Memahami Belanjawan

Oleh Amin Ahmad

Ramai menantikan pembentangan belanjawan negara pada setiap tahun. Selepas itu kita akan mendengar pelbagai ulasan di media massa, umumnya positif terhadap isi kandungan ucapan Menteri Kewangan tersebut.

Namun, sejak berdepan dengan kegawatan ekonomi pada lewat abad lalu, sejumlah pandangan kritikal mulai boleh dibaca.

Selalunya, kumpulan yang merasakan diri mereka mendapat ‘habuan’ akan gembira, sementara mereka yang tidak mendapat habuan, malah mungkin perlu membayar lebih banyak, akan berpandangan sebaliknya.

Begitulah lazimnya kita memberikan pandangan terhadap belanjawan – pengiraan mudah untung rugi terhadap diri sendiri.

Inilah apa yang diingatkan ramai ahli ekonomi klasik, sebagai falasi terbesar –hanya melihat kesan segera daripada sesuatu tindakan atau cadangan, dan hanya melihat kesan terhadap kelompok tertentu dan mengabaikan kelompok lain.

Hal-hal yang penting difahami

Dalam proses penyediaan belanjawan di Malaysia, lazimnya kerajaan persekutuan dan negeri menjalankan beberapa proses sumbang saran daripada pelbagai pihak.

Ini satu proses yang wajar dipuji dan boleh diteruskan. Belanjawan adalah cermin nilai dan aspirasi yang ingin dicapai kepimpinan. Kepimpinan yang mendekati orang ramai bagi mendapatkan maklumat lebih berpeluang mempertimbangkan apa yang penting dikemukakan.

Namun, ekonomi tidak dapat mengelak daripada persoalan angka. Nombor-nombor yang ada adalah maklumat berguna untuk memastikan apa yang dikemukakan lebih realisitik.

Ada beberapa hal yang penting difahami berkenaan belanjawan.

1. Hasil kerajaan ialah wang kita semua

Pertama, kerajaan membelanjakan hasil yang dikutip daripada orang ramai. Hasil kerajaan ini umumnya datang daripada empat sumber utama iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil dan hasil daripada wilayah persekutuan.
Cukai pendapatan – individu, syarikat, petroleum dan sebagainya, duti setem, cukai keuntungan harta tanah, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), duti import-eksport, bayaran lesen dan permit, sewaan, denda dan pelbagai lagi terangkum dalam empat sumber utama tadi.

2. Perbelanjaan kerajaan

Daripada lebih RM265 billion yang dibentangkan sebagai belanjawan 2016, hanya RM50 billion dibelanjakan untuk tujuan pembangunan. Daripada jumlah ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) diperuntukkan sebanyak lebih RM14 billion, sementara 23 Kementerian kurang RM35 billion.

Perbelanjaan mengurus kekal tinggi, melebihi 80 peratus belanjawan, merangkumi molumen (gaji, elaun, faedah dan sebagainya), perkhidmatan dan bekalan (belanja perjalanan, utiliti dan perhubungan, sewaan, bekalan makan-minum dan lain-lain), pemberian kenaan tetap (biasiswa, pencen, ganjaran, pemberian dalam dan luar negeri, kenaan bayaran hutang dan sebagainya), aset (tanah, bangunan, kenderaan dan sebagainya) dan perbelanjaan lain berjumlah lebih RM1 billion.

Perbincangan

Manakala Perlembagaan dan Akta memberi kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengutip hasil dan membelanjakannya dengan cara yang difikirkan wajar, perlu diingati kerajaan tidak boleh berbelanja sesuatu sebelum terlebih dahulu mengutip hasilnya daripada kita.

Semakin tinggi perbelanjaan kerajaan, semakin banyaklah hasil yang akan dikutip daripada kita semua.

Malah, setiap hutang yang dibuat kerajaan tetap perlu dibayar (10 peratus bagi 2016).

Justeru itu, peningkatan perbelanjaan mana-mana kementerian mestilah dijustifikasi. Untuk rekod, peruntukan kepada JPM meningkat mendadak daripada jumlah 2.6 peratus keseluruhan belanjawan pada 2006 (sekitar RM4 billion) kepada 7.6 peratus untuk 2016 (sekitar RM20 billion).

Kita juga boleh melihat bagaimana bayaran emolumen, perkhidmatan dan bekalan, serta pencen yang secara keseluruhannya tinggi. Ini adalah asas mengapa kerajaan dituntut atau sedang mencari jalan untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam.

Ia tidak ada kena mengena dengan sektor awam sebagai “sektor bumiputera”. Sama ada kerajaan mempunyai iltizam politik (political will) melakukannya, khususnya ketika ketidaktentuan politik dan ekonomi yang ada pada masa kini, ia pastinya hal yang tidak mudah dilakukan.

Renungan

Mungkin kita boleh belajar daripada Abdul Rahman Ibnu Khaldun sekitar 500 tahun lalu yang mencatat dalam kitabnya yang tersohor, Mukaddimah: “Apabila cukai kepada rakyat diturunkan, mereka akan bertenaga dan berkeinginan melakukan sesuatu kerana penurunan cukai meningkatkan lagi kepuasan.

Apabila perusahaan meningkat, hasil cukai bertambah (secara horizontal). Bagaimanapun, apabila cukai bertambah melebihi ekuiti yang ada, kesannya ialah tenaga dan keinginan rakyat tadi akan merosot dan hilang, kerana apabila mereka membandingkan perbelanjaan dan cukai dengan pendapatan dan pendapatan, lalu melihat keuntungan yang dibuat  hanya sedikit, mereka akan kehilangan harapan. Justeru itu, ramai yang tidak lagi aktif dalam aktiviti ekonomi dan budaya.

Kesannya ialah jumlah hasil merosot.

Juga nasihat Saidina Ali k.w. kepada Gabenor Mesir, Malik al-Ashtar: “Jika pembayar cukai mengadu kepadamu tentang cukai yang tinggi, atau sebarang bencana yang terjadi, kerana faktor cuaca/iklim seperti kemarau, atau banjir atau kerosakan hasil akibat hujan yang terlalu banyak, dan jika aduan mereka benar, maka kurangkanlah cukai kepada mereka. Pengurangan ini adalah untuk memberikan mereka peluang memperbaiki situasi yang ada dan mempermudahkan mereka dalam menghadapi masalah. Kurangnya hasil kerajaan disebabkan hal-hal ini tidak harus menjadikan kamu tertekan kerana pelaburan terbaik seorang pemimpin ialah membantu rakyat ketika mereka dalam kesusahan. Mereka adalah kekayaan sebenar sesebuah negara dan sebarang pelaburan kepada mereka meskipun dalam bentuk pengurangan cukai akan dipulangkan kepada negara dalam bentuk kemakmuran kota-kotanya, serta negara secara keseluruhan. Pada masa yang sama kau akan terus kekal serta dapat menikmati rasa kasih, hormat dan pujian bersama hasil yang diperoleh (terjemahan bebas daripada Nahjul Balaghah, Surat ke-53).

Harus diingat, disiplin fiskal yang baik adalah kunci kepada kemakmuran ekonomi. Binalah, dan tidak meruntuh pada masa yang sama.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 12 November 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s