TPPA 2

Oleh Amin Ahmad

Dalam tulisan pertama mengenai Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA), saya cuba mengimbangi beberapa pandangan umum yang ada. Ini kerana sejak mula lagi wacana TPPA kelihatan sendeng, hampir tidak ada yang positif boleh dibaca atau didengar.

Dengan keterbatasan maklumat mengenai rundingan ini, kegagalan pihak kerajaan memberi penjelasan yang memuaskan tentulah dikesali.

Namun, itu tidak bermaksud mereka yang menentang TPPA berusaha sedaya mungkin untuk menyemak hujah penentangan yang ada. Kita boleh mengesan kecenderungan anti perdagangan terbuka dalam hujah dikemukakan, bukan lagi hujah anti TPPA.

TPPA bukan perdagangan terbuka

TPPA tidak sepenuhnya mewakili perdagangan.

Perdagangan ialah proses pertukaran barangan dan perkhidmatan untuk mendapat keuntungan dalam bentuk wang atau bukan, biasanya dalam skala cukup besar dan memerlukan proses pemindahan barang atau perkhidmatan tadi dari satu tempat ke satu tempat lain.

TPPA pula ialah perjanjian kerjasama perdagangan antara negara. Rundingan TPPA bertujuan mencapai persefahaman antara semua negara terlibat tentang bagaimana membolehkan urusan perdagangan sesama mereka berlangsung lebih baik.

Perlu difahami meskipun disebut perdagangan “antara negara”, hakikatnya ialah terlalu sedikit barangan dan perkhidmatan dijual kerajaan/pemerintah. Majoriti besar perdagangan dunia sebenarnya berlaku antara swasta (syarikat atau individu).

Perdagangan merentas sempadan geografi yang luas bukanlah hal baru. Cuma, ia semakin kompleks dengan perkembangan teknologi.

Pihak swasta bersusah payah melakukan perdagangan ke luar negara yang jaraknya jauh, dengan mereka berbeza latar budaya dan bahasanya, kos pula tinggi dan tidak ada jaminan keuntungan.

Banyak perhitungan perlu dibuat sebelum mereka membuat keputusan untuk berdagang di negara luar. Tidak ada sesiapa mahu rugi, baik pedagang/peniaga atau pengguna. Kedua-dua mahu mendapat keuntungan daripada proses jual beli barang atau perkhidmatan.

Perdagangan terbuka

Proses jual beli sepatutnya berlaku secara sukarela, bukan dipaksa. Jual beli secara sukarela ini disebut sebagai pasaran bebas atau perdagangan terbuka.

Eksport berlaku lazimnya kerana pengeluaran boleh dibuat melebihi permintaan di sesebuah negara. Pengeluar juga boleh menjana tambahan keuntungan. Dengan itu ia secara tidak langsung membantu kestabilan pekerjaan domestik, malah mungkin kenaikan pendapatan.

Import pula berlaku lazimnya kerana barangan atau perkhidmatan tertentu tidak ada atau sangat sukar didapatkan di sesebuah negara. Selain itu, ia lebih murah dan/atau lebih baik kualitinya.

Meskipun sesebuah negara mungkin boleh mengeluarkan barangan atau menyedia perkhidmatan diimport, boleh dikatakan tidak ada negara yang tidak terlibat dalam proses eksport import. Sebabnya sudah lama dibincangkan David Ricardo dalam bukunya On the Principles of Political Economy and Taxation (1817), dikenali kini sebagai teori kelebihan perbandingan (theory of comparative advantage).

Ringkasnya, perdagangan secara umumnya menjadikan ekonomi bertambah baik.

Campur tangan kerajaan/pemerintah

Campur tangan kerajaan/pemerintah, dalam banyak kes, menjadikan proses jual beli ini tidak bebas. Semakin banyak campur tangan kerajaan/pemerintah, semakin tidak bebas sesebuah pasaran.

Umumnya, sesebuah kerajaan/pemerintah sering kali menggalakkan eksport tetapi menyulitkan import.

Galakan eksport dibuat dengan memberi subsidi kepada barangan yang dieksport, atau pelepasan cukai eksport. Tujuannya untuk membolehkan barangan ini dijual pada harga pasaran luar yang lebih rendah.

Import disulitkan melalui tarif (baca: cukai) atau mengehadkan kuantiti (barangan yang dibawa masuk). Ini menjadikan harga barangan import tinggi dalam pasaran domestik. Contoh terbaik tentulah harga kenderaan import.

Semua campur tangan kerajaan ini dibuat untuk tujuan ekonomi dan politik tertentu tetapi tetap mempunyai kesan tertentu.

Sebab itu, dalam kes TPPA, penganjur pasaran bebas juga bersikap skeptikal kerana merundingkan apa yang boleh dan tidak boleh didagangkan secara bebas itu ialah kerajaan/pemerintah.

Kritikan

Sebenarnya, penganjur perdagangan terbuka juga turut mengkritik TPPA, misalnya keistimewaan segelintir pihak (baca: kerajaan/pemerintah) menentukan segalanya. Perdagangan terbuka sebenarnya bersifat sebaliknya, iaitu desentralisasi kuasa.

Bagi penganjur perdagangan terbuka, kerajaan cenderung melindungi kepentingan tertentu, bukan membenarkan pasaran bebas. Jika kerajaan mahukan perdagangan terbuka, mereka hanya perlu menurunkan halangan kepada pasaran.

Dalam aspek hak paten dan hak cipta, debat terus berlaku. Sementara perlindungan terhadap hak paten dan hak cipta dilihat cenderung mendorong monopoli, tempoh hak ini sering cuba dihadkan.

Mengenai ISDS pula, ia bukanlah mekanisme paling utama meskipun pelabur asing memang cenderung mahukan ia dimasukkan ke dalam kontrak. Namun, ISDS tetap mempunyai risiko tersendiri jika kerajaan/pemerintah gagal mematuhi apa yang dipersetujui. Ini kerana jika kerajaan didapati bersalah dan perlu membayar, ia membawa maksud cukai yang dikutip daripada pelbagai pihak lain disalurkan kepada syarikat yang menang.

Saya akan cuba menulis lagi mengenai TPPA sementara kita menantikan dokumen kesimpulan yang dicapai. Teruskan wacana. Semoga ia dapat meramaikan lagi warganegara yang aktif dalam persoalan dasar awam.

Disiarkan pertama kali di The Malaysian Insider pada 14 Oktober, 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s