Ada Apa Pula Dengan Kota Raya?

Oleh Amin Ahmad

Selepas Lowyat, kini Kota Raya pula.

Meskipun ada yang melihat, malah ada yang mahu ia menjadi satu lagi ketegangan kaum, ia ternyata berbeza. Wajar isu sebenar ditegaskan dan tidak membiarkannya dialih.

Ia sekurang-kurangnya mendedahkan kita kepada beberapa aspek ekonomi politik yang penting.

Ekonomi pasaran

Dalam ekonomi, kebebasan pasaran diakui sebagai faktor penting membolehkan ia bergerak dengan cekap berasaskan permintaan dan penawaran.

Daripadanya muncul apa yang disebut sebagai teori tangan ghaib (theory of the invisible hand) yang menemukan titik permintaan dan penawaran – equilibrium. Ini sebenarnya boleh dikaitkan dengan hadis “Tuhan menentukan harga” seperti yang pernah hangat diperkatakan beberapa waktu sebelum ini.

Namun, mungkin kerana “Tuhan menentukan harga” itu dinyatakan secara literal seorang ustaz yang kurang memahami wacana ekonomi, justeru itu ia terlihat sebagai dalih untuk menjustifikasikan kenaikan harga, membodek pemerintah dan sikap pasrah kepada Tuhan secara tidak kena tempat.

Dalam wacana ekonomi, lawan bagi kebebasan pasaran ialah campur tangan pihak pemerintah/kerajaan yang dilihat sebagai herotan pasaran, menyebabkan berlaku ketidakseimbangan atau ketidakcekapan ekonomi.

Campur tangan ini pelbagai, daripada cukai, kekangan kepada perdagangan, subsidi, gaji minima, harga siling atau harga lantai dan sebagainya – termasuk rasuah!

Pertentangan

Yang kuat menentang sistem ekonomi pasaran ialah sistem ekonomi sosialis yang mahu memaksima peranan pemerintah. Dalam maksud mudah, mereka mahukan pemerintah campur tangan, bermula dari punca pengeluaran sampailah agihan.

Kelompok ini meragui keinginan “memaksima keuntungan” yang dilihat berpotensi mendorong sikap tamak, sekaligus menindas. Dengan itu, equilibrium tidak mungkin tercapai secara adil.

Ekonomi sosialis percaya kepada cukai terhadap orang atau perusahaan kaya, harga yang dikawal pemerintah – baik siling atau lantai, kawalan terhadap import, gaji minima dan sebagainya – ya, mereka juga menolak rasuah!

Ramai yang terpesona dengan idealisme sosialis, namun sejarah menunjukkan ianya gagal diterjemahkan, hatta dalam amalannya yang ekstrim – komunisme – di Soviet Rusia dan China. Kesannya, empayar Soviet Rusia berantakan dan China mula membuka pasarannya.

Namun, idea sosialisme tidaklah mati sepenuhnya. Ia masih diamalkan banyak negara, termasuk Malaysia, pada tahap tertentu.

Peranan pemerintah/kerajaan

Sebenarnya, di kalangan pemuka ekonomi pasaran juga ada perdebatan tersendiri. Ini boleh dilihat misalnya dalam perdebatan antara Ludwig Von Mises dan Walter Eucken dalam pertemuan pertama Mont Pelerin Society (MPS).

Sementara Von Mises berpendapat ancaman besar terhadap kebebasan pasaran datang dari pemerintah/kerajaan, Eucken pula melihat ancaman besarnya datang daripada peniaga. Akhirnya diakui, kedua-duanya boleh menjadi ancaman besar kepada pasaran dan seringkali ‘bekerjasama’ – rasuah, kronisme, merentir (rent-seeking).

Pemuka pasaran juga berbeza pendapat tentang sejauh mana peranan pemerintah/kerajaan dalam ekonomi. Secara prinsipnya, mereka menganjurkan peranan yang minima melalui kedaulatan dan ketinggian undang-undang, bukan masuk campur secara langsung.

Kes pergaduhan di Kota Raya menunjukkan undang-undang tidak berfungsi dengan cekap dan penguatkuasaan masih lemah.

Tidak dapat dipastikan sebanyak mana aduan kepada pihak berkuasa dibuat, namun langkah mengambil penyelesaian sendiri bersifat kekerasan tidak wajar menjadi pilihan utama dan ini hanya mungkin berlaku apabila undang-undang tidak dapat berfungsi dengan baik.

Dalam mekanisme pasar, selaras dengan yang dianjurkan Islam, muhtasib atau pun pengawas pasar harus berperanan dengan cekap, tegas dan adil. Hisbah  adalah satu konsep yang mesti dihidupkan untuk membolehkan pencatutan (profiteering) tidak berlaku dengan mudah.

Selain itu, harus difahami hisbah dalam semangat Islam menolak keganasan dan perkauman. Malangnya, dalam kes di Kota Raya, ini tidak berlaku.

Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 22 Disember 2015.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s