Transformasi Industri Perkhidmatan Teksi

Oleh Amin Ahmad

Berita melaporkan ratusan pemandu teksi membantah apa yang disifatkan sebagai ketidakadilan dalam industri perkhidmatan teksi di Malaysia. Ini bukan berita baru.

Malah, ia bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja. Di negara lain juga garis hujahnya tidak begitu berbeza.

Sasaran utamanya ialah pihak lain yang menawarkan operasi serupa – mengambil dan menghantar penumpang ke mana-mana destinasi yang dikehendaki. Bantahan ini semakin kedengaran terutama selepas wujudnya Uber, selain sejumlah operasi dan aplikasi yang hampir sama dengan pelbagai nama berbeza di pelbagai negara.

Uber mungkin yang paling popular kerana jenamanya digunakan meluas di pelbagai negara ini.

Dalam kes Malaysia, bantahan dikemukakan terhadap Uber dan GrabCar. Kedua-duanya dikatakan beroperasi secara tidak sah, justeru tidak melalui segala proses yang perlu dilalui pemandu teksi untuk beroperasi. Dengan adanya penawaran perkhidmatan ini juga menjejaskan pendapatan pemandu teksi bertauliah.

Industri perkhidmatan teksi

Sebenarnya, masalah dalam industri perkhidmatan teksi di Malaysia ini bukan baru. Ia sudah lama diperkatakan, bahkan sebelum kemunculan Uber dan lain-lain. Maka, tidak hairanlah pihak kerajaan sendiri mahu melakukan transformasi terhadapnya.

Jadi, sebelum lekas menuding pihak-pihak baru yang dikatakan menjejaskan periuk nasi pemandu teksi, lebih baik kita menyentuh terlebih dahulu permasalahan industri perkhidmatan teksi di negara ini.

Tidak perlu saya menghurai panjang lebar isu pemandu teksi tidak beretika, menipu penumpang dan tidak mahu menggunakan meter. Sesetengah pemandu teksi juga menolak untuk menghantar penumpang ke sesetengah tempat, dengan alasan tidak pergi ke laluan tersebut.

Selain itu, ada pendapat mengatakan teksi di Malaysia kecil dan kurang selesa.

Saya percaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) maklum akan isu-isu ini. Kita sedar pemandu perlu melalui beberapa proses untuk mendapatkan permit dan lesen, di samping membuat pemeriksaan berkala kenderaan mereka di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Namun, tidak semuanya dapat dikawal SPAD. Sebab itu, di samping proses menyemak latar belakang pemandu, SPAD juga menyediakan aplikasi semakan bagi mengesahkan identiti pemandu teksi di samping menyediakan talian dan emel jika ada sebarang aduan mahu dibuat.

Persaingan

i. Generalisasi

Untuk memburukkan persaingan daripada Uber dan aplikasi serta operasi hampir sama, pihak yang cenderung menyokong pemandu teksi memajukan kutipan berita-berita daripada luar negara mengenai bantahan terhadap pesaing-pesaing baru ini.

Sebanyak mana pun bantahan yang ada, kita mesti mengutamakan merit hujah dan tidak mendahulukan sentimen.

ii. Tidak selamat?

Dalam kempen memburukkan persaingan, khususnya terhadap Uber, beberapa kes di luar negara di mana pemandu Uber dikatakan membuat gangguan seksual dan merogol penumpang ditonjolkan.

Ia bertujuan menggambarkan penggunaan ‘teksi haram’ (istilah yang diguna untuk merujuk pesaing) adalah tidak selamat.

Bukankah kita juga pernah mendengar kes yang sama dibuat pemandu teksi? Malah, ada kes di mana pelancong asing dirogol melibatkan seorang pemandu teksi yang mempunyai rekod jenayah!

Adakah kes-kes ini boleh diambil sebagai justifikasi menghalang semua pemandu teksi beroperasi? Tentu tidak. Justeru, kes-kes yang ditonjolkan, meskipun ada merit tersendiri, tidak cukup untuk dijadikan hujah menghalang pesaing-pesaing baru ini.

iii. Menangani jenayah/kesalahan

Sama seperti SPAD, ada perkara-perkara yang memang berada di luar kawalan dan apabila ada tangkapan dalam kes-kes yang ditonjolkan itu, ia menunjukkan sistem yang digunakan “boleh dianggap baik” kerana janayah atau kesalahan boleh dikesan dengan mudah.

iv. Pendapatan

Pendapatan pemandu teksi berdaftar mungkin terjejas. Namun, ia tidak bermaksud keseluruhan ekonomi terjejas. Industri perkhidmatan teksi bukan hanya berkaitan pemandu teksi sahaja, tetapi juga berkaitan pengguna.

Berbanding menghukum, adalah lebih utama bagi SPAD dan semua pemandu teksi memahami mengapa pengguna lebih sedia memilih ‘teksi haram’ berbanding teksi.

Saya yakin jawapannya bukan kerana mereka tidak tahu risiko, tetapi ia mempunyai kaitan rapat dengan kecekapan kos dan keselesaan (baca: rasa lebih berpuas hati).

Menghukum pesaing-pesaing teksi sebenarnya menindas hak pengguna. SPAD tidak wajar mengutamakan hukuman, sebaliknya menjadi institusi yang melancarkan lagi inovasi yang baik.

Pemandu teksi jangan hanya berfikir mereka kehilangan pendapatan, seolah-olah pesaing mereka tidak ada mulut yang perlu disuap.

Masalah utama teksi

Saya berpendapat masalah utama teksi kebanyakannya berpunca daripada campur tangan keterlaluan kerajaan dalam industri ini. Ini boleh dilihat misalnya dalam isu penentuan tambang, pemilikan permit dan lesen teksi serta mewajibkan pemakaian kenderaan yang ditentukan kerajaan untuk mendapat permit individu.

Lebih malang, dikatakan sejumlah permit individu dimiliki segelintir yang ada hubungan baik dengan orang politik, dikendalikan syarikat tertentu bagi pihak mereka, di mana mereka mendapat keuntungan mudah sementara pemandu teksi sebenar terkial-kial mendapatkan hak tersebut.

Tambahan pula, pemandu teksi bukan sahaja perlu membayar deposit pembelian teksi baru, tetapi harga lebih tinggi sebaik habis tempoh bayaran, walhal mereka berhak mendapat kenderaan lebih baik dengan bayaran setinggi itu.

Dulu kita pernah mendengar BPR (kini SPRM) menyiasat seorang individu memiliki 6,000 permit teksi melalui 19 buah syarikat. Apakah hasilnya?

Ketika SPAD mahu pesaing teksi mematuhi peraturan yang dibuat jika tidak ada apa yang ingin disembunyikan, wajarlah SPAD juga menunjukkan komitmen yang sama dengan mendedahkan senarai semua pemilik permit dan lesen milikan syarikat dan individu.

Ketelusan mesti ditunjukkan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum mengambil higher moral ground untuk menggesa pihak lain berbuat demikian.

Inilah sebenarnya masalah yang perlu diperbetulkan dalam industri perkhidmatan teksi, bukan menyalahkan pesaing. Dalam ekonomi, di mana sahaja ada kekurangan, di situlah bekalan dan inovasi berpeluang berfungsi.

Ini tidak bermaksud pesaing-pesaing teksi tidak perlukan peraturan minima untuk beroperasi.

Persaingan bukan untuk memenangkan mana-mana pihak, tetapi untuk mendorong semua pihak memberikan yang terbaik dan dimahukan pengguna.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 5 Oktober 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s