Agama dan Negara

Oleh Amin Ahmad

Suka atau tidak, wacana politik Malaysia tidak akan terlepas daripada persoalan agama.

Yang paling dominan tentunya berkaitan agama Islam. Ini kerana umumnya Muslim percaya agama tidak terpisah daripada kekuasaan. Pemisahan agama dan kekuasaan ini disebut sebagai faham sekular (sekularisme).

Pernah satu ketika dulu, seorang tokoh politik lantang menyampaikan amanat yang menyebut “…kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”

Kita tahu, kesan daripada apa yang dikenali sebagai amanat itu, tidak kecil. Solat dua imam, boikot kenduri dan perceraian adalah antara kesan yang berlaku rentetan itu.

Persoalan khalwat

Baru-baru ini dilaporkan jurucakap G25 menyeru tangkapan khalwat dihentikan. Ia menerima banyak reaksi balas yang bersifat mengecam.

Saya tidak pasti sama ada ia perkataan yang betul. Semasa di sekolah, ustaz yang mengajar saya memberitah khalwat itu berasal daripada perkataan arab, khulwah yang bermaksud bersendirian atau mengasingkan diri.

Malah, beliau menyebutkan Nabi s.a.w. sedang berkhalwat ketika menerima wahyu. Ini tepat dengan definisi khalwat pertama yang diguna pakai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bagaimanapun, DBP juga turut memberikan definisi kedua yang menyatakan ia juga adalah perbuatan berada di tempat sunyi (pasangan lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai ikatan pernikahan) dan melakukan perkara sumbang.

Sebenarnya, perbuatan sumbang yang demikian adalah dosa, terlepas sama ada ia berlaku di tempat sunyi atau tidak.

Saya yakin jurucakap G25 memaksudkan khalwat dalam definisi kedua, dan beliau tentulah arif akan hukum agama berkaitannya.

Malangnya, kelompok yang mengecam memahami seruan beliau sebagai satu usaha menggalakkan atau membenarkan khalwat.

Yang lebih rasional pula percaya serbuan dan tangkapan khalwat boleh diteruskan tetapi dengan penambahbaikan prosedur, memandangkan pernah berlaku sebaran beberapa rakaman video yang memalukan mereka yang ditangkap dan rasuah yang turut melibatkan seks melibatkan penguatkuasa pencegahan maksiat.

Lebih malang lagi, ia bermula dengan tugas menguatkuasakan ajaran Islam!

Kerajaan dan dosa pahala

Saya terpanggil menulis isu ini kerana ia pernah disentuh saya sendiri semasa satu forum bersama Dr. Yusri Mohamad, kini Pengarah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), selain satu forum di Astro Awani, beberapa tahun lalu.

Untuk saya, isu ini terkait dengan persoalan bentuk negara yang dimahukan, khusus terutamanya dalam aspek hubungan agama dan negara.

Saya berpandangan kerajaan tidak bertanggungjawab menggubal undang-undang berkaitan semua dosa dalam agama. Sebaliknya, kerajaan boleh membuat undang-undang berkaitan jenayah (yang tentunya berdosa jika dilakukan).

Asas pandangan saya ialah dalam sejarah pemerintahan Islam di zaman Nabi s.a.w. dan para sahabat r.anhum, agama-kepercayaan lain masih dianuti dan diamalkan sesetengah kelompok masyarakat. Jika kita mahu menggubal undang-undang berkaitan dosa, tentulah syirik itu adalah dosa terbesar yang perlu dihalang.

Namun, ia tidaklah dihalang dengan kekuasaan, tetapi menggunakan hujah-hujah. Ia cocok dengan persoalan iman – diyakini dan tidak dipaksakan.

Adakah dengan membenarkan agama-kepercayaan lain dianuti dan diamalkan ini menjadikan sesebuah kerajaan itu tidak Islami? Tidak.

Adakah kerana membenarkan agama-kepercayaan lain dianuti dan diamalkan ini menjadikan sesebuah kerajaan itu sekular? Tidak.

Dosa peribadi, dosa awam

Dalam forum berkenaan, Dr. Yusri mempertegaskan pendiriannya dengan berkata “kita tidak mahu negara ini jadi seperti di barat di mana ramai bercium di tempat terbuka!”

Saya menjelaskan kepadanya “tidak perlu menunggu pihak kerajaan untuk menegur kerana sebagai anggota masyarakat yang ternampak perbuatan yang tidak bermoral, maka kitalah yang perlu menegurnya.”

Ringkasnya, ambillah apa yang nampak, tinggalkan apa yang tersembunyi. Adalah tidak wajar mengatakan jika pihak berkuasa tidak melakukannya maka ia tidak boleh dilaksanakan langsung.

Di barat pun bukanlah orang akan bercium sepanjang masa seolah-olah tidak ada kerja lain. Malah, hampir tidak pernah kedengaran isu buang bayi di Barat! Selain itu, aksi cium mungkin selesai sementara menunggu pihak berkuasa datang.

Dalam ajaran Islam yang saya fahami, saksi kes zina juga mestilah melihat dengan jelas perlakuan tersebut, menunjukkan ia hampir mustahil kecuali ia dilakukan di tempat terbuka.

Sejumlah kes pengakuan zina di zaman Nabi s.a.w. juga menunjukkan ia berlaku dan tidak ada intipan atau serbuan dibuat. Ia tidak bermaksud Islam atau pemerintahan Nabi s.a.w. membenarkan perlakuan tersebut, sebaliknya menjelaskan lagi bentuk sebenar aturan peranan kerajaan dalam hidup bernegara.

Malah, Nabi s.a.w. sering menyoal sesiapa yang mengaku berzina beberapa kali dan melepaskan mereka yang tidak mengaku. Nabi s.a.w. juga melarang sahabat r.anhum memaki mereka yang dihukum kerana berzina.

Teruskan wacana

Dalam soal penguatkuasaan serbuan khalwat, masih ada aspek yang boleh dikupas lanjut.

Sesuai dengan komposisi masyarakat muslim yang ramai, sejarah dan tradisi negara serta wacana hudud (yang terkandung bersamanya hukuman zina) yang tenggelam timbul dari semasa ke semasa, hubungan agama dan negara mesti terus dibicarakan secara berhemah, agar yang dapat disimpulkan bukan permusuhan, tetapi aturan hidup bersama yang lebih baik.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 Disember 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s