison misalnya, pernah menyatakan: “The smaller the society, the fewer probably will be the distinct parties and interests composing it; the fewer the distinct parties and interests, the more frequently will a majority be found of the same party; and the smaller the number of individuals composing a majority, and the smaller the compass within which they are placed, the more easily will they concert and execute their plans of oppression.” (Federalist Paper No. 10 (1787))

Namun, dalam kita mahu menegaskan bahaya ‘kuasa tidak terbatas’ kerajaan atau kebarangkalian ‘kezaliman majoriti’ (tyranny of the majority), risiko yang mungkin dihadapi ialah kerajaan yang langsung tidak dapat berfungsi, meskipun bagi tujuan yang sahih.

Diplomasi

Di sesetengah negara, demokrasi yang diamalkan mengambil bentuk perwakilan berkadar (proportional representation). Ini bertujuan membolehkan wakil-wakil di dewan rakyat/negara terdiri daripada pelbagai pihak – tidak seragam. Lazimnya, parti-parti yang bertanding perlu mencapai tahap undi minima untuk membolehkan mereka mempunyai wakil.

Kelebihannya jelas. Dasar-dasar yang ingin dilaksanakan perlu menimbang pelbagai sudut pandang yang ada. Parti-parti yang membentuk kerajaan boleh mengimbangi jenis dasar yang hendak dikemukakan agar lebih mewakili majoriti.

Namun, pembentukan kerajaan lebih sulit. Di Turki baru-baru ini, Ahmed Davutoglu hampir sahaja gagal membentuk kerajaan kerana tidak dapat memujuk parti-parti lain untuk membentuk majoriti yang cukup. Kerajaan yang terbentuk juga boleh menjadi sangat tidak stabil dan mudah terbubar. Ini pernah terjadi di Jerman ketika Free Democratic Party (FDP) memutuskan keluar daripada kerjasama dengan parti yang jauh lebih besar dalam kerajaan, Christian Democratic Party (CDU).

Di United Kingom, sejak sistem First Past The Post (FPTP) digunakan, majoriti lebih mudah ditentukan. Namun, pada tahun 2010, parti Konservatif dan Liberal terpaksa membuat kerjasama untuk membentuk kerajaan, di mana gabungan mereka adalah yang pertama dalam sejarah politik negara itu.
Real-politik

Kerjasama politik tidak semestinya gagal, tetapi ia melibatkan banyak kompromi. Ini menjadikan kemahiran dan seni mempengaruhi dan berdiplomasi amat penting bagi seorang ahli politik. Di negara berbilang kaum dan agama khususnya, diplomasi politik menjadi terlebih penting.

BN boleh dianggap berjaya menghimpunkan pelbagai parti, menjadikan kerjasama politik pelbagai kaum. Namun, model pelbagai kaum ini kelihatan semakin teruji.

BN sendiri goyah mempertahankannya. Ini khususnya boleh dilihat melalui retorika pemimpin dan penyokong Umno. Bagaimanapun, parti-parti pembangkang yang sebelum ini dilihat berupaya menyaingi model pelbagai kaum yang dibawakan BN, nampak lebih goyah dalam menangani asakan retorika pemimpin dan penyokong Umno.

Adakah parti-parti pembangkang akan berjaya mencapai satu persefahaman baru dalam rundingan hari ini? Saya kurang yakin.

Saya percaya ia memerlukan tempoh lebih lama, sekurang-kurangnya enam bulan untuk membolehkan perbincangan lebih tersusun dan matang. Namun, adakah mereka mempunyai tempoh masa selama itu untuk memulihkan dan mengekalkan keyakinan ramai? Bagaimanakah jika selepas tempoh itu tidak ada sebarang hasil yang positif?

Sementara itu, BN dan parti-parti pembangkang boleh belajar daripada keputusan pilihan raya di Singapura. Parti pemerintah yang mendengar dan memberi maklum balas sewajarnya diberi mandat lebih besar dan parti-parti pembangkang, meskipun lebih tersusun dan menikmati ruang demokrasi yang lebih baik, kalah teruk kerana tidak cukup meyakinkan – tidak ada ketua yang jelas dan agenda bersama.

Pengundi mahu memilih kerajaan yang baik, bukan pembangkang yang tidak mahu menjadi kerajaan.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 22 September 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s