Memerangi Ekstremisme

Oleh Amin Ahmad

Petang itu saya berada di dalam perut kereta api bawah tanah, dari bahagian atas bandar Manhattan menuju ke bawah. Kereta api diberhentikan di pertengahan jalan. Ini sering berlaku kerana kesibukan laluan untuk masuk ke stesen berikutnya.

Saya berdiri di tepi pintu. Mungkin kebosanan, wanita yang duduk di sebelah saya membuka telefon pintarnya. Wajahnya tiba-tiba bertukar. Saya tertanya apakah ada berita berkaitan dengan terhentinya kereta api yang kami naiki?

Wanita itu bercakap perlahan dengan seorang wanita lain yang sedang berdiri di depannya sambil menunjukkan paparan di skrin telefonnya.

“Bila ia berlaku?” tanya wanita di depannya.

“Ini berita tergempar. Saya tidak pasti sama ada ia lewat dilaporkan kerana faktor perbezaan masa antara 2 negara,” jawabnya.

Dari tepi, saya mencuri pandang paparan di skrin telefonnya. Tajuk berita di laman CNN itu bertulis Presiden Hollande mengisytiharkan darurat di Perancis dan semua laluan masuk di sempadan ditutup. Spontan saya tertanya, “perang?”

Bongkah ais tersembunyi

Beberapa kali, dalam perbualan saya dengan pelbagai pihak, sebaik saja mereka tahu saya seorang Islam, persoalan awal yang ditanyakan ialah bagaimana boleh wujud sekelompok Islam seperti Isis?

Tidak ada jawapan pasti. Memang mudah mengatakan mereka pada asalnya dibantu Amerika Syarikat dan Israel. Konflik tidak berkesudahan di Timur Tengah membolehkan mereka terus hidup, malangnya, dengan cara orang gasar.

Sedikit melegakan saya ialah mereka yang bertanya sedar jumlah umat Islam jauh lebih besar daripada kelompok ini. Namun, kerana kelompok ini terus menggunakan slogan berbaur Islam, suka atau tidak, kerisauan itu muncul. Ya, bagaimana kita mahu membezakan seseorang Islam itu ekstrem atau tidak?

Suka atau tidak, ekstremisme ada di dunia Islam. Di Iraq, Nigeria, Syria, Pakistan dan Afghanistan saja membentuk satu pertiga daripada jumlah global. Jumlahnya mencecah puluhan ribu setiap tahun. Nama pelakunya mungkin berbeza, tetapi apa yang dilakukannya sama iaitu pembunuhan, konon atas nama agama.

Persoalannya, apa yang mendorong mereka bersikap demikian?

Haroon Ullah, profesor di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat menerangkan, garis penjelasan utama yang sering diperkatakan ialah faktor miskin dan jahil.

Orang miskin memberontak terhadap kesukaran hidup dan orang jahil dimanipulasi untuk memberontak.

Meskipun ia nampak berasas, pengalaman beliau semasa mengkaji subjek ini pula berbeza. Ramai yang terlibat dalam gerakan ekstrem sebenarnya mereka dari kelas menengah dan berpendidikan, malah sampai ke universiti.

Menurut beliau, sebab sebenar seseorang menjadi ekstrem ialah kemahuan agar apa yang dilakukan mempunyai makna, mahu sesuatu itu teratur dan tidak kurang juga percaya tidak ada jalan lain menentang kezaliman atau korupnya pemerintah.

Daripada kajian Institute for Economics and Peace, dalam penerbitannya Vision of Humanity, dinyatakan 92% daripada serangan ekstremisme antara 1989 dan 2014 berlaku di negara bergolak dan pemerintah mengambil pendekatan ganas untuk meleraikannya. Pendorongnya berbeza. Di negara OECD, faktor sosioekonomi yang dikenal pasti ialah kurangnya peluang dan kepaduan sosialnya lemah. Di negara lain pula kerana faktor pergolakan dalaman, keganasan politik dan rasuah.

Mereka yang mengganas akan mengulang naratif mereka (merujuk kepada kelompok ramai atau rakyat) adalah mangsa.

Memusuhi kebebasan

Ini meningkatkan saya kepada pandangan Erich Fromm dalam bukunya, Escape From Freedom, yang diterbitkan ketika dunia di ambang Perang Dunia Kedua.

Menurut beliau, autoritarianisme cara manusia menangani rasa tidak selesa mereka terhadap kebebasan. Oleh kerana kebebasan tidak menjanjikan kepastian, maka manusia sukakan kolektivisme kerana ia memberikan manusia rasa sokongan ramai (baca: kuasa ramai).

Autoritarianisme, menurut Fromm, berlaku dalam 2 bentuk – sadisme, iaitu rasa patuh diberikan kepada pemimpin dan menuntut digunakan kuasa terhadap pihak yang dianggap musuh, serta kemusnahan, menghancurkan pihak yang dilihat mempunyai kuasa tersebut.

Oleh kerana tindakan yang dibuat jelas tidak masuk akal, ia dirasionalkan melalui kenyataan seolah-olah ia satu tanggungjawab, demi negara dan rakyat atau perintah Tuhan.

Jalan keluar

Tidak ada jawapan mudah kepada apa yang berlaku. Selain terus memberi perhatian kepada usaha menangani kemiskinan dan kejahilan, naratif kehidupan Islam yang sebenar mesti ditonjolkan.

Semasa menghadiri Persidangan Muslim Bandar 2015 di Manhattan, saya tertarik dengan beberapa pertanyaan sederhana yang penting oleh seorang ahli panel, Aman Ali, penulis dan pencerita muda yang namanya kian popular di New York.

Soalan beliau: “Jika hari ini seseorang menggunakan enjin carian di Internet dan menaip ‘Islam’ atau ‘wanita Islam’, apakah mesej dan gambaran yang sampai kepada mereka?”

Begitulah dengan kelompok ekstrem ini. Mereka tidak boleh dibanggakan, meskipun mungkin dalam keadaan tertentu, mereka juga melawan kuasa asing di negara yang bergolak. Kita menolak campur tangan kuasa luar secara tidak sah, dan kita menolak kepimpinan zalim dan rasuah.

Kita tidak wajar selama-lamanya menyalahkan pihak lain untuk segala kekurangan dan kelemahan kita. Diktator sentiasa mencipta musuh untuk mewujudkan suasana tidak selesa, seterusnya menguatkan kawalan mereka, sambil terus memperkaya diri dan lingkungan mereka.

Apa yang kita perlukan ialah kebebasan untuk hidup bersama. Setiap daripada kita mesti belajar memahami apa yang menjadikan manusia berbeza dan bagaimana kita boleh hidup bersama secara aman. Sistem negara pula mesti terbuka dan mampu menangani amalan salah guna kuasa dan rasuah, agar kepimpinan dapat berfungsi sebagai satu amanah, bukan keistimewaan.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada pada 20 November 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s